photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Monday, July 8, 2013

Duhai Tamu Daku Malu

Petang ini dada sepertinya sebak
Aku berteleku sendiri
Hati berdetik malu
Ya, aku malu

Genta Rasa

Tamu agung itu hampir saja tiba
Mahu saja aku mendakapnya
Hendak saja ku ribainya
Namun maluku tak terkata

Kalimah-kalimah menjadi kosong untuk menggambar rasa

Aku mahu kamu
Aku perlu kamu
Aku damba kamu
Aku cinta kamu

Tapi sungguh aku malu duhai tamu agungku

Duhai Yang Empunya dunia seisinya
Pada-Mu aku pohon
Pada-Mu aku rayu
Pada-Mu aku tagih

Rahmati aku
Berkati aku
Kurniai aku
Ramadan Al-Mubarak

Berpeluangkah kita?

read more...

Wednesday, July 3, 2013

Bumi Kinanah Bergegak-Gempita Kembali

"Akhirnya Mohamed Morsi digulingkan"

Presiden Mesir, Dr Mohamed Morsi
Terpinga-pinga.

Itu sahaja yang dapat saya gambarkan bila menerima perkhabaran yang pastinya menyedihkan.

Detik hitam sejarah berulang. Sebagaimana FIS yang dirampas kuasanya setelah dipilih oleh rakyat di Algeria, begitulah Dr Morsi ditumbangkan.

Barat dan pendokong aliran sekular tak pernah padam api permusuhan dengan kemajuan Islam. Dicuba segala cara bagi memastikan Islam ditekan dan dihapuskan arus derasnya.

Dataran ini menjadi saksi penggulingan sang penguasa zalim. Di sini jugalah si adil turut digulingkan

Namun kebenaran tetap dengan kebenarannya. Waima dihinjak dan aniaya, nusrah pasti tiba.

Cumanya saya melihat saat-saat genting ini bertambah cepat dan lebih mudah diambil peluang oleh oportunis sekular atas kelemahan dan kekurangan tektikal dan strategi Ikhwan sendiri memacu dan memerintah.

Mungkin saranan oleh Dr Mazlee Malik boleh diangkat secara serius. Boleh rujuk di sini . Ikhwan mesti belajar dari Parti Islam Se-Malaysia. Sungguhpun PAS lebih junior tetapi PAS memiliki ilmu dan pengalaman yang lebih luas dan praktikal dalam urusan politik dan pemerintahan.

Saya tertarik dengan pandangan kritikal dan kritis oleh Ust Wan Ji Wan Husin seputar apa yang berlaku.

'Ala kulli hal, sewajarnya kita mengambil ibrah atas apa yang berlaku. Kita tidak tahu hikmahnya tetapi kita mesti meneliti apa sahaja dapatan yang boleh diambil dan diperbaiki kelompongan.

Ini adalah sejarah dan kita perlu belajar darinya.




read more...

Wednesday, June 26, 2013

Halal Haram: Panduan Membeli Ayam Segar Di Pasar

Bukanlah pelik jika kita cerewet dalam memilih dan membeli apa sahaja produk makanan atau barang gunaan. Bahkan ada yang jenis sangat cerewet. Mengapa begitu? Tidak lain tidak bukan adalah kerana kita mahukan yang terbaik dan sesuai. Apatah lagi dalam bab makanan yang mana ia akan menjadi darah daging kita.
 
Ayam adalah sumber protein utama masyarakat Malaysia
Antara barang dapur yang biasa kita membelinya ialah ayam. Sementelah rakyat Malaysia adalah antara pengguna terbesar daging ayam dan produk berasaskan ayam di dunia.

Kita maklum bahawa ayam adalah halal di sisi Islam. Namun halal ayam ada syaratnya iaitu mesti disembelih dengan sempurna menurut syarak.

Penyembelihan dari segi bahasa bermaksud potong atau belah atau melukakan bahagian tertentu pada binatang oleh orang tertentu dengan alat tertentu bermaksud menyembelih binatang tersebut.

Manakala dari segi syarak ialah menghilangkan nyawa binatang yang halal dimakan dengan menggunakan alat yang tajam selain dari kuku, gigi, dan tulang untuk membolehkan haiwan itu halal dimakan oleh orang Islam.

Hukum menyembelih haiwan yang halal dimakan jika mampu dikuasai hukumnya adalah wajib. Haiwan yang tidak disembelih menurut syarak dikategorikan sebagai bangkai dan najis. Bagi haiwan yang tidak dapat dikuasai (haiwan buruan seperti rusa, kancil dan seumpamanya) adalah diharuskan melukakan pada mana-mana bahagian tubuhnya sahaja (contohnya panahan) dengan maksud menyembelih (ketika memanah). Sekiranya haiwan itu tadi diternak, maka hukum balik kepada asal iaitu disembelih.

Sabda Rasulullah s.a.w; “Sembelihan adalah di antara pangkal dagu dan pangkal leher” (HR Ibnu Abbas)
 
Kaedah sembelihan menurut syarak
Sembelihan yang sah hendaklah memutuskan halqum (saluran pernafasan) dan mari’ (saluran makanan dan minuman) dan memutuskan vena jagular dan arteri karotid. Hukum memutuskan halkum dan mari’ adalah wajib manakala memutuskan vena jagular dan arteri karotid adalah sunat.

Allah Azzawajalla berfirman; “Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.” (Surah Al-An‘am: 118)

Urat marikh dan halkum terputus sempurna

Nabi s.a.w pula bersabda; “Sesungguhnya Allah mewajibkan untuk berbuat baik terhadap sesuatu. Oleh kerana itu, jika kamu membunuh, perbaikkanlah cara membunuhnya, apabila kamu menyembelih maka perelokkanlah cara penyembelihannya serta tajamkanlah pisaunya dan mudahkanlah penyembelihannya itu.”(HR Muslim)

Ada beberapa langkah yang perlu kita ambil sebelum membeli ayam segar mahupun daging lembu, kambing dan seumpamanya sama ada di pasar tani, pasaraya dan lain-lain.

Bagi memilih ayam, perkara pertama semestinya memeriksa tempat sembelihan ayam itu. Maksud saya, pada lehernya. Pastikan terlebih dahulu halkum dan mari’nya dipotong dengan sempurna.  Namun langkah ini hanya terpakai pada ayam yang dijual secara seekor-seekor sahaja.

Bagi yang dijual sudah dipotong-potong dan dibahagikan mengikut kategori seperti paha, dada dan seumpamanya, menjadi tanggungjawab kita untuk bertanya terlebih dahulu kepada peniaga. Sekiranya ia diambil dari pembekal, sila minta sijil halal ayam tersebut. Jika diperhati, kini di pasaraya sudah mula mempamerkan sijil halal dari pembekal ayam segar tersebut.

Tiada manusia yang menerima cara ayam-ayam ini dikendalikan. Premis kotor dan ayam dibiar di atas lantai.

Begitu juga halnya jika kita membeli di pasar-pasar, ada dua kemungkinan ayam tersebut diperoleh. Sama ada disembelih sendiri di premis atau diambil dari pembekal. Maka ringankanlah mulut untuk bertanya sumber ayam tersebut dan status halalnya.

Kesalahan yang biasa dilakukan oleh pengusaha waima Muslim.  Ini menyebabkan status halalnya diragui.

Tips mengetahui ayam yang dijual di pasaran disembelih dengan sempurna ialah daging kelihatan pucat. Sekiranya daging ayam tersebut kelihatan merah, itu bermakna ia tidak disembelih dengan sempurna dan darah masih berbaki di dalam daging tersebut.

Putih pucat antara tanda ayam disembelih dengan sempurna. Tiada lagi darah dalam daging.

Setelah kita mengambil langkah-langkah tadi, maka teruskanlah hajat untuk membeli ayam segar tersebut. Kaedah Usul Fiqh mengajar “نحن نحكم بالظواهر " (Kita berhukum berdasarkan zahir sesuatu).

Sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan An-Nasai. Di zaman Rasulullah saw , terdapat satu kisah bagaimana 2 orang sahabat telah datang bertemu dengan Baginda saw dan menceritakan masalah yang menimpa mereka dengan tujuan untuk memohon sedekah/zakat daripada Rasulullah s.a.w. Kemudian, Rasulullah saw telah memandang mereka berdua dengan pandangan yang penuh dengan kehairanan. Begitu juga Rasulullah saw mendapati bahawa mereka berdua mempunyai tenaga dan masih kuat. Maka Rasulullah saw pun berkata, jika aku mahu, aku akan berikan kepada kamu….(berdasarkan cerita kamu), Sesungguhnya zakat/sedekah tidak boleh kepada yang kaya dan yang mempunyai keupayaan.
 
Namun sekiranya, rasa ragu-ragu masih bersisa dalam dada, batalkan sahaja niat tersebut. Itulah jalan yang lebih baik.

Sebagai maklumat tambahan, antara pembekal ayam segar yang utama di Malaysia ini seperti HLRB Processing Sdn Bhd, Pertanian Pertiwi Sdn Bhd dan Dinding Poultry Processing Sdn Bhd. Syarikat-syarikat ini mempunyai pegawai hal ehwal Islam atau eksekutif halal yang membangun dan menyelia Halal Assurance System (HASYS) dalam syarikat masing-masing. Kewujudan eksekutif halal adalah sangat penting bagi mempastikan industri mematuhi keperluan syarak pengguna Muslim.
read more...

Thursday, March 7, 2013

Bukan Dilema Melayu

Entah dari mana harus saya mulakan. Mana pangkalnya, mana tengahnya dan mana hujungnya. Saya tidak tahu. Tapi saya punya sesuatu untuk diungkapkan.

Mungkin ia sebuah dilema.

Dilema itu menyesahkan

Sungguhpun saya dahulunya pelajar agama tapi entahlah. Ilmu agama saya sepertinya tidak lebih dari orang biasa. Apalagi memberikan bekas yang mendalam pada kehidupan saya.

Saat menekuni ceramah dan tazkirah, makin banyak perkara seperti baru. Macam tak pernah belajar waima ianya asas cuma.

Kalau ditanya tentang Fiqh Muamalah lagi-lagilah saya kecundang.

"Aik...takkan tak tahu?", kehairanan sahabat saya bila mengajukan soalan perbankan. Dia dulu mengaji IT. Saya pula mengaji Usuluddin.

Ya, sungguh saya tidak tahu. Memanglah soalan itu menarik dan lazim tapi jawapan saya mematikan bicara.

Baru sebentar tadi, saya dan rakan sepejabat mengikuti kuliah Ust. Johari Abd Wahab. Kami menadah kitab Umdatul Ahkam.
Nas memandu kehidupan

Kitab ini sememangnya menyentuh aspek fiqh yang asas tapi soalan saya agak bertalu. Itu tandanya ada benda yang saya tidak tahu.

Saya jadi malu sendiri. Tapi ilmu itu saya mahu kuasai.

Hati kecil saya meronta-ronta untuk pecahkan dilema ini. Apalagi saya berkerjaya sebagai eksekutif halal. Pastinya saya tak terlepas dari membicarakan soal halal dan haram. Bahkan saya sendiri kolumnis Halal Haram, Majalah Q&A.

"Untunglah anta belajar kat Universiti Mu'tah, Jordan. Ana ni mengaji tak tinggi", saya meluah rasa.

"Anta lagi hebat. Kalau ilmu je tinggi tapi praktikalnya takde tak jadi jugak. Kami ni teori je. Anta praktikal", junior saya yang pulang bercuti semester itu bersuara.

Entahlah jawapan itu untuk menyedapkan hati saya atau dia merendah diri. Tapi ia tetap tidak mengurangkan deru rasa di hati saya.

Dilema harus ditamat, keputusan harus dimuktamad.

In-sya-Allah, saya akan menyambung pengajian dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh. Itu hajat saya. Doakan saya istiqamah dalam usaha memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat.

read more...

Thursday, February 28, 2013

Halal Haram: Produk Bersumber Kulit dan Bulu Babi

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

[Al-Baqarah:173] 

Bulu babi bercabang dihujungnya

Perbezaan di antara bulu babi dan biri-biri

Berus yang dihasilkan daripada bulu babi

Kasut daripada kulit babi

Berus ini juga daripada bulu babi

Ada beza
Sungguhpun dalam ayat tersebut Allah Azzawajalla menyebut وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ “dan daging babi” namun bahagian yang lainnya juga adalah turut sama haram. Ia mengikut kaedah (من إطلاق الجزإ وإرادة كل) iaitu mengitlaqkan satu bahagian tetapi yang dikehendaki ialah keseluruhannya. Mazhab Syafie r.a memegang kaedah ini.

Kehidupan seharian kita sememangnya tidak asing dengan barangan kulit dan bulu. Apalagi penggemarnya. Selagi boleh yang kulit, pasti dimilikinya. Jaket, kasut, tas tangan, dompet, tali pinggang, keychain, casing telefon dan bermacam lagi. Begitu juga dengan berus.

Semua ini bersumberkan binatang. Mungkin sahaja babi, lembu, kambing dan sebagainya. Justeru sebagai orang Islam yang punya aturan hidup, kita sewajarnya lebih berhati-hati dalam memilih apa sahaja produk berasaskan haiwan.

Pasti ramai juga yang tertanya-tanya, kenapalah kulit babi digunakan secara meluas?

Sebenarnya bukan sahaja kulit. Bahkan bulu dan tulang waima apa sahaja yang boleh dimanfaatkan dari babi digunakan secara cukup meluas dalam industri. Ini kerana babi adalah sumber terbesar dan semestinya sangat mudah didapati dan murah harganya.

Dalam industri barangan kulit, kebanyakkannya dipelopori oleh pengusaha bukan Islam. Maka tidaklah pelik untuk mereka menggunakan sumber itu.

Masih ramai di kalangan umat Islam yang masih tidak mengetahui kaedah mengenalpasti kulit babi pada produk berasaskan kulit.

Kulit babi  berbintik di permukaannya seperti lubang-lubang atau titik-titik kecil. Ini ada kesan bulunya yang telah disingkirkan. Titik-titik ini terdapat pada sebelah permukaannya sahaja dan jelas. Sebaliknya pula pada bahagian belakang.

Saya mencadangkan anda bertanya kepada jurujual sekiranya tidak pasti. Jangan tanya sama ada itu kulit babi atau tidak. Tanya sama ada itu kulit atau apa. Biarlah mereka menjawab sendiri jenisnya.

Tapi sabar dahulu. Bukan kulit babi sahaja yang mempunyai tiga titik. Ada juga produk kulit yang mempunyai tiga titik yang sememangnya bukan kulit babi iaitu barangan kulit yang diperbuat daripada Polyurethane.

Kita sudah tahu bahawa kulit babi ada tiga titik, polyurethane juga ada tiga titik. Yang membezakannya ialah tiga titik pada kulit babi kedudukannya agak tidak bersusun, sedikit berterabur. Manakala polyurethane pula kelihatan tersusun cantik dan kemas.

Jika anda sedang memilih berus atau sekarang anda boleh ambil mana-mana berus di rumah anda. Tidak kira sama ada berus solekan, berus songkok, kasut dan seumpamanya. Apalagi berus masakan.

Sekiranya ia daripada bulu babi, anda akan dapat lihat ia lebih keras dan bercadang tiga di hujungnya. Jika ciri-ciri utama ini dikenal pasti, sah ia adalah bulu babi. Lazimnya berus bulu babi dilabelkan sebagai “pure bristle”. Dalam industri pembuatan berus, bulu babi hutan digunakan kerana cirinya yang bercabang hujung membuatkan ia mempunyai daya lekatan cat atau cecair yang lebih baik jika dibandingkan dengan bahan-bahan sintetik seperti nilon.

Begini, produk berasakan kulit atau bulu babi biasanya menggunakan beberapa istilah. Antaranya:

Pig       : Istilah umum bagi seekor babi
Swine  : Istilah menunjukkan keseluruhan spesis babi
Boar   : Istilah bagi babi hutan
Hog     : Istilah bagi babi liar domestik (Amerika)
Sow     : Istilah bagi babi betina dewasa


Contohnya

“Pure Boar Bristles Brush” (Berus Bulu Babi Hutan Yang Asli)
“This wallet made from hog leather” (Dompet ini diperbuat daripada kulit babi)

Istilah-istilah ini penting kerana ia adalah sumber kepada bahan itu tadi. Kebiasaan bagi pihak industri di Barat meletakkannya pada label produk. Ini berbeza dengan pihak industri di China atau Taiwan.

Wallahu a'lam.
read more...