photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Tuesday, August 9, 2011

Ramadhan, Riang Bersulam Bimbang


Ka’ab bin ‘Ujrah r.a, beliau berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Datanglah kalian ke mimbar. Kemudian kami datang. Maka apabila baginda naik anak tangga pertama, baginda berkata "Amin", lalu apabila baginda menaiki anak tangga kedua, baginda juga berkata, "Amin", apabila baginda melangkah ke anak tangga ketiga, baginda berkata, "Amin" Maka apabila baginda turun dari mimbar, kami berkata: Wahai Rasulullah, sungguh hari ini kami telah mendengar dari engkau sesuatu yang belum pernah kami dengar. Baginda bersabda: Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku lalu berkata: Celakalah orang yang membiarkan bulan Ramadhan berlalu begitu sahaja sehingga dia tidak diampuni. Aku berkata "Amin". Lalu ketika aku naik ke anak tangga kedua dia berkata: Celakalah orang yang mendengar namamu, tetapi dia tidak berselawat ke atasmu. Aku berkata:"Amin. Bila aku melangkah naik ke anak tangga ketiga, Jibril berkata: Celakalah orang yang mempunyai kedua ibubapa yang telah tua keduanya atau salah seorang di antara keduanya, namun mereka tidak dapat memasukkannya ke syurga (yakni gagal untuk melayani dan berkhidmat kepada mereka, yang mana ianya membolehkan seseorang mendapat syurga). Aku berkata "Amin".

[Riwayat Al-Hakim, Ibn Hibban, At-Thabrani dan Al-Baihaqi]

Saat mendengar hadis ini, hati kecil saya yang riang dengan hadirnya Ramadhan bagai terpukul.

Saya terkesima.

Ya, riang bersulam bimbang. Sangat membimbangkan.

Jibril as berdoa, Rasulullah saw mengaminkan. Yang berdoa malaikat, yang mengamin kekasih Allah. Tak cerita panjang, pasti makbul.

"Bukan kecil-kecil anak punya doa!" hati berdetik, bibir mengetap.

"Celakalah orang yang membiarkan bulan Ramadhan berlalu begitu sahaja sehingga dia tidak diampuni...", bait-bait hadis itu bagai bergema-gema di fikiran mengetuk pintu hati akan merenungi dan bermuhasabah.

Rasulullah saw mengiyakan doa Jibril as yang mencela dan mencelakakan sesiapa yang mensia-siakan Ramadhan.

Celaka! Celaka! Celaka!

"Akukah orangnya?"
"Pasti ke habis Ramadhan ni dosa aku terampun?"
"Amalan dah berapa banyak?"
"Puasa setakat berlapar dahaga atau betul-betul puasa?"

Semua soalan datang bertalu-talu. Lidah kelu, sekadar berteleku.

"Ya Allah...aku mohon hidayah dan taufiq-Mu agar aku sentiasa di atas jalan-Mu. Kurniakanlah kekuatan untuk aku beribadah dan mentaati setiap perintah-Mu dan mengikuti sunnah kekasih-Mu, Muhammad saw..."

Gelisah kian bertamu.



Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Ramadhan, Riang Bersulam Bimbang"