photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Tuesday, December 22, 2009

Mencari Susah Yang Hilang


"Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barang siapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat"

[As-Syura 42:20]

Para sahabat Rasulullah saw sangat gusar dan gelisah jiwa mereka tatkala sudah lama tidak ditimpa dengan kesusahan, musibah atau rasa sakit. Mereka takut nikmat dunia yang fana' memalingkan pandangan dan tumpuan mereka kepada nikmat akhirat yang kekal.

Kesakitan, kesusahan dan penderitaan adalah ujian iman. Hadirnya bersama kifarah dosa, mengangkat darjat, menambah pahala dan meneguh iman. Bagi para sahabat itu tandanya Allah Taala memberikan perhatian kepada mereka.

Berada terlalu lama dalam kesenangan dan kemewahan tanpa secebis rasa susah dan perit, bisa saja membuatkan kita berasa selesa dan lupa diri. Tiada apa yang perlu dirunsingkan itulah yang sebenarnya yang perlu dirunsingkan.

Muhasabah pula diri kita. Bilakah kali terakhir kita berlapar dahaga? Bilakah kali terakhir kita merasa sakit dan ditimpa musibah yang menguji tahap keselesaan dan kesabaran ini?

Perkara ini sebenarnya yang berlegar-legar di ruang kepala. Meneliti satu persatu perjalanan hidup membuatkan aku termangu memikirkannya.

"Mencari susah yang hilang...", itulah yang bermain di fikiran.

Sebagai anak peneroka FELDA, kewangan adalah sesuatu yang terhad bagi kami. Usahkah untuk berbelanja, untuk makan minum ianya dicatu. Wang yang sedikit mesti diurusbelanja dengan cermat.

Pernah juga seminggu tidak menjamah nasi. Hanya biskut kering berlaukkan air masak. Menu ini bukanlah asing. Lemah lesu menghadirir kuliah. Tapi itulah kisahnya.

Terjun ke dalam dunia kefasilitatoran adalah antara inisiatif untuk menambah duit poket yang tidak seberapa. Upah itu digunakan untuk menampung sedikit sebanyak perbelanjaan sebagai seorang mahasiswa yang berkelana menuntut ilmu di negeri orang.

Aku masih teringat dan akan ingat sampai bila-bila saat saya mengedarkan sakla-sakla (flyers) dari rumah ke rumah. Aku diupah oleh sebuah syarikat untuk tujuan itu. Merata cerok Bangi sakla-sakla itu aku edarkan. Upahnya tidak lumayan. Cuma 6 sen sehelai. Jika 2000 helai bermakna aku perlu menerjah peti-peti surat 2000 buah rumah. Namun nilai duit yang kecil itu sangat berharga bagi insan seperti aku atau mungkin juga sahabat di luar sana.

Kini sudah hampir 2 tahun aku meninggalkan alam perkuliahan. Sibuk dengan kerjaya dalam masa yang sama menyumbang untuk keluarga dan ummah.

Jika dahulunya makanpun bercatu, kini agaknya makan minum berlebih-lebih. Bila duit bukan lagi masalah, maka di situ bermulalah masalah.

Masalahnya ialah kita tidak merasai keperitan dan kesusahan hidup. Nikmat RM1 menjadi kecil atau mungkin saja hilang harganya.

"Rozi, aku nak minta tolong engkau edarkan flyers aku!"

Suara guru SK Seksyen 2 Bandar Baru Bangi, Cikgu Pauzi di hujung talian. Dia memiliki sebuah pusat tuisyen dan pendaftaran mula dibuka.

Sukar sebenarnya untuk aku mengatakan tidak apalagi kepada seorang guru. Itu cara aku bermuamalat dengan guru-guru sedari bangku sekolah dahulu. Namun untuk melakukan pekerjaan yang sudah lama aku tinggalkan itu jauh lebih sukar.

Dalam keadaan sekarang yang aku boleh mendapatkan lebih wang dengan cara yang tidak seperit itu menambahkan lagi rasa berat dan benar-benar menguji.

"Tak berbaloilah. 6 sen je", getus hati kecilku. Bermulalah masalah pertama, demand.

"Dah lama aku tak rasa susah. Inilah masanya untuk dapat balik perasaan tu. Bukan senang nak jadi senang!", aku mula merasionalkan amanah yang telah aku terima itu.

Ya, kali ini aku lakukan bukan kerana nilai upah. Bahkan aku sebenarnya mencari susah yang sudah hilang. Aku mahu ia bertamu agar aku ingat mana asalku.

Moga nikmat dan kesenangan dunia tidak menyilaukan mata hati untuk terus berusaha meraih laba besar di akhirat sana.

read more...

Monday, December 21, 2009

Sedetik bersama 'Alamah Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi

Fikrah yang mendasari hidup ini sememangnya sangat dipengaruhi oleh pandangan pemikir dan ulama muktabar masa kini, Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Meneliti dan memahami hasil tulisan Al-Qaradhawi adalah antara perkara yang besar dalam membentuk fikrah aku dan dari situlah aku bergerak dalam dunia dakwah dan tarbiyyah.

Ulama pewaris para nabi, itu tegasan baginda Rasulullah saw untuk menunjukkan bahawa golongan inilah yang akan menyambung mata rantai ilmu dan dakwah Islam setelah kewafatan baginda Rasulullah saw.

Ditakdirkan untukku untuk melihat dan mendengar langsung dari diri Al-Qaradhawi yang datang ke Malaysia sebagai tetamu negara. Malaysia menganugerahkan kepadanya Tokoh Maal Hijrah 1431. Bagi aku, itu satu penghormatan yang selayaknya kerana sumbangan besar yang curahkan oleh beliau kepada umat Islam di negara ini dari pelbagai disiplin ilmu Islam. Setelah Dr. Wahbah Az-Zuhaili dikurniakan anugerah yang sama tahun lepas, aku mengharapkan agar Al-Qaradhawi juga akan dihormati begitu. Benar, 1431 Hijrah beliau benar-benar beroleh penghormatan sedemikian.

Aku berkesempatan menghadiri Muhadharah Perdana oleh Al-Qaradhawi di PICC, Putrajaya. Alangkah bertuah rasanya. Tiada kata untuk meluahkan apa yang terpendam. Al-Qaradhawi berucap panjang menerangkan tentang Fiqh Jihad. Aku tertarik pada lenggok bahasanya. Susah pada orang lain, tapi baginya itu mudah diungkap dan diperjelaskan.

Pada hari yang sama (19 Disember) selesai sahaja Solat Maghrib, aku bergegas ke Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz, Shah Alam. Al-Qaradhawi berucap. Lautan manusia di sana. Kelewatan memaksa aku meletak kereta agak jauh dari masjid. Menapak dan melangkah masuk ke dalam majlis ilmu yang padanya rahmat Allah dan lindungan sayap para malaikat-Nya.

Aku redah belaka. Mungkin inilah peluang yang satu-satunya diberikan Allah untuk aku menatap dari dekat wajah sang murabbi. Itu bukan hasrat aku sahaja, semua yang hadir juga begitu.

Selesai sahaja majlis, keadaan agak kecoh dan tidak terkawal. Hadirin berpusu dan berebut untuk mendekati sosok tubuh ulama besar dunia itu. Faktor kesihatan menghalang beliau untuk bersalaman sementelah kekalutan yang mungkin saja akan membahayakan Al-Qaradhawi.

Sang Murabbi itu melintas di hadapanku. Saat paling dekat sekali cuma 50cm jarak kami. Aku hanya melihat. Keadaan tidak mengizinkan untuk aku berjabat dan mengucup peribadi yang sangat aku kagumi itu.

Keadaan semakin kecoh dan hilang kawalan. Aku sempat menarik Tan Sri Khalid Ibrahim daripada terjerumus dalam lautan manusia. Begitu juga Dato' Dr Hasan Ali. Jika tidak mungkin saja Menteri Besar dan Exco Selangor itu jatuh dihempap hadirin yang terus berusaha merapati Al-Qaradhawi.

Aku kesal sebenarnya. Bagaimana tiada kawalan yang rapi sepanjang keberadaan 'Alamah Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi sedangkan beliau adalah tetamu Kerajaan Malaysia. Tiada laluan khas, tiada pengawal khusus, tiada polis pengiring. Tak sepatutnya ini berlaku kepada seorang bertaraf ulama besar dunia.

Selesai sahaja majlis aku terus bergegas pulang.

Keberkatan ulama

Teringat ceramah Dato' Ismail Kamus 12 tahun yang lalu. Diceritakan 2 orang pemuda bersahabat baik dan rapat. Seorang sifatkan bertakwa dan sangat cintakan ulama dan seorang lagi hanya pemuda biasa yang sering kali alpa.

Di Padang Mahsyar Allah memerintahkan malaikatnya untuk menghisab dua orang pemuda ini. Pemuda yang pertama beroleh nikmat di Syurga atas amalan yang dilakukannya di dunia dahulu. Manakala sahabatnya tidak begitu. Memang Nerakalah tempat kembalinya.

Namun Allah memerintahkah malaikatnya hisab dan cari asbab untuk memasukkan pemuda malang itu ke Syurga-Nya. Puas malaikat meneliti. Jawapannya tetap sama, Neraka.

Allah Taala yang maha pemurah lagi maha penyayang memerintahkan malaikat-Nya memasukkan juga pemuda itu ke Syurga.

Terasa aneh dan pelik dengan arahan itu lalu malaikatpun bertanya, Ya Allah! mengapa diberikan Syurga kepadanya sedangkan itu bukan yang selayak baginya?

Jawab Allah swt, kerana dia cintakan sahabatnya dan sahabat itu cintakan ulama.

Subhanallah. Besarlah kelebihan dan keistimewaan ulama di sisi Allah dan Rasul. Justeru, seharusnya kita berlumba-lumba mendekati para alim ulama kerana di situ ada berkat dan rahmat Allah.
read more...

Hijrah untuk Berubah


" Orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharap rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"

[Al-Baqarah 2:218]

Hijrah dalam bentuk sebagaimana yang dilakukan oleh baginda Rasulullah saw dan para sahabat 1431 tahun yang lalu sememang sudah tiada. Baginda saw secara rasminya memasyhurkan bahawa tiada lagi hijrah selepas Fathu Makkah.

Maka yang tinggal hanyalah semangat hijrah. Semangat itulah yang diguna pakai dalam bentuk islah diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Daripada kejahatan kepada kebaikan, kejahilan kepada ketaqwaan, kezaliman kepada keadilan, kufur kepada Islam, nifaq kepada iman, gelap kepada cahaya dan begitulah seterusnya. Ringkasnya ia menuntut kepada yang lebih baik, itulah matlamatnya.

Adapun bila tahun bersilih ganti, sekian banyak manusia sibuk dengan azam baru (baca azam lama yang dibarukan, repacking). Bukan tidak boleh, bahkan digalak. Namun jangan seperti menanam tebu di bibir. Habisnya sekadar di situ. Tidak kurang, tidak lebih.

Sebut sahaja hijrah, mahu tak mahu ia terkait dengan berubah. Maka bila bicara soal berubah, ia nanti jadi payah.

Perokok yang setia dengan rokoknya, manakan mudah hendak berhenti. Pegawai yang kerjanya pegang pen, payah juga mahu menyabit rumput. Orang yang tidak biasa berkain pelekat, memang susahlah mahu bersarung solat di masjid.

Tapi bukanlah kata tidak boleh. Boleh itu boleh. Sementara nak bagi boleh ia pastinya memakan masa. Sementara memakan masa pastinya ia sedikit sukar dan liat juga. Pesan orang-orang tua, alah bisa tegal biasa. Itulah natijah.

Hasilnya pasti lumayan. Dari susah mahu berpuasa sunat, senang pula jadinya. Dari tak pernah berqiamullail, bangun juga dia sekali sekali. Dari jarang membaca Al-Quran, boleh jadi ia rajin berusaha membaca.

Justeru apapun azam kita dan mereka, kunci hijrah hanya satu. Lakukan dengan sepenuh hatimu.

Sudahkah anda berselawat ke atas baginda Rasul saw? Berselawatlah sebagai tanda syukur atas usaha baginda saw dan para sahabat kita bisa selamat atas jalan iman dan Islam.
read more...

Wednesday, December 9, 2009

Masjid Babri, Bukan Pejuang Demokrasi


“Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu untuk bermain-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami, maka Maha Suci Allah raja yang sebenarnya tiada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang memiliki) arasy yang mulia”

[Al-Mukminun 23:115-116]

6 Disember 2009 yang lalu genaplah sudah 17 tahun peristiwa hiba kepada umat Islam seluruh dunia terutamaya di benua kecil India. Mungkin ada yang tertanya-tanya apa peristiwanya. Atau mungkin saja yang tahu tetapi terlupa.

Pada tarikh tersebutlah rumah Allah di Ayudha, India yang sudah berdiri megah sedari kurun ke 16 dirobohkan oleh puluhan ribu pengganas Hindu dan membunuh umat Islam yang bersolat di dalamnya. Masjid Babri itu panggilnya.

Dakwa mereka itu adalah tempat lahir Dewa Ram. Maka mereka berhak ke atasnya. Macam juga Yahudi mendakwa tapak Masjid Al-Aqsa itu bekas runtuhan Haikal Sulaiman. Maka segala usaha untuk itu dikira halal belaka mestipun bukti itu langsung tiada.

Kalau ada yang lahirnya pada masa itu (1992) maka dia baru sahaja selesai menduduki SPM. Namun jangka masa yang panjang ini, Kerajaan India masih tidak menghukum pelaku-pelakunya. Keadilan untuk umat Islam bagai gantung tidak bertali.

Mencari bukti di mana-mana enjin carian bukan sukar. Carilah di Yahoo, Google, dan lain-lain pasti berjumpa bahkan wajah-wajah mereka jelas terpampang.

Kesucian agama Islam terus akan dicabul selagi mana umat ini tidak kembali kepada Khilafah Islamiyyah. Sebaik sahaja Sultan Abdul Hamid digulingkan oleh tentera kuffar pada kurun yang lalu atas nama demokrasi dan kemodenan, maka bermulalah kisah sedih dan kejam ke atas umat Islam seluruh dunia.

Negara umat Islam Palestin dirampas lalu didirikan negara haram Israel, Perang Yom Kippur antara Israel dan Arab yang menyaksikan Masjid Al-Aqsa Al-Mubarak dirampas, kita hilang kuasa atasnya. 3 tahun selepasnya (1969) masjid suci itu dibakar.

Pemimpin Ikhwan Muslimin iaitu Hassan Al-Banna dibunuh, Syed Qutb digantung mati, ribuan pejuang Islam merengkok dalam penjara. Bosnia dan Kosovo bermandi darah. Gerakan Islam Algeria yang memenangi pilihanraya dinafikan. Dr Nejmeddin Erbakan yang mengetuai Parti Refah digulingkan dari memerintah Turkey mestikan parti Islam itu memenangi pilihanraya. Afghanistan dicabuli, kehormatannya dikotori. Chechnya sampai kini berjuang membebaskan diri dari penjajahan kuffar. Iraq masih menderita dek pencerobohan Amerika juga atas nama demokrasi. Afghanistan juga begitu. Mindanau di Filipina terus ditekan. Sudan di Afrika sana sama juga nasibnya.

Saya hanya mencacatkan sedikit daripada sekian banyak lagi peristiwa hiba dan derita umat ini. Begitulah nasib umat yang dijajah, diperlakukan apa saja. Hujah sudah tak bermakna lagi. Betul dan salah bukan ukuran. Baik dan buruk hilang bezanya. Umat ditindas dan kezaliman itu dikatanya mulia. Dunia membutakan mata, memekakkan telinga, membisukan suara sehingga hati dan kesedaran menjadi mati. Nasihat menasihati berhenti. Menegur yang silap semakin tidak dipeduli. Menghalanga yang salah sudah keberatan. Kezaliman di depan mata, dialihnya pandangan ke tempat lain.

Inilah realiti apabila kita bagaikan anak ayam kehilangan ibunya.

“Aku bukan pejuang demokrasi”.

read more...

Wednesday, December 2, 2009

Syukur, Kebenaran Bersama Kita


"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya akan aku tambahkan (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu ingkar (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku amatlah berat" [Ibrahim 14:7]

Maka bersyukurlah kepada Allah kerana Dia telah menjadikan kita makhluk yang berspesis manusia. Justeru sebagai manusia kita dipikulkan oleh Allah dengan amanah dan tanggungjawab bagi memakmurkan bumi ini sesuai dengan apa yang diperintah oleh-Nya. Air, udara, besi, kayu, gunung, dan lain-lain manusialah yang Allah minta untuk urustadbirnya. Bukan jin, bukan juga malaikat apalagi iblis.

Allah Yang Maha Mencipta sudah menentukan peraturan dan kaedah bagaimana cara mentadbir alam ciptaan-Nya di dalam kalam-Nya, Al-Quran dan sunnah rasul-Nya, As-Sunnah.

Yang dikatakan bersyukur itu ialah apabila mengambil aturan dan undang-undang Allah sebagai panduan. Yang tidak bersyukur memandai-mandai mereka cipta peraturan dan undang-undang sendiri.

Kalau kita dijadikan makhluk kayu, ada juga gunanya. Dibuat bahan membina bangunan, penawar sebagai ubat-ubatan, diukir menjadi cantik, atau mungkin juga dibuat keranda dan dibakar. Maka itulah kita, bergerak tidak. Kemana pun tidak.

Kalau kita dijadikan binatang seperti babi tunggal, maka berkeliaranlah kita di semak dan hutan, menyondol-nyondol perdu pokok dan tanaman untuk mengisi perut yang lapar. Pada masa yang sama kita juga mungkin menjadi buruan singa dan harimau yang kita adalah rezekinya. Mungkin juga ditembak dan dijerat dek pemburu sebagai rezeki buat mereka yang tidak beriman.

Kalau kita dijadikan jin, maka itulah kita. Sebaik-baik jin sejahat-jahat manusia. Tiada apa yang mampu kita lakukan kerana begitulah kita.

Kalau kita dijadikan sebagai malaikat pula. Tetap patuh dan setia pada setiap arahan Yang Kuasa. Tidak diberi-Nya makan, minum, bersenggama dan berkeluarga. Makan, minum, tidur, berfikir dan bernafsu itu sifat dan nikmat atas manusia.

Nyata wajar kita bersyukur kerana dijadikan makhluk bernama manusia. Bukan binatang, tumbuhan, jin, iblis atau malaikat. Kerana manusia itu kalau baik darjatnya lebih tinggi dari malaikat. Kalau jahat darjatnya hina mengalahkan binatang. Tak mustahil sedarjat iblis dan syaitan.

Untungnya kita sebagai manusia. Dijadikan Allah sebagai orang Islam dan orang beriman. Itulah sebesar-besar nikmat Allah kepada kita.

Bukan semua makhluk berspesies manusia dikurnia Allah nikmat Iman dan Islam. Antara sekian banyak manusia itu Allah berikan kebebasan memilih jadi Majusi, Yahudi, Nasrani dan atiesme.

Tetapi kita diberi Allah, Iman dan Islam. Sayugialah kita bersyukur. Tanda syukur itu ialah kita melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah. Jika itu dibuat, maka bersyukurlah namanya.

Kita bersyukur juga kerana Allah menjadikan kita orang Melayu kerana orang Melayu itu tinggi pekertinya, sopan santun tutur kata. Berbudi bahasa atau orang yang kaya dengan budi bahasa, bertimbang rasa, mudah menerima dan sangat bertolak ansur dengan masyarakat di sekelilingnya.

Maka sebagai orang Melayu juga, kita bersyukur kerana selama sekurang-kurangnya 6 kurun orang Melayu itu 100% Islam.

Kalau kita dijadikan orang Melayu sebelum enam kurun yang lalu seperti di zaman Sang Nila Utama membuka Temasik, tentu saja kita menyembah berhala. Kalau kita orang Melayu zaman Kedah Tua atau Pahang Tua, jangan-jangan kita sedang kekenyangan kerana baru menjamah daging biawak dan babi bersama tegukan arak dan tuak.

Rugilah kita kalau menjadi orang Melayu ketika itu sebagaimana yang dilalui oleh nenek moyang kita dulu. Mereka menjadi penyembah berhala dan memuja semangat alam yang pastinya itu bukan sifat orang bersyukur. Dicipta Allah tetapi tidak menyembah-Nya. Patutkah hamba berlaku begitu?

Kita sememangnya patut bersyukur kerana kita dilahirkan sebagai orang Melayu yang menerima Islam sebagai agamanya.

Zaman berganti zaman, Islam berkembang dengan pesatnya di Nusantara yang mana Melayu adalah penghuninya. Kita bersyukur kerana seluruh orang Melayu di alam Melayu menjadi Islam.

Namun adakah orang Melayu yang sudah menerima Islam itu benar-benar beriman? Tidak kata Allah, sehinggalah mereka diuji dahulu.

Maka sekitar beberapa ratusan tahun orang Melayu hidup sebagai orang Islam, diuji Allah dengan datangnya penjajah ke rantau ini. Sepanyol yang baru saja mengalahkan kerajaan Islam Cordova belayar ke timur dunia memburu orang Islam. Dilanggarnya Filipina dan menjarahnya.

Feringgi mendarat di Melaka dan menakluknya. Kemudian datang pula Belanda mengusir Feringgi dan berdiam pula ia di Melaka. Lepas itu datang pula Inggeris menghalau Belanda dan dijajahnya seluruh Tanah Melayu yang Melaka di dalamnya. Belanda takluk pula sebahagian besar alam Melayu yang dinama Indonesia.

Belanda, Portugis, Sepanyol, dan Inggeris entitinya berbeda. Namun kesannya sama. Diajak Melayu meninggalkan Tuhannya dan menyembah selain Dia. Masing-masing menindas orang Melayu Islam. Penindasan itu ujian. Ia benar-benar mengancam iman mereka.

Dulunya Filipina tidak disebut Filipina. Amanillah nama asalnya. Kini yang berbaki cuma Manila. Amanillah tiada.

Kita bersyukur kerana ujian dijajah beberapa kurun berjaya dihadapi oleh orang Melayu Tanah Melayu. Apabila penjajah terpaksa keluar dari Tanah Melayu, orang Melayu 100% Islam. Singapura terkeluar dari Tanah Melayu, orang Melayu di Singapura masih saja beragama Islam.

Sebelum merdeka Singapura yang dulunya Temasik, didatangi pendatang asing dan menjadi mereka rakyat di situ. Orang Islam tenggelam dalam kebanjiran pendatang yang kini berstatus rakyat. Selepas merdeka, ia sudah menjadi republik yang orang Melayu bukan lagi tuannya. Tetapi orang Melayu Singapura tetap jadi Islam.

Apabila Sepanyol keluar dari Amanillah. Nama itu sudah lama digugurkannya. Orang hanya mengira ia Filipina. Orang Filipina menanggalkan kemuliaan mereka dengan membuang Islam dari anutannya. Mereka sudah bertukar agama. Hanya sebahagian kecil di selatan negaranya yang mahu Islam sebagai pegangan hidup.

Indonesia juga ada ceritanya. Keluar Belanda, rakyat Indonesia tidak lagi 100% Islam. Di bawah satu bumbung bermacam agama adanya. Dirasa semua agama adalah sama. Bagaimanapun Islam masih majoriti di Indonesia.

Tetapi di Tanah Melayu, Inggeris keluar setelah sedekahkah merdeka kepada United Malayan National Organization yang juga anak didiknya. Tiada upaya ia menggugat Islam pada orang Melayu. Rekodnya masih 100% Islam.

Kehidupan semestinya satu ujian. Orang Melayu sekali lagi diuji oleh Tuhannya. Didatangkan pula nikmat kemerdekaan. Orang Melayu memerintah sendiri. Undang-undang dibuat sendiri. Perbendaharaan negara diurus sendiri. Pemimpin-pemimpin Melayu dipuji kiri kanan, depan belakang. Semua dibuat dikata baik. Tiada cacat, kalis cela.

Tetapi setelah lebih 50 tahun merdeka dengan penuh ujian kesenangan itu, ramai orang Melayu mengambil dadah dan ganja. Yang teramai anak-anak orang Melayu yang Islam itu agamanya. Yang jadi mat rempit belia Melayu, yang melepak juga anak Melayu, yang rosak dan runtuh akhlak pun ramainya orang Melayu. Sekarang yang ditangkap di negara orang kerana membawa dadah juga beliawanis Melayu.

Semasa diuji dengan penjajahan, orang Melayu kental. Mungkin saja kebal. Tiada yang terfikir mahu keluar dari agamanya kerana kahwin dengan orang lain, bahkan orang lain pula yang menganut Islam. Sesudah diuji kesenangan, gadis Melayu mengikut jantan lain bukan lagi luar biasa. Ditukar agama juga jadi biasa. Kehidupan beragama dalam kalangan orang muda tidak lagi semacam dulu.

Pelajaran, ekonomi, agama, budaya, siasah orang Melayu bukanlah yang terbaik. Rasuah, bom orang, salah guna kuasa, penyelewengan, tidak berdisiplin adalah satu fenomena biasa yang jauh dari luar biasa.

Tidak pintar untuk meramal masa depan orang Melayu selepas merdeka. Dulu ada bangsa hebat namanya, Babylon. Sekarang bangsa itu tiada lagi. Dulu ada bangsa Kibti membina tamadun agung di Mesir. Kubur sahaja sudah cukup mengkagumkan. Piramid diberi nama. Bangsa itu lenyap. Dulu juga ada bangsa Tsamud. Soleh itu rasulnya. Dipahat gunung menjadi istana. Bangsa itu juga lenyap kerana sifat syukur tiada padanya.

Kalau Babylon yang membina Taman Tergantung itu bisa lenyap, Kibti yang membangunkan piramid dan bandar terancang juga lenyap, begitu juga Tsamud apa tidak mungkin bangsa Melayu juga daripada ada menjadi tiada.

Tetapi kalau orang Melayu bersyukur jadi orang Islam, orang beriman dan syukur itu tidak cuma di mulut, tetapi diamalkan seperti yang disaran oleh Penciptanya, Islam selamat, Melayu sejahtera.



read more...