photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Wednesday, January 5, 2011

Isu Halal: Kenyataan Akhbar PEHMA


"Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezki yang telah diberikan Allah kepadamu; dan syukurilah nikmat Allah, jika kamu hanya kepada-Nya saja menyembah."

[An-Nahl 16:161]

Isu halal bukanlah asing bagi kita. Hampir setiap hari disentuh oleh media massa. Tidak dinafikan berlaku peningkatan dari pada pencapaiannya dari sudut pemahaman, kesedaran dan perlaksanaan. Apalagi semenjak negara bertekad menjadi Hab Halal Dunia. Pelbagai usaha digembeling bagi mencapai maksud ini.

Namun terdapat tindakan-tindakan segelintir pihak yang bukan sahaja tidak membantu, bahkan merencat dan mencacatkan perkembangan baik ini.

Terbaru isu halal di sebuah rumah sembelihan di Sarawak. Serbuan Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS) ke atas premis menggemparkan semua. Ayam mati kerana lemas dan sembelihan yang tidak menepati syarak. Ini semua pasti meremukkan hati umat Islam yang menjadi pengguna terbesar di negara ini.

Lebih malang lagi ialah kerana ianya berlaku di rumah sembelihan yang telah mendapat persijilan halal dan telah diberi amaran sebelum ini di atas keingkaran mereka.

Soal halal adalah sesuatu yang tiada kompromi bagi seorang Muslim kerana ia merupakan simbol pengabdian kepada Yang Maha Kuasa.

Meneliti isu ini, Persatuan Profesion Eksekutif Halal Malaysia (PEHMA) mendapati ianya berlaku disebabkan ketiadaan Pegawai Eksekutif Halal atau Hal Ehwal Islam (Pengajian Islam) di pihak industri bagi mengendali dan memastikan pematuhan prosedur pensijilan halal. Sebagaimana yang termaktub di dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia di bawah Perkara 6.4 Keperluan Umum Bagi Pensijilan Halal.

Selain itu, MS1500:2009 (Makanan Halal – Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan – Garis Panduan Umum (Semakan Kedua)) yang dikeluarkan oleh Jabatan Standard Malaysia juga dengan jelas menggariskan dalam Perkara 3.1.1 (Keperluan: Tanggungjawab Pengurusan) iaitu pihak pengurusan hendaklah melantik pegawai eksekutif halal yang beragama Islam atau mewujudkan jawatankuasa yang terdiri daripada orang Islam yang bertanggungjawab memastikan perlaksanaan sistem kawalan halal dalaman.

Adalah mustahil bagi JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri untuk melakukan pemantauan secara harian di semua premis memohon atau mendapat pensijilan halal di seluruh negara. Maka di sinilah letaknya peranan pegawai eksekutif halal bagi memelihara perut-perut umat Islam dari dicemari makanan yang haram dan syubhah.

Keberadaan pegawai eksekutif halal adalah sesuatu yang sangat mendesak demi menjamin status halal produk yang dihasilkan pihak industri makanan dan barang gunaan. Ini kerana peranan besar mereka dalam membangunkan sistem kawalan halal dalaman melalui polisi, pemantauan, audit dalaman, dokumentasi dan latihan halal berkala.

Sekiranya pihak industi serius dengan mematuhi Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan MS1500:2009 dengan melantik pegawai eskekutif halal dalam industri, nescaya perkara-perkara seperti yang kita dengar pada hari ini tidak akan berlaku lagi.

PEHMA komited terhadap perkara ini. Ianya bukan sahaja mempercepatkan hasrat kerajaan mencapai Hab Halal Dunia yang berintegriti dan diyakini oleh masyarakat dunia bahkan yang lebih utama ialah sumber-sumber makanan dan bahan gunaan umat Islam dipelihara sebaiknya.


Sekretariat
Persatuan Profesyen Eksekutif Halal Malaysia (PEHMA)
Bandar Seri Putra, Bangi
29 Disember 2010


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

1 comments: on "Isu Halal: Kenyataan Akhbar PEHMA"

Akh Hakim said...

Salam ziarah kembali.

Isu halal haram dalam bab makanan memang tak boleh dipandang enteng. Sekiranya ia berlaku, kita perlu mengkhabarkan pada semua orang bahawa perkara itu berlaku, dan tak mustahil akan berlaku lagi.

Alhamdulillah, kita dapat detect, moga-moga kita tak terkena dengan sembelihan yang salah.

-Akmal Hakim