photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Wednesday, September 18, 2013

Halal Haram: Kosher vs Halal

Pernah ketika saya menjalankan audit halal di salah sebuah syarikat kosmetik terkemuka, saya ada melihat dokumen dan sijil kosher di premis mereka. Keadaan yang sama juga, semasa saya di syarikat katering penerbangan (in-flight catering). Ini bermakna kosher adalah sesuatu yang diterima secara meluas terutamanya di syarikat berstatus multinasional dan antarabangsa.

Sebagai salah satu agama Samawi, Yahudi juga ada peraturan makanan.
Kalimah kosher adalah berasal daripada bahasa Ibrani yang bermaksud sesuai, tepat dan selari. Dalam konteks ini pastinya ia berkaitan dengan undang-undang agama Yahudi. Ia sebuah peraturan berkaitan makanan; apa yang dibolehkan, apa yang dilarang, apa sumbernya, bagaimana ia disedia dan dimakan.
Nama lain bagi kosher ialah kashrut. Tetapi penggunaan istilah kosher adalah lebih meluas.

Sebenarnya kosher tidak hanya semata-mata dikhususkan kepada makanan dan minuman sahaja, tetapi ia turut meliputi semua urusan kehidupan seperti cara berpakaian, muamalah dan semua perkara yang dibenarkan oleh agama Yahudi. Cumanya istilah kosher secara lazim dan meluasnya dirujuk kepada makanan dan minuman. Sebagaimana dalam Al-Quran, kalimah halal lazimnya merujuk aspek pemakanan.

Agama Yahudi memerintahkan umatnya memakan makanan kosher; makanan yang suci sebagaimana yang difirmankan oleh Yahweh (Allah Azzawajalla) dalam Perjanjian Lama (Levitucus 11: 44-45) maksudnya, “Akulah Tuhan kamu, berhati-hati agar kamu tetap suci kerana Aku suci. Akulah yang boleh membawa kamu keluar dari Mesir, supaya Aku boleh menjadi Tuhan kamu, hendaklah kamu suci kerana Aku suci”.

Umumnya semua binatang yang kosher adalah sama dengan apa yang dihalalkan oleh Islam. Cuma ada sedikit perbezaan di mana Yahudi mengharamkan unta, arnab, makanan laut yang tidak bersisik dan kerangan seperti tiram, kupang, udang dan ketam.
Hanya bahagian tertentu sahaja yang kosher bagi umat Yahudi
Bagi mereka yang biasa ke luar negara sama ada belajar, bekerja atau melancong terutamanya ke Negara Barat, kosher sepertinya menjadi alternatif kepada makanan halal. Ini kerana syarikat penerbangan biasanya ada menyediakan makanan kosher.

Allah Azzawajalla berfirman: “Pada hari ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka”. [Al-Maidah: 5]

Merujuk hadis Ibnu Abbas R.A yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, makanan yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah binatang sembelihan orang Yahudi, bukannya makanan secara umum. Makanan yang lain tidak termasuk dalam konteks halal.

Berdasarkan ayat di atas juga, jelas menyatakan halalnya umat Islam memakan makanan (sembelihan) Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Tetapi di sana ada penafsiran dan kefahaman yang berbeza di kalangan ulama tentang status sembelihan Ahli Kitab masa kini.

Kosher juga dipersijilkan sebagaimana halal.

Ahli Kitab seperti Yahudi tidak melakukan korban atau sembelih binatang untuk berhala atau sekutu bagi Allah. Shechita (penyembelih beragama Yahudi) juga menyembelih dengan menyebut Yahweh atau Adonai yang merujuk Allah Yang Maha Esa. Tetapi organ dalaman binatang yang disembelih adalah tidak kosher dan dilarang memakannya. Begitu juga hanya bahagian-bahagian tertentu sahaja dibenarkan untuk dimakan. Cara sembelih mereka sama iaitu memutuskan urat mari’ dan halkum dengan menggunakan pisau yang tajam bagi mematikan binatang sembelihan.

Jika dalam Islam semua peralatan yang ingin digunakan untuk menyediakan makanan halal diwajibkan bersih dan suci, begitu juga Yahudi. 

Ini kerana kosher turut mengambil kira bagaimana makanan itu diproses dan peralatannya. Cumanya dalam peraturan kosher ia hanya melibatkan penggunaan peralatan bagi masakan berasaskan susu kepada masakan berasaskan daging. Daging dan susu dilarang bercampur dalam masakan. Peralatan kedua-dua jenis masakan ini juga perlu berasingan. Jika sama, maka proses pencucian mesti menggunakan sabun dan dibiar selama 24 jam. Seterusnya direndam dalam air mendidih pada suhu 100˚C.

Islam mengharamkan memakan daging babi. Begitu juga dalam peraturan kosher. Akan tetapi, sekiranya bahan itu bersumberkan babi tetapi telah berubah sifat dan bentuk asalnya, maka ianya diharuskan. Ini berbeza dengan Islam yang mengharamkan secara mutlak makanan yang bersumberkan babi. Begitu dengan peralatan yang telah dicemari dengan daging babi, ia hanya akan dibersihkan tanpa mengguna kaedah sertu sebagaimana yang Islam anjurkan.
Contoh produk yang mendapat pensijilan Kosher

Arak adalah haram. Tetapi arak yang diusahakan oleh orang Yahudi dengan menggunakan anggur adalah kosher. Selainnya adalah dilarang

Ada sesetengah orang berpendapat bahawa kosher adalah alternatif makanan halal. Tetapi berdasarkan pengamalan hari ini, saya lebih cenderong untuk mengatakan tidak. Ini kerana sungguhpun sembelihan mereka halal bagi umat Islam, tetapi proses penyediaannya adalah diragui. Apalagi konsep kosher menerima sesuatu yang bersumberkan babi yang telah berubah sifat dan zat asalnya untuk dimakan. Ini jelas bertentangan sama sekali dengan anjuran Islam.

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Al-Baqarah: 173]

Wallahu a’lam.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

1 comments: on "Halal Haram: Kosher vs Halal"

Nazihah said...

Salam alaik. Saya sering mendapat persoalan tentang aplikasi pemakanan halal di luar negara. Sama ada ia masuk akal atau tidak.
Ramai yang bilang jika terlalu 'strict' nak pilih makanan jadi tak boleh hidup. termasuk dalam soal pemakanan kosher.

Jadi, cuma jika ada, boleh ustaz share maklumat mengenai perbahasan ulama' tentang rukhsah atau kelonggaran dari sudut pemakanan terutamanya yang melibatkan makanan yang tidak pasti status halalnya.