photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Tuesday, November 13, 2012

Halal Haram: Gelatin dalam Industri

Kapitalisme menjadikan banyak pemain industri makanan yang membelakangkan kepentingan pengguna Islam

Masih ingatkah lagi tulisan saya pada Kolum Halal Haram Bil.2? Saya telah menyentuh berkenaan ramuan kritikal dalam makanan. Yang terlepas, saran saya agar dapatkannya segera.

Baik. Penulisan kali ini saya ingin menerangkan berkaitan salah satu ramuan kritikal iaitu gelatin. Kalau dahulu cuma sepintas lalu sahaja, namun kali ini saya akan memperincikannya untuk kefahaman dan manfaat kita bersama.
 
Sebelum kita pergi lebih jauh, adalah lebih baik kita kenali dahulu apa itu gelatin.

Gelatin ialah bahan protein yang berasal dari kolagen. Ia sejenis protein semulajadi yang terkandung dalam tendon, tulang dan kulit haiwan. Gelatin juga sejenis protein hasilan yang larut dalam dan dihasilkan melalui satu proses hidrolisi ke atas kolagen.

Gelatin dikategorikan sebagai protein tulen iaitu tidak mengandungi lemak dan karbohidrat. Di Negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan sebahagian Negara Eropah, penggunaan gelatin di dalam makanan tidak memerlukan spesifikasi. Ini bermakna kita tidak akan menjumpainya pada label produk.

Gelatin dihasilkan dalam bentuk kepingan dan serbuk. Gelatin memiliki sifat yang pelbagai fungsi dan luar biasa. Sifat-sifat seperti penstabil, pemekat, penggebu, pengental dan pengenyal  telah menjadikannya sebagai satu komoditi yang sangat berharga dan penting dalam pemprosesan makanan dan farmaseutikal.

Seperti yang saya terangkan di atas, sifatnya sangat pelbagai fungsi menyebabkan ia digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian. Sedar atau tidak, sememangnya gelatin wujud hampir sebahagian besar makanan, ubatan dan kosmetik.
Budaya Barat menjadi ikutan dalam menyambut hari lahir. Tak lengkap tanpa kek. Tapi halalkah kek yang anda beli?

Gelatin menjadi aditif yang penting dalam makanan. Hampir setiap kek, minuman bersusu, keju, mentega, marjerin, gula-gula, aiskrim, roti, jeli, gula-gula getah, pencuci mulut, marshmellow dan coklat yang kita makan itu mengandungi gelatin.
Biasa dihidang di Hari Lebaran. Bimbang terhidang yang haram, syubhah

Rasa lazat yang anda nikmati, bentuk yang cantik, tekstur yang gebu apabila dikunyah, pekat berkrim apabila diminum, nilai makanan yang lebih baik, mencair di dalam mulut dan seumpamanya adalah hasil daripada manfaat gelatin itu tadi.

Sememangnya gelatin sangat berfungsi dalam memberikan apa sahaja kebaikan dan nilai tambah pada makanan yang kita ambil.
Gelatin tidak asing dalam industri farmaseutikal

Begitu juga dalam pembuatan farmaseutikal. Disebabkan gelatin mudah larut dalam perut, ia digunakan secara meluas bagi menghasilkan kapsul ubat-ubatan. Turut sama diguna bagi menghasilkan ubat tablet dengan campuran agen pelincir dan anti pelekat. Begitu juga dalam pembuatan supositori iaitu pepejal beberentuk kelongsong atau kon untuk dimasukkan ke dalam rektum atau dubur.

Baik, kita teliti pula sumbernya. Seperti sedia maklum, inilah antara elemen kritikal yang akan mementukan halal haramnya sesuatu produk itu. Islam melihat kepada sumbernya selain proses pembuatan.

Gelatin boleh didapati dari dua sumber iaitu haiwan dan tumbuhan.

Babi dan lembu adalah dua sumber utama gelatin
Sumber haiwan lazimnya didapati daripada babi atau lembu. Ini kerana dua binatang ia adalah sumber daging paling utama di dunia. Ada juga yang diperoleh daripada sumber laut seperti ikan. Tetapi ia sangat terhad bahkan mahal.

Sungguhpun gelatin itu bersumberkan lembu. Seperkara ia adalah haiwan yang halal dimakan, cuma persoalannya di sini, adakah ia disembelih menurut syarak?

Firman Allah Azzawajalla: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah”. [An-Nahl: 115]
 
Justeru, apabila ketidakpastian ini wujud, kita mengkategorikannya sebagai syubhah.

Maka pesan Nabi s.a.w: “…Barangsiapa menjaga dirinya dari segala yang syubhah itu, maka sesungguhnya ia memelihara agama dan kehormatan dirinya”. [HR Bukhari & Muslim]

Oleh yang demikian, saya mengingatkan sesama kita. Tolong pelihara sungguh makan minum. Ingatlah bahawa Islam ia datangnya untuk memelihara manusia antaranya di sudut agama dan kehormatan diri.
Sekiranya kita menjaga halal haram dalam kehidupan kita. Apalagi di zaman yang penuh mencabar dan Islam kembali dagang ini, sesungguhnya kita telah memenuhi saranan kekasih kita, Muhammad s.a.w.

Wallahu a’lam.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Halal Haram: Gelatin dalam Industri"