photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg
Latest Posts

Tuesday, May 27, 2014

Halal Haram: Isu DNA Babi Pada Produk Cadbury

Pada mulanya saya hanya memerhatikan sahaja. Tidak bercadang untuk bersuara. Namun lama kelamaan isu DNA babi yang mencemari produk Cadbury nampak semakin menggila dan masyarakat awam memberikan respon yang jauh dari disiplin ilmu, maka saya tidak mampu lagi berdiam diri, sekadar memerhati.

Cadbury Malaysia
Prinsip saya mudah. Selagi tiada kenyataan rasmi, belum disahihkan, saya tidak akan melayan apalagi mewar-warkan kepada yang lain dan ulas. Saya bimbang ianya fitnah atau sabotaj. Dalam industri, perkara sebegini adalah biasa, tidak pelik.

Kemudian media melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan perkhabaran tersebut dan JAKIM selaku badan yang bertanggungjawab terhadap pensijilan halal Malaysia menyusul kemudiannya.

Hasil daripada analisa yang dibocorkan dapatlah kita mengeluarkan beberapa noktah (point).

1. Keputusan analisa bertarikh 27 Februari 2014
2. Sampel: Coklat susu dengan kacang hazel – Cabbury Dairy Milk
3. Ulasan: DNA khinzir (porcine) dikesan
4. Tiada akreditasi SAMM
5. Keputusan analisa berdasarkan sampel yang diterima

Merujuk kenyataan JAKIM, audit halal terakhir dijalan di premis ialah pada 20 Februari 2014. Ini bermakna sampel ini diambil dan dianalisa seminggu selepasnya. Sampel di ambil di pasaran.

Analisa yang didedahkan

Pembocoran Keputusan Analisa

Analisa ini dibocorkan melalui laman sosial dan menjadi viral. KKM hanya membuat kenyataan dan tindakan setelah 3 bulan berlalu. Berbeza dengan JAKIM yang mengadakan mesyuarat tergempar pada hari mereka menerima kenyataan rasmi daripada KKM. Saya tertanya-tanya apakah KKM memandang remeh isu halal haram yang jenis bukan sahaja umat Islam terkesan bahkan imej Malaysia yang bercita-cita menjadi Hab Halal Dunia turut dicemari.

Sepatutnya KKM terlebih dahulu bermesyuarat dengan JAKIM. Siapalah pegawai yang membocorkan maklumat yang tidak ranum, tak tentu sahih.

Makmal Tanpa SAMM

Rujuk Jabatan Standard Malaysia

Perhatikan lagi. Tertera “Tiada akreditasi SAMM”. SAMM akronim bagi Skim Akreditasi Makmal Malaysia. Akreditasi ini dikeluarkan oleh Jabatan Standard Malaysia di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI). “SAMM only accredits those facilities that meet all its criteria for testing competence and sound laboratory practice” supaya “The test was done in accordance with the stated specification, test or calibration method and correct test environment.”
Ini juga bermaksud mana-mana makmal yang tidak memenuhi standard yang ditetapkan dari sudut peralatan, makmal dan kepakaran sememangnya tidak mendapat SAMM. Bahasa mudahnya, tidak layak.
Persoalan yang berlegar-legar di kepala saya ialah bagaimana etika kerja KKM bergantung kepada makmal yang tidak punya kompetensi? Bukankah nanti boleh dipertikaikan? Isu besar sebegini apalagi melibatkan kemaslahatan ummah pasti besar kesannya. Bukankah sepatutnya sepatutnya Ketua Pengarah Kesihatan KKM menunggu terlebih dahulu keputusan analisa daripada makmal yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia, MOSTI?
JAKIM menghantar sampal ke Makmal Jabatan Kimia Malaysia. Ia merupakan makmal rasmi yang digunakan oleh Jakim/Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam pensijilan halal sebagaimana yang ditetapkan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia. Makmal Jabatan Kimia ini juga telah diwartakan sebagai makmal makanan yang kompeten dalam menjalankan analisa makanan selain mendapat akreditasi dari Jabatan Standard Malaysia di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) berdasarkan Standard MS ISO/IEC 17025: 2005 bagi pengujian DNA termasuk bagi pengujian produk makanan terproses (highly processed food).
Sampel Cadbury 
Kenyataan KP JAKIM; “Jakim telah menghantar sampel kedua-dua produk berkenaan dan produk-produk lain dalam aliran pemprosesan (processing line) yang sama di kilang tersebut ke Makmal Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan pengujian.”
Ini berbeza dengan KKM yang menganalisa sampel di pasaran. Bukankah ia boleh terdedah kepada sabotaj?
Jika kita berniaga, mana yang puas hati antara orang ambil sampel produk kita di tangan orang lain dengan ambil dari tangan kita sendiri?
JAKIM Culas Isu Halal Haram?
Ramai mengomel itu dan ini. “JAKIM tak buat kerja!”,” JAKIM kerja macam UMNO”, “KKM lebih bagus dari JAKIM”.
Saya tidak menyebelahi mana-mana. Saya bercakap tentang SOP dan praktis kerja.
Prosedur audit pensijilan halal mesti dilakukan sekurang-kurang dua (2) orang auditor; Pegawai Syariah dan Pegawai Teknikal. Pegawai Syariah daripada JAKIM atau JAIN manakala Pegawai Teknikal daripada KKM (melibatkan makanan, barang gunaan dan farmaseutikal) atau Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV, sekiranya berkaitan rumah sembelihan). 
Jika JAKIM melakukan audit tanpa pegawai teknikal, maka audit itu tidak sah dan ditolak. Audit pensijilan halal bukan hanya mengambil kira aspek Syariah semata-mata bahkan teknikal sekali. Maka itulah, menjadi syarat untuk 2 pegawai (syariah dan teknikal) terlibat cakupi dua aspek tersebut.
Pelik benar jika KKM tidak tahu SOP ini. Apalagi ia melibatkan pegawai KKM sendiri. Untuk rekod, Ketua Auditor Halal di JAKIM sekarang ini pun ialah pegawai teknologi makanan KKM.
Isu DNA Babi
DNA babi boleh mencemari makanan melalui beberapa cara. Cuma nak dipasti kemasukannya secara sengaja (ramuan dan aditif itu sendiri) atau tidak.
Sepatutnya semua pihak perlu menunggu analisa daripada Makmal Jabatan Kimia Malaysia itu nanti.
Bagi memudahkan pemahaman umum, saya bagi dua situasi.

Pertama: Katakanlah anda ada besen dan besen itu pernah dicelup anjing. Anda sucikan ia sebagaimana yang diajar Islam. Kemudian gunakan besen itu sebagai bekas menguli tepung untuk buat mi kuning. Katakanlah juga sampel mi kuning itu ada pelanggan hantar ke makmal dan dikesan DNA anjing (sudah tentulah ada). Akhirnya anda dituduh mengkhianati kepercayaan pelanggan kerana menjual mi kuning yang ada DNA anjing. Tidakkah jatuh terjelupuk kita dibuatnya?

Kedua: Duit dalam poket kita boleh jadi sebelum ini berada di tangan penyembelih atau penjual daging babi. Seterusnya bertukar tangan, bertukar tangan sampailah kepada kita. Kita pegang dan simpan dalam dompet. Kemudiannya kita uli tepung untuk buat donat, kasui dan lain-lain. Kalau kita hantar ke makmal, sudah tentu DNA babi dikesan kerana pencemaran silang telah berlaku tadi. Solat jadi tak sah? Makanan kita jadi haram? Kena kumur air tanah? Kena cuci darah? Anak-anak kata kita khianati mereka kerana hidang makanan ada DNA babi?

Penting untuk diingatkan, samak (istilah yang betul, sertu) bukanlah tujuannya menghilangkan DNA anjing pada badan atau peralatan. Ia hanyalah amalan yang diperintahkan agama. Samaklah 100 kali pun, DNA itu tetap ada. Bagaimana nak hilangkannya? 

Kalau pada tangan, bakarlah tangan tu. Saya bukan bergurau ni. Saya bersungguh!

Ada Qawaid Fiqhiyyah dalam isu ini.
Al-ashlu baqou ma kana ‘ala ma kana (Hukum asal adalah ketetapan yang dimiliki sebelumnya)
Al-yaqinu la yazalu bi asy-syak (Keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan syak)

Tulisan saya ini boleh ditolak dan dibahaskan lagi. Faktor mengejar masa atas desakan rakan-rakan mungkin ada aspek yang saya lupa dan tak sempat untuk sentuh.
Saya tutupi tulisan ini dengan fatwa Negeri Selangor berhubung isu DNA babi bertarikh 20 Disember 2012.
HUKUM PENCEMARAN ASID DEOKSIRIBONUKLIEK (DNA) BABI PADA PRODUK MAKANAN YANG DISAHKAN HALAL : PENELITIAN DARI ASPEK SAINS DALAM MENENTUKAN KAEDAH PENYELESAIANNYA MENGIKUT ASPEK SYARAK

1.      Produk makanan atau minuman yang telah dikaji secara terperinci dan semua ramuan, kandungan dan cara pemprosesannya telah disahkan sebagai bersih, suci dan halal serta telah menjadi bahan makanan dan minuman umat Islam secara meluas, tetapi kemudiannya didapati produk tersebut mengandungi bahan-bahan najis seperti DNA babi akibat daripada pencemaran yang tidak disengajakan atau tidak disedari, maka adalah harus bagi umat Islam mengambilnya sebagai makanan atau minuman kerana kandungan asal produk tersebut adalah halal.
2.      Bagi bahan-bahan peralatan pemprosesan yang telah melalui proses samak seperti yang ditetapkan oleh syarak dengan pemantauan/penyeliaan pihak berkuasa agama, tetapi masih lagi didapati mengandungi DNA babi, proses samak tidak perlu diulang lagi.
3.      Keputusan ini adalah berdasarkan pensyariatan Islam yang tidak mentaklifkan kepada manusia apa yang mereka tidak memperlakukannya atau membebankan dan menyukarkan mereka. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud : Allah Taala menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu.

Wallahu a'lam.
read more...

Wednesday, September 18, 2013

Halal Haram: Kosher vs Halal

Pernah ketika saya menjalankan audit halal di salah sebuah syarikat kosmetik terkemuka, saya ada melihat dokumen dan sijil kosher di premis mereka. Keadaan yang sama juga, semasa saya di syarikat katering penerbangan (in-flight catering). Ini bermakna kosher adalah sesuatu yang diterima secara meluas terutamanya di syarikat berstatus multinasional dan antarabangsa.

Sebagai salah satu agama Samawi, Yahudi juga ada peraturan makanan.
Kalimah kosher adalah berasal daripada bahasa Ibrani yang bermaksud sesuai, tepat dan selari. Dalam konteks ini pastinya ia berkaitan dengan undang-undang agama Yahudi. Ia sebuah peraturan berkaitan makanan; apa yang dibolehkan, apa yang dilarang, apa sumbernya, bagaimana ia disedia dan dimakan.
Nama lain bagi kosher ialah kashrut. Tetapi penggunaan istilah kosher adalah lebih meluas.

Sebenarnya kosher tidak hanya semata-mata dikhususkan kepada makanan dan minuman sahaja, tetapi ia turut meliputi semua urusan kehidupan seperti cara berpakaian, muamalah dan semua perkara yang dibenarkan oleh agama Yahudi. Cumanya istilah kosher secara lazim dan meluasnya dirujuk kepada makanan dan minuman. Sebagaimana dalam Al-Quran, kalimah halal lazimnya merujuk aspek pemakanan.

Agama Yahudi memerintahkan umatnya memakan makanan kosher; makanan yang suci sebagaimana yang difirmankan oleh Yahweh (Allah Azzawajalla) dalam Perjanjian Lama (Levitucus 11: 44-45) maksudnya, “Akulah Tuhan kamu, berhati-hati agar kamu tetap suci kerana Aku suci. Akulah yang boleh membawa kamu keluar dari Mesir, supaya Aku boleh menjadi Tuhan kamu, hendaklah kamu suci kerana Aku suci”.

Umumnya semua binatang yang kosher adalah sama dengan apa yang dihalalkan oleh Islam. Cuma ada sedikit perbezaan di mana Yahudi mengharamkan unta, arnab, makanan laut yang tidak bersisik dan kerangan seperti tiram, kupang, udang dan ketam.
Hanya bahagian tertentu sahaja yang kosher bagi umat Yahudi
Bagi mereka yang biasa ke luar negara sama ada belajar, bekerja atau melancong terutamanya ke Negara Barat, kosher sepertinya menjadi alternatif kepada makanan halal. Ini kerana syarikat penerbangan biasanya ada menyediakan makanan kosher.

Allah Azzawajalla berfirman: “Pada hari ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka”. [Al-Maidah: 5]

Merujuk hadis Ibnu Abbas R.A yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, makanan yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah binatang sembelihan orang Yahudi, bukannya makanan secara umum. Makanan yang lain tidak termasuk dalam konteks halal.

Berdasarkan ayat di atas juga, jelas menyatakan halalnya umat Islam memakan makanan (sembelihan) Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Tetapi di sana ada penafsiran dan kefahaman yang berbeza di kalangan ulama tentang status sembelihan Ahli Kitab masa kini.

Kosher juga dipersijilkan sebagaimana halal.

Ahli Kitab seperti Yahudi tidak melakukan korban atau sembelih binatang untuk berhala atau sekutu bagi Allah. Shechita (penyembelih beragama Yahudi) juga menyembelih dengan menyebut Yahweh atau Adonai yang merujuk Allah Yang Maha Esa. Tetapi organ dalaman binatang yang disembelih adalah tidak kosher dan dilarang memakannya. Begitu juga hanya bahagian-bahagian tertentu sahaja dibenarkan untuk dimakan. Cara sembelih mereka sama iaitu memutuskan urat mari’ dan halkum dengan menggunakan pisau yang tajam bagi mematikan binatang sembelihan.

Jika dalam Islam semua peralatan yang ingin digunakan untuk menyediakan makanan halal diwajibkan bersih dan suci, begitu juga Yahudi. 

Ini kerana kosher turut mengambil kira bagaimana makanan itu diproses dan peralatannya. Cumanya dalam peraturan kosher ia hanya melibatkan penggunaan peralatan bagi masakan berasaskan susu kepada masakan berasaskan daging. Daging dan susu dilarang bercampur dalam masakan. Peralatan kedua-dua jenis masakan ini juga perlu berasingan. Jika sama, maka proses pencucian mesti menggunakan sabun dan dibiar selama 24 jam. Seterusnya direndam dalam air mendidih pada suhu 100˚C.

Islam mengharamkan memakan daging babi. Begitu juga dalam peraturan kosher. Akan tetapi, sekiranya bahan itu bersumberkan babi tetapi telah berubah sifat dan bentuk asalnya, maka ianya diharuskan. Ini berbeza dengan Islam yang mengharamkan secara mutlak makanan yang bersumberkan babi. Begitu dengan peralatan yang telah dicemari dengan daging babi, ia hanya akan dibersihkan tanpa mengguna kaedah sertu sebagaimana yang Islam anjurkan.
Contoh produk yang mendapat pensijilan Kosher

Arak adalah haram. Tetapi arak yang diusahakan oleh orang Yahudi dengan menggunakan anggur adalah kosher. Selainnya adalah dilarang

Ada sesetengah orang berpendapat bahawa kosher adalah alternatif makanan halal. Tetapi berdasarkan pengamalan hari ini, saya lebih cenderong untuk mengatakan tidak. Ini kerana sungguhpun sembelihan mereka halal bagi umat Islam, tetapi proses penyediaannya adalah diragui. Apalagi konsep kosher menerima sesuatu yang bersumberkan babi yang telah berubah sifat dan zat asalnya untuk dimakan. Ini jelas bertentangan sama sekali dengan anjuran Islam.

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Al-Baqarah: 173]

Wallahu a’lam.
read more...

Thursday, August 1, 2013

Halal Haram: Status Bread Improver

Sungguhpun roti bukanlah makanan ruji masyarakat Malaysia khususnya Melayu, tetapi ia tetap sinonim dengan diet harian kita.

Roti adalah sebahagian daripada diet Rasulullah s.a.w
Berbanding dahulu, hari ini jenama-jenama roti sangat banyak di pasaran. Gardenia, Mighty White, Massimo, Intisari Bakers, Hi5 dan banyak lagi yang menjadi pilihan masing-masing. Maknanya masyarakat semakin menggemari roti sebagai sebahagian daripada diet mereka.

Itu belum kira lagi roti canai, nan, bom dan seangkatan dengannya. Cumanya penulisan ini hanya akan menyentuh berkaitan roti buku dan bakeri. Mudah ceritanya, roti ala Barat (sudah tentu asal-usulnya juga dari Barat)

Secara tradisionalnya, pembuatan roti adalah ringkas dan mudah. Hanya tepung, ragi, gula, garam, dan sedikit minyak atau mentega. Tetapi itu cara zaman dahulu, lama. Kini seiring dengan perkembangan teknologi makanan yang pesat dan moden, ia banyak mengubah.

Antara bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat roti
Pengeluaran berskala besar seperti industri makanan, memerlukan teknologi dan bahan tambahan yang lebih advance. Ini penting bagi memaksimumkan modal, masa dan tenaga buruh.

Bread improver (serbuk penaik roti) adalah bahan aditif roti yang ditambahkan dengan tujuan menambahbaik pembuatan dan hasil akhir (end product) penghasilan roti. Di dalam bread improver terdapat penguat gluten (Ascorbic acid), pelunak gluten (Sodium metabisulfit), makanan ragi (amonium klorida), enzim (Alfa amylase), dan pengemulsi (surfactant atau lecithin).

Contoh bread improver yang mendapat sijil halal

Ia dalam bentuk serbuk berwarna putih atau sedikit coklat. Nama lain bagi bread improver antaranya ialah improving agent, dough conditioners, dough improvers, bread softener dan modular softener.

Kalau tidak kerana tujuan komersil yang besar, saya rasa mungkin bread improver ini tidak dihasilkan. 

Dalam peniagaan modal, masa, produktivi dan margin keuntungan dalam antara elemen yang sangat mustahak. Maka dalam industri bakeri, bread improver memberikan kesan yang besar kepada semua yang saya sebutkan tadi.

Pembuatan roti cara tradisional mengambil masa yang lama sebenarnya. Bahkan untuk menikmati roti itu, kita perlu menyediakan doh 12 jam atau sehari sebelumnya. Itu pun bergantung kepada jenis roti yang ingin dihasilkan.

Lama bukan? Penghasilan roti secara komersil pastinya berdepan kesukaran soal masa dan penyimpanan doh. Maka kaedah yang lebih cepat diteroka. Justeru, di sinilah bread improver sangat diperlukan sebagai penyelesaian.

Bread improver berfungsi membantu penghasilan roti lebih baik dan gebu, teksturnya lebih lembut, fermentasi (penapaian ragi pada roti) berlaku lebih cepat dan roti memiliki serat yang halus serta memanjangkan hayat atau tempoh baik roti tersebut.

Kaedah tradisional pembuatan roti memakan masa yang lama
Bread Improver digunakan diawal proses mixing (mencampur adunan). Dengan mengikut jumlah berat yang dicadangkan, maka bread improver dapat berfungsi dan bekerja dengan maksimum tanpa mengganggu fungsi kerja ramuan-ramuan yang lain. Jika kurang dari apa yang dicadangkan maka besar kemungkinan roti akan bantat, dan jika terlebih pula, ia akan menyebabkan rantai gluten akan rosak dan menyebabkan rapuhnya struktur adunan.

Maka dengan fungsi yang sehebat ini, sudah pastinya ia sangat diperlukan dalam pembuatan roti apalagi jika ia melibatkan pembuatan berskala besar dan komersil.

Tentang sumbernya, ini yang mustahak untuk kita teliti bersama. Saya percaya ramai yang tidak mengetahui hal ini. Sebab itu saya menggelarkan industri roti dan bakeri (confectionary) adalah industri kritikal dari aspek halal.

Disebabkan bread improver memiliki beberapa aditif kritikal seperti pengemulsi (emulsifier), l-cystine, dan enzim (saya sudah sentuh dalam penulisan-penulisan yang lepas) serta disamping bahan-bahan yang lain, maka secara automatik sumbernya juga jatuh kepada syubhah.

Kesamaran tentang sumber menjadinya ia ramuan kritikal, syubhah
Ia boleh didapati dari beberapa sumber iaitu binatang (lazimnya babi dan lembu), tumbuhan (contohnya soya) atau mikrob. Maka bread improver di pasaran boleh jadi datang dari salah satu dari sumber-sumber ini. Inilah syubhah yang saya maksudkan. Tak tahu dari sumber mana ia datang.

Apabila ini berlaku, maka pesan Nabi s.aw; "Yang halal itu jelas dan yang haram itu pun jelas, dan di antara kedua-kedua itu ada perkara-perkara yang syubhah (samar), maka barangsiapa yang telah menjauhi perkara syubhah tersebut bererti dia telah menjaga agamanya dan kehormatannya" [HR. Al-Bukhari].

Ada bebetapa ketika yang saya kira teknologi makanan memberi 1001 manfaat untuk kita. Dan ada beberapa ketika juga, teknologi makanan memberi 1001 masalah dan mudarat kepada kita secara fizikal mahupun spiritual.

Oleh itu, pastikan kita mendapatkan produk makanan yang disahkan status halalnya agar selamat dari menjamah makanan yang syubhah apalagi haram sumbernya.

Wallahu a’lam.
read more...

Wednesday, July 24, 2013

Ramadhan Terakhir, Siapa Tahu?

Ramadhan sudah berlalu 15 hari. Cepat benar masa berlalu. Sungguh kita banyak tertipu dengan deras arusnya.

Ramadan lembah maghfirah dan taqwa

"Dibina Islam di atas lima perkara; bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang selain Allah dan Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berhaji dan puasa di bulan Ramadhan." [HR Ibnu Umar]

Entah mengapa hadis yang saya pelajari di Tingkatan 2 ini menerjah fikiran.

Mungkin saja mengingatkan bahawa sebagai salah satu Rukun Islam, maka seharusnya tiang ini disempurnakan sebaiknya.

Kalau dicongak-congak, agaknya sekadar mana kesungguhan kita menghidupkan Ramadhan sepanjang 15 hari yang sudah berlalu. Separuh lagi pula bagaimana?

Ramai dari kita yang bercakap soal meraih taqwa.

T.A.Q.W.A

Eja ruminya begitulah. Tapi faham kita setakat mana?

"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kalian berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas mereka sebelummu agar kalian bertaqwa". [Al-Baqarah:183]
Ramadan bulan Al-Quran, jangan sekadar dibaca. Tadabburlah
Bertolak dari ayat inilah, orang bercakap soal taqwa yang terkait dengan puasa.

Pesan Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat, taqwa itu ialah kita melakukan semampu mungkin setiap suruhan Allah dan Rasul-Nya, meninggalkan dosa besar serta menghindari dosa-dosa kecil semampu mungkin.

Kurang lebih itulah mafhumnya.

Kerana itu Allah Azzawajallah meletakan natijah berpuasa ialah taqwa.

Puasa (As-Siyam) itu pun dari sudut bahasa ialah menahan dan menggenggam.

Kita menahan diri dari melalukan apa yang tidak dibenar Syarak. 

Sungguhpun makanan dan minuman yang kita beli itu halal, tapi saat Ramadan memakannya di siang hari itu haram. Nafsu makan itu mesti ditahan. Sungguhpun menggauli isteri itu halal bagi seorang suami bahkan diganjar pahala, tetapi saat berpuasa ia tetap dilarang. Nafsu syahwat itu perlu dikekang.

Ayuh kita kembali pada-Nya. Agar kita kembali fitrah; tanpa dosa.

Semua ia seputar tahan, tahan, tahan.

Padanlah Allah Azzawajalla mengisyaratkan taqwa hasilnya.

Ayuh kita terus menghidupkan Ramadhan ini. Mungkin saja ia Ramadhan terakhir.

Siapa tahu?

“Hari (Kiamat) yang tidak bermanfaat harta benda dan anak-pinak. Kecuali sesiapa yang datang kepada Allah dengan jantung hati yang sejahtera”. [As-Syu’ara’: 88-89].
 
read more...

Tuesday, July 16, 2013

Halal Haram: Lelemak Dalam Penyediaan Makanan

Ia adalah antara bahan yang utama dalam penyediaan makanan. Ia juga memberikan makanan rasa yang memenuhi kehendak mulut dan tekak kita serta memberi rasa enak.

Santan adalah lemak paling biasa digunakan dalam masakan Melayu

Baik, yang saya maksudkan ialah lelemak. Pasti sudah terbayang dalam fikiran anda nasi lemak bukan? Ia lebih dari itu.

Saya pernah senaraikan sebelum ini yang lelemak adalah antara ramuan berkategori kritikal dalam pensijilan halal. Sila rujukan artikel Halal Haram yang kedua. Namun kali ini saya akan menjelaskannya dengan lebih perincian. Ini penting sebagai sebahagian daripada pemahaman. Fakta tanpa penjelasan pastinya tergantung. Itu melemaskan.

Lelemak atau istilah yang selalu digunakan pada label produk ialah shortening, animal shortening atau animal fat (lemak haiwan), vegetable fat (lemak sayuran), adalah campuran pelbagai lemak daripada sumber sayuran dan binatang.

Secara umumnya lelemak merujuk kepada campuran pelbagai jenis lemak yang telah diproses dan lemak yang berwarna terang (kebiasaannya kuning). 

Marjerin bahan asas dalam penyediaan kek dan biskut
Lemak terbahagi kepada dua jenis, iaitu lemak tepu dan lemak tidak tepu. Lemak tepu bersifat beku dank eras pada suhu bilik dan kebiasaanya ia didapati dari sumber haiwan. Lemak tidak tepu pula berisfat lembut dan cecair pada suhu bilik dan diperoleh dari sumber tumbuhan.
Minyak sapi penting dalam resepi nasi minyak, nasi arab dan seumpamanya
Boleh bayangkan kita makan nasi lemak tanpa rasa lemak? Nasi minyak tanpa ghee? Pastinya ia tidak memberikan hasil atau rasa yang kita inginkan.

Dengan adanya lemak dalam makanan, ia memberikan perisa dan tekstur tertentu kepada makanan. Kebanyakan bahan perisa dan aroma dalam makanan adalah larut dalam lemak. Oleh itu, lemak akan melarutkan bahan-bahan tersebut dan akan menambahkan keenakan bahan-bahan tersebut. Lelemak yang dicampurkan ke dalam makanan  seperti biskut dan kek adalah untuk melembut dan melemakkan makanan
.
Lemak merupakan salah satu sumber tenaga yang efektif berbanding karbohidrat dan protein. Ia menyumbang antara 25-30% jumlah tenaga harian kita. Sebab itu, secara tradisi masyarakat Melayu menghidangkan nasi lemak sebagai sarapan kerana asalnya dahulu kita adalah masyarakat petani. Maka nasi lemak adalah juadah yang paling memberikan tenaga bagi memulakan pekerjaan yang berat seperti bertani, ke laut menangkap ikan, menebang balak bagi penerokaan dan lain-lain lagi.

Menyelerakan tapi pengambilannya biarlah sesuai dengan kadar guna tenaga harian kita
Lemak diperlukan oleh Vitamin A, D, E dan K  sebagai medium pengangkut dalam sistem tubuh manusia. Berkurangannya pengambilan lemak, pengambilan vitamin larut lemak juga akan berkurangan.

Suka saya mengingatkan bahawa setiap ramuan yang sumbernya boleh didapati dari sumber haiwan atau tumbuhan, maka ia adalah termasuk dalam jenis kritikal.

Bagi sumber haiwan, lelemak biasanya didapati dari babi dan lembu. Dan sumber tumbuhan pula seperti kelapa sawit, soya, kelapa dan lain-lainnya.

Untuk kesekian kalinya saya tegaskan, lelemak bersumberkan babi adalah yang paling meluas digunakan di dalam industri. Bukan semata-mata kerana ia sumber terbanyak dan paling murah dan mudah didapati, tetapi ada satu lagi sebabnya. Lelemak babi  yang dimodifikasi secara industri didapati mlebih mudah dicampur dengan minyak/lemak yang lain dalam penyediaan produk makanan. Ia pastinya lebih banyak lagi kos dapat dijimatkan dengan pulangan yang pastinya berganda.

Bagi lelemak bersumberkan lembu, walaupun turut digunakan tetapi status halal dan haramnya diragui kerana kemungkinan lembu itu tidak disembelih mengikut aturan Syarak. Tambah lagi, kebanyakan lelemak diimport dari luar negara.

Sesuai dengan manfaatnya yang besar dan penggunaan yang meluas, sudah semestinya mudah didapati pada produk makanan.
Segmen konfeksi dan pastri antara yang paling meluas penggunaan lelemak

Antaranya adunan kek, aiskrim, roti, biskut, krimmer bukan tenusu, makaroni, marjerin, mentega kacang, sosej dan gula-gula toffee.

Begitu juga dengan produk kosmetik dan barang gunaan. Contohnya sabun buku, pembersih muka, ubat gigi, krim muka, losyen badan, ubat kumur dan  krim penyegar kulit.

Lelemak bersumber babi lebih putih warnanya

Jenama marjerin (butter) yang bersumberkan lemak babi

Allah Azzawajalla telah mengharamkan apa yang buruk dan menghalalkan apa yang baik bagi manusia seluruhnya. Sabda Nabi s.a.w; “setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api Nerakalah yang layak baginya”. [HR At-Tirmizi]

Oleh itu berhati-hatilah dalam memilih makanan dan barang gunaan yang baik untuk diri dan keluarga.

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu…” [At-Tahrim: 6]

Beberapa tahun yang lalu, pernah negara digemparkan dengan  produk minyak sapi yang status halalnya meragukan. Apalagi isu itu timbul ketika Ramadhan di saat umat Islam bersiap menyediakan kuih-muih dan biskut untuk Aidilfitri.

Justeru, pastikan dahulu status halalnya sebelum kita membeli dan menggunakan produk bersumberkan lelemak.

Wallahu a’lam.
.
read more...