Friday, May 4, 2012

Halal Haram: Syubhah Pada Sushi

Orang Melayu pada saya adalah sekelompok masyarakat yang sangat mudah menerima budaya atau perkara baru yang datang daripada luar. Tak perlu pergi jauh, lihat sahaja bab makanan.

Jenis-jenis Sushi di pasaran
Kita tidak bermasalah dengan masakan Cina, India, Siam, Barat dan Arab. Kalau boleh semua jenis masakan kita ingin mencuba. Tidak terkecuali masakan Jepun. Lihat sahaja di pusat-pusat membeli-belah. Agaknya kalau tiada restoran masakan Jepun, tidak lengkap barang kali.

Yang menarik, antara penggemar yang selalu mengunjunginya ialah orang Islam.

“Kita nak makan apa petang nanti?”, soal saya pada seorang rakan.

“Makan sushi jom! Sedap sangat. Ada sushi salmon, sotong, telur ikan. Asasnya makanan lauklah. Makan dengan wasabi”, dia membalas. Dari cara jawabnya, jelas dia seorang penggemar makanan Jepun yang popular itu.
Ya, itulah kefahaman biasa masyarakat awam. Sushi bersumberkan hasilan laut. Dan sememangnya dalam Islam, setiap makanan sumber lautan adalah dibenarkan selagimana ia tidak memudaratkan kesihatan dan beracun. Sebagaimana firman Allah:

“Dan Dia-lah, Allah yang menundukkan lautan (untukmu), agar kamu dapat memakan daripadanya daging yang segar (ikan, sotong, udang dan sebagainya), dan kamu mengeluarkan dari lautan itu perhiasan yang kamu pakai; dan kamu melihat bahtera berlayar padanya, dan supaya kamu mencari (keuntungan) dari kurniaan-Nya, dan supaya kamu bersyukur” [An-Nahlu:14]

Tetapi satu perkara yang ramai tidak tahu. Bahan asas untuk membuat sushi ialah sakẽ. Ia sejenis arak dalam masyarakat Jepun.

Sakẽ adalah sejenis arak yang dihasilkan daripada proses fermentasi beras. Ianya terkenal khusus di kalangan masyarakat Jepun sejak ribuan tahun lagi. Purata kandungan alkoholnya sekitar 15% sehingga 17%. Ia lebih menghampiri minuman bir. Namun secara khususnya orang Jepun menggelarnya Nihonshu. Ia mengakar dalam budaya masyarakat Jepun sebagai minuman yang yang wajib dalam sebarang keraian selain mempunyai khasiat kepada kesihatan.

Beras, koji (sejenis beras Jepun digunakan dalam proses menjerang demi untuk memecahkan molekul kanji kepada molekul-molekul gula yang boleh digunakan sebagai makanan kepada sel-sel yis), yis dan air adalah bahan yang diperlukan untuk menghasilkan sakẽ. Kualiti bahan-bahan tersebut sangat mempengaruhi kualiti sakẽ yang dihasilkan.
Menyelerakan. Tapi pastikan dahulu status halalnya.

Bahan-bahan itu tadi akan diperam selama kurang lebih sebulan sehinggalah ia bertukar menjadi arak. Maka inilah yang menjadi masalah kepada umat Islam kerana penggunaannya dalam proses pembuatan sushi.

Dalam pada kita menginginkan sesuatu, sewajarnya garis panduan yang dibawa oleh Islam adalah jawapannya. Setelah meneliti proses pembuatan sushi, maka bolehlah kita mengkategorikannya di dalam makanan yang syubhah. Mungkin saja ia halal, mungkin juga ia haram. Sabda Nabi s.a.w:

“…Sesiapa menjaga dirinya dari segala yang syubhah itu, maka sesungguhnya ia memelihara agama dan kehormatan dirinya. Dan sesiapa terjatuh dalam perkara syubhah, kemungkinan ia terjatuh ke dalam yang haram seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, maka dikhuatiri binatang-binatang ternakannya akan masuk (dan makan rumput) di dalam kawasan larangan itu. Ketahuilah! Sesungguhnya bagi setiap raja ada kawasan larangan dan kawasan larangan Allah ialah segala yang diharamkan olehNya.” [HR Bukhari dan Muslim]

Justeru, carilah dapur atau restoran makanan Jepun yang telah mendapat pensijilan halal daripada JAKIM/JAIN, supaya dengan itu anda bukan sahaja dapat menjamah makanan kegemaran anda. Jauh dari itu, anda tidak meninggalkan apa yang dituntut oleh agama.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

2 comments: on "Halal Haram: Syubhah Pada Sushi"