photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Wednesday, June 26, 2013

Halal Haram: Panduan Membeli Ayam Segar Di Pasar

Bukanlah pelik jika kita cerewet dalam memilih dan membeli apa sahaja produk makanan atau barang gunaan. Bahkan ada yang jenis sangat cerewet. Mengapa begitu? Tidak lain tidak bukan adalah kerana kita mahukan yang terbaik dan sesuai. Apatah lagi dalam bab makanan yang mana ia akan menjadi darah daging kita.
 
Ayam adalah sumber protein utama masyarakat Malaysia
Antara barang dapur yang biasa kita membelinya ialah ayam. Sementelah rakyat Malaysia adalah antara pengguna terbesar daging ayam dan produk berasaskan ayam di dunia.

Kita maklum bahawa ayam adalah halal di sisi Islam. Namun halal ayam ada syaratnya iaitu mesti disembelih dengan sempurna menurut syarak.

Penyembelihan dari segi bahasa bermaksud potong atau belah atau melukakan bahagian tertentu pada binatang oleh orang tertentu dengan alat tertentu bermaksud menyembelih binatang tersebut.

Manakala dari segi syarak ialah menghilangkan nyawa binatang yang halal dimakan dengan menggunakan alat yang tajam selain dari kuku, gigi, dan tulang untuk membolehkan haiwan itu halal dimakan oleh orang Islam.

Hukum menyembelih haiwan yang halal dimakan jika mampu dikuasai hukumnya adalah wajib. Haiwan yang tidak disembelih menurut syarak dikategorikan sebagai bangkai dan najis. Bagi haiwan yang tidak dapat dikuasai (haiwan buruan seperti rusa, kancil dan seumpamanya) adalah diharuskan melukakan pada mana-mana bahagian tubuhnya sahaja (contohnya panahan) dengan maksud menyembelih (ketika memanah). Sekiranya haiwan itu tadi diternak, maka hukum balik kepada asal iaitu disembelih.

Sabda Rasulullah s.a.w; “Sembelihan adalah di antara pangkal dagu dan pangkal leher” (HR Ibnu Abbas)
 
Kaedah sembelihan menurut syarak
Sembelihan yang sah hendaklah memutuskan halqum (saluran pernafasan) dan mari’ (saluran makanan dan minuman) dan memutuskan vena jagular dan arteri karotid. Hukum memutuskan halkum dan mari’ adalah wajib manakala memutuskan vena jagular dan arteri karotid adalah sunat.

Allah Azzawajalla berfirman; “Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.” (Surah Al-An‘am: 118)

Urat marikh dan halkum terputus sempurna

Nabi s.a.w pula bersabda; “Sesungguhnya Allah mewajibkan untuk berbuat baik terhadap sesuatu. Oleh kerana itu, jika kamu membunuh, perbaikkanlah cara membunuhnya, apabila kamu menyembelih maka perelokkanlah cara penyembelihannya serta tajamkanlah pisaunya dan mudahkanlah penyembelihannya itu.”(HR Muslim)

Ada beberapa langkah yang perlu kita ambil sebelum membeli ayam segar mahupun daging lembu, kambing dan seumpamanya sama ada di pasar tani, pasaraya dan lain-lain.

Bagi memilih ayam, perkara pertama semestinya memeriksa tempat sembelihan ayam itu. Maksud saya, pada lehernya. Pastikan terlebih dahulu halkum dan mari’nya dipotong dengan sempurna.  Namun langkah ini hanya terpakai pada ayam yang dijual secara seekor-seekor sahaja.

Bagi yang dijual sudah dipotong-potong dan dibahagikan mengikut kategori seperti paha, dada dan seumpamanya, menjadi tanggungjawab kita untuk bertanya terlebih dahulu kepada peniaga. Sekiranya ia diambil dari pembekal, sila minta sijil halal ayam tersebut. Jika diperhati, kini di pasaraya sudah mula mempamerkan sijil halal dari pembekal ayam segar tersebut.

Tiada manusia yang menerima cara ayam-ayam ini dikendalikan. Premis kotor dan ayam dibiar di atas lantai.

Begitu juga halnya jika kita membeli di pasar-pasar, ada dua kemungkinan ayam tersebut diperoleh. Sama ada disembelih sendiri di premis atau diambil dari pembekal. Maka ringankanlah mulut untuk bertanya sumber ayam tersebut dan status halalnya.

Kesalahan yang biasa dilakukan oleh pengusaha waima Muslim.  Ini menyebabkan status halalnya diragui.

Tips mengetahui ayam yang dijual di pasaran disembelih dengan sempurna ialah daging kelihatan pucat. Sekiranya daging ayam tersebut kelihatan merah, itu bermakna ia tidak disembelih dengan sempurna dan darah masih berbaki di dalam daging tersebut.

Putih pucat antara tanda ayam disembelih dengan sempurna. Tiada lagi darah dalam daging.

Setelah kita mengambil langkah-langkah tadi, maka teruskanlah hajat untuk membeli ayam segar tersebut. Kaedah Usul Fiqh mengajar “نحن نحكم بالظواهر " (Kita berhukum berdasarkan zahir sesuatu).

Sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan An-Nasai. Di zaman Rasulullah saw , terdapat satu kisah bagaimana 2 orang sahabat telah datang bertemu dengan Baginda saw dan menceritakan masalah yang menimpa mereka dengan tujuan untuk memohon sedekah/zakat daripada Rasulullah s.a.w. Kemudian, Rasulullah saw telah memandang mereka berdua dengan pandangan yang penuh dengan kehairanan. Begitu juga Rasulullah saw mendapati bahawa mereka berdua mempunyai tenaga dan masih kuat. Maka Rasulullah saw pun berkata, jika aku mahu, aku akan berikan kepada kamu….(berdasarkan cerita kamu), Sesungguhnya zakat/sedekah tidak boleh kepada yang kaya dan yang mempunyai keupayaan.
 
Namun sekiranya, rasa ragu-ragu masih bersisa dalam dada, batalkan sahaja niat tersebut. Itulah jalan yang lebih baik.

Sebagai maklumat tambahan, antara pembekal ayam segar yang utama di Malaysia ini seperti HLRB Processing Sdn Bhd, Pertanian Pertiwi Sdn Bhd dan Dinding Poultry Processing Sdn Bhd. Syarikat-syarikat ini mempunyai pegawai hal ehwal Islam atau eksekutif halal yang membangun dan menyelia Halal Assurance System (HASYS) dalam syarikat masing-masing. Kewujudan eksekutif halal adalah sangat penting bagi mempastikan industri mematuhi keperluan syarak pengguna Muslim.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Halal Haram: Panduan Membeli Ayam Segar Di Pasar"