photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Monday, October 4, 2010

Ijtima' Tarbawi: Amanat Tuan Guru dan Tok Guru


Sudah bertahun saya tidak menjejakkan kaki ke Masjid Rusila, Marang Terengganu. Nama yang sangat sinonim dengan ulama besar negara yang juga pemimpin gerakan Islam, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Yang saya ingat waktu sampai di sana ialah ketika abang saya menuntut di Maahad Darul Quran yang juga letaknya satu bangunan dengan Masjid Rusila. Ketika itu saya masih di bangku sekolah rendah.

Syukur saya dapat melepaskan kerinduan apabila saya dapat menyertai Ijtima' Tarbawi Pemuda Parti Islam pada 1,2, dan 3 Oktober yang baru sahaja berlalu.

Ucapan syabas dan tahniah selayaknya dikreditkan kepada Dewan Pemuda khususnya Ust. Nasrudin Hasan At-Tantawi kerana berjaya menganjurkan ijtima' dengan jayanya.

Sungguh bermanfaat demi kelangsungan proses dakwah dan tarbiah di dalam Parti Islam dalam bergerak dengan lebih agresif dan progresif terutamanya hari ini kita berdepan cabaran yang bukan lagi kecil dan sedikit. Justeru, pastinya kita sangat memerlukan suntikan dan kesungguhan yang lebih untuk gerak kerja kita sebagai gerakan Islam di Malaysia.

Pembentangan kertas kerja, forum, diskusi, taujihat dan seumpamanya sangat menarik dan berkesan.

Bagai bumi yang tandus disimbah hujan. Begitulah yang saya rasa bahkan seluruh yang hadir.

Yang paling mengesan di hati ialah Kuliah Tafsir Al-Hujuraat oleh Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Kuliah 2 sesi tersebut sungguh luar biasa. Tafsiran, huraian dan penerangan oleh Tuan Guru adalah sangat mudah difahami. Mutiara-mutiara ilmu dari seorang ulama besar yang sangat dihormati di seluruh dunia amat berharga. Tuan Guru sangat mahir untuk membangkitkan semangat juang di dalam jiwa-jiwa pendokong gerakan Islam ini. Tak kurang 5000 hadirin yang bersesak-sesak di dalam masjid dan khusyuk mendengar kuliah Tuan Guru.

Begitu juga pembentangan kertas kerja dan diskusi oleh YB Ust. Nasharudin Mat Isa, Ust. Yahya Othman, Ust Dato' Abu Bakar Chik, YB Salahuddin Ayub dan ramai lagi pimpinan juga sangat mengujakan.

Respon peserta juga luar biasa. Susah untuk saya melihat pengisian yang berat dalam tempoh yang lama (3 hari) tidak mengurangkan perhatian dan minat peserta. Forum yang setengah hari pun biasanya peserta akan lari-lari, mengelat. Namun di ijtima' sifir itu tidak wujud.

Kemuncak ialah amanat daripada Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abd Aziz Nik Mat.

Sangat jelas kelihatan keletihan di wajah Tok Guru. Pergerakkannya juga tampak lemah. Biasanya Tok Guru akan berucap tidak lebih 15 minit dalam mana-mana ceramahnya atas faktor keuzurannya. Namun malam itu Tok Guru berdiri penuh semangat menyampaikan amanatnya kepada hadirin selama 45 minit. Keuzuran dan ditambah lagi keletihan nampaknya hilang begitu sahaja.

"Kalau Tok Guru yang seusia itu boleh semangat bila menyampaikan amanat kepada barisan pemuda, malulah kalau kita yang muda dan kuat ni bermalas-malas!" , detik hati kecil saya.

Tok Guru berpesan 3 perkara kepada kami selaku pemuda.

Pertama, buat zikir khusus dan sebaik-baik zikir ialah Al-Quran. Maka tilawatul Quran adalah sangat penting demi mendekatkan diri kepada Allah. Katanya, berapa ramai orang yang membaca Al-Quran dan bertadarus ketika Ramadhan masih maintain sehingga hari ini. Justeru seharusnya ia menjadi kewajipan kerana Al-Quran itu punya hak ke atas kita.

Kedua, tahajjud. Sama seperti Al-Quran. Ramai yang melalukan tahajjud sebelum bersahur. Tetapi berapa ramai yang masih maintain. Tahajjud adalah bekalan yang sangat penting sebagaimana yang dianjurkan oleh Al-Quran demi meraih takwa dan soleh. Itulah amalan umat-umat yang terdahulu.

Ketiga, solat sunat Dhuha. Pesan Tok Guru, Nabi s.a.w menyatakan bahawa setiap sendiri dalam badan sebanyak 360 menuntut bayaran setiap hari. Sungguh kita tidak mampu membayarnya. Maka Solat Sunat Dhuhalah yang mampu memenuhi hak-hak sendi itu. Bukankah solat ini juga sangat dituntut di dalam Islam.

Ya, inilah 3 perkara yang dipesan oleh Tok Guru. Terfikir juga kenapa Tok Guru tidak masukkan sekali puasa. Tapi betul jugak kalau 3 itu pun belum tentu terjaga ini pulak banyak-banyak. Buat yang 3 itu dulu.

Kehadiran saya di sana seperti dilahirkan semula. Syukur Allah mempermudahkan urusan ke sana. Kami hanya merancang, bahkan Dia-lah yang menentukan. Sesungguhnya Allah-lah sebaik-baik Perancang.

Yakinlah wahai pejuang, hari esok untuk Islam. Bekalkan dirimu ilmu dan amal, itulah tangga kejayaan.

Allahu Akbar!!!


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Ijtima' Tarbawi: Amanat Tuan Guru dan Tok Guru"