photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Monday, July 28, 2008

UMNO Semakin Sihat, PAS Jatuh Sakit?

Jika beberapa hari selepas PRU ke-12 Mac yang lalu, Putrajaya seolah-olah ingin menyambut satu kuasa politik baru untuk memimpin negara ke arah yang lebih beramanah, bersih dan adil. Lima puluh tahun yang sarat dengan pelbagai kemelut dan kekeruhan ingin diserlahkan dengan sinar dan kejernihan. Rakyat sudah nampak pelbagai hadiah dan ganjaran yang menarik hasil daripada satu undi yang dibuang. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini jalan ke Putrajaya semakin dilitupi kabus yang tebal. Perjalanannya sudah semakin mendung dan bersimpang siur.

Apa yang tidak kena?

Perdana Menteri pernah mencatatkan rekod kejayaan UMNO dan BN gilang gemilang pada tahun 2004. Sembilan puluh peratus majoriti di Parlimen dan hampir keseluruhan kerajaan negeri di bawah kuasa BN menjadikan ia satu kuasa keramat yang sukar diganggu gugat oleh mana-mana ahli nujum politik negara. Walaubagaimanapun, setelah hampir lima tahun pentadbirannya, ‘trust’ yang diberikan oleh rakyat itu semakin hari semakin hilang daripada gemerlapan kuasanya. Letupan-letupan kecil di dasar laut pada tahun 2007 dan awal 2008 mengtsunamikan seluruh Semenanjung Malaysia akhirnya. Rupa-rupanya diam-diam rakyat, berisi jua. Kempen ‘Hanya Satu Undi’ betul-betul memberikan kesan kepada rakyat. Satu undi untuk cuba berubah! Apa yang paling mesti dikenang adalah Perdana Menteri juga telah merekodkan satu catatan sejarah terburuk dalam diari perjalanan UMNO dan BN sehingga hilang dua pertiga majoriti BN di Parlimen.

Maka, wujudlah satu nama baru iaitu Pakatan Rakyat. Secara tidak langsung ramai orang mula berhipotesis dan berteori mengatakan rakyat Malaysia pada hari ini menolak sentimen perkauman dan mendokong amalan perpaduan nasional tanpa mengira ras dan agama. Pakatan yang wujud sebelum PRU ke-12 mempunyai satu titik pertemuan atau faktor sepunya iaitu menubuhkan kerajaan yang lebih telus, lebih beramanah dan lebih adil. Disebabkan gagasan ini dan ditambah dengan beberapa faktor kritikal yang lain, maka rakyat memberikan satu undi perubahan sebagai harapan baru buat mereka. Lihat hasilnya samada di Parlimen dan di Dewan Undangan Rakyat. Betapa gahnya Pakatan Rakyat.

Anwar Sebagai Faktor Kritikal

Perkara ini sukar untuk disangkal. Sejak awal-awal lagi Anwar sudah mengatakan “Jika saya jadi Perdana Menteri, saya akan....” Bagaimana agaknya respon rakan-rakan PR terutamanya PAS? Adakah Tuan Guru Abdul Hadi tidak berkesempatan untuk diangkat menjadi PM. Memang tidak ada desup-desup yang mengatakan Tuan Guru akan menjadi PM, cuma Ibrahim Ali sahaja yang pernah mengisytiharkan dan menyokongnya di Dewan Rakyat pada bulan Mei yang lalu. Walaubagaimanapun, seolah-olah sudah sepakat Anwarlah nanti yang akan menjadi PM kerana karektornya, karismatiknya, kefahamannya yang jelas dalam pentadbiran kerajaan dan sokongan kaum-kaum lain terhadapnya.

Sepertimana yang dijangka, tatkala Anwar dan gerombolannya mendoktrinkan rakyat dengan 16 September 2008, maka setiap saluran ke arah tarikh itu telah disekat dan diputarligat oleh propagandis-propagandis UMNO. Satu demi satu isu yang terpaksa dilayan oleh PR. Sejak dari pelantikan Menteri Besar Perak dan Selangor, isu penghapusan DEB, isu projek Babi Negara, isu kemungkinan marginalisasi Melayu di Pulau Pinang, isu Jawatankuasa Kemajuan Kampung sehinggalah isu fitnah sodomi terhadap Anwar Ibrahim. Jika diperhatikan sedalam-dalamnya, kebanyakkan isu ini bertujuan untuk meleraikan ikatan PR dan isu yang paling tajam adalah PERKAUMAN. Isu inilah yang menjadi senjata UMNO dan BN untuk melumpuhkan pakatan yang baru hidup tak sampai setahun ini.

Hubungan PAS dalam PR

Terdapat juga soseh-soseh ahli dan pimpinan yang mengatakan hubungan diantara PAS dan komponen PR agak retak sedikit. Ini dapat diperhatikan dalam beberapa kenyataan media pimpinan ketika soal muzakarah UMNO dan PAS baru sahaja dimainkan media. Kenyataan yang pada akarnya menyokong muzakarah demi kepentingan Islam dan Melayu tapi rantingnya mencucuk-cucuk DAP dan PKR. Sejauhmana benarnya, mereka yang tahu. Mungkin disebabkan itu, muzakarah ini dibuat. Namun, ada juga beberapa pimpinan PAS dengan tegas mengatakan bahawa PAS akan tetap bersama PR walau digocang dengan isu muzakarah ini.

Asasnya, PAS, DAP dan PKR kena sentiasa duduk berunding dalam Majlis Tahalluf (Majlis Pakatan) dalam sesuatu isu yang menyentuh perkara-perkara dasar. Misalnya, isu kontrak sosial. Beberapa YB BN pernah mengasak YB Bachok sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih YDPA di Parlimen pada bulan Mei yang lalu mengenai kontrak sosial, DEB dan label bumiputera dan non-Bumiputera. Jelasnya, PAS tidak memberikan jawapan yang agak memuaskan ditambah lagi dengan beberapa kenyataan pimpinan DAP yang agak vokal dalam isu yang sama. Ini mengeruhkan keadaan.

Walaupun pada mulanya, PAS tidak mengangkat tema Negara Islam kerana mengambil beberapa pendekatan siyasah syar’iyyah, fiqh dan usul serta sirah sebagai pedoman namun slogan Daulah tidak semestinya akan terus padam dalam perjuangan PAS. Negara Berkebajikan telah menjadi kata sepakat komponen PR dalam PRU yang lalu. Selepas kemenangan ini, cabaran yang harus diurus oleh PAS adalah bagaimana ingin menterjemahkan substansi Daulah Islamiyyah dalam pengurusan dan pentadbiran disamping menghormati kaum dan agama lain. Inilah satu cabaran besar yang harus digalas oleh PAS.

Muzakarah PAS dan UMNO : Terlalu Dramatik

Dramatik dan mengasyikkan. Walaupun pada mulanya PAS sudah dilihat sebagai ‘playmaker’ dalam politik negara hari ini, tapi akhir-akhir ini survival PAS agak terancam dek kerana UMNO. Pada mulanya, umum mengetahui tidak wujud muzakarah. Kemudian timbul pula berita, sebenarnya muzakarah telah pun diadakan selang beberapa hari selepas PRU yang lalu terutamanya di Selangor. Tapi isu muzakarah telah dimurnikan dengan hanya muqabalah. Tanpa ada rahsia dan dibuat secara umum dan khusus untuk membincangkan masalah ummah dan agama. Inilah minda negarawan sepertimana yang disebut oleh YB Kubang Kerian dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia, Ahad yang lalu.

Lebih menarik apabila media meminta pandangan beberapa pimpinan PR antaranya Lim Guan Eng, Wan Azizah dan Tan Seng Giaw. Semuanya memberikan respon positif dengan muzakarah tersebut. Tidak perlulah terus melenting kerana ia hanya sekadar muqabalah. Tapi, UMNO lebih nakal sedikit. Pak Lah umumkan, “sebenarnya saya telah mengadakan muzakarah bersama ‘decision makers’ PAS sebanyak tiga kali sebelum ini”. Ditambah pula dengan kenyataan Khir Toyo bahawa ini bukan muzakarah biasa tapi ia adalah perbincangan kerjasama membentuk kerajaan PAS dan UMNO di Selangor. Maka, terloponglah mulut beberapa pimpinan PAS dengan pendedahan ini. Seterusnya, kuda tua DAP, Karpal Singh dan Lim Kit Siang terus membidas kesetiaan PAS dalam PR.

Beberapa hari lepas, Tuan Guru Nik Aziz menyebut supaya PAS dan UMNO hendaklah dibubar dan bentuk parti baru tapi mestilah berasaskan ISLAM. Ini satu tarikan politik baru dengan isi yang lama. PAS banyak kali menyeru ahli-ahli UMNO tinggalkan perjuangan nasionalis dan sertailah perjuangan Islam. Cuma, kali ini Tuan Guru lebih berani dengan memantikkan kata-katanya. UMNO terlalu sukar membubarkan partinya terutamanya Najib kerana beliau hanya menunggu dua tahun sahaja lagi. Tak lama, tapi tak tentu. Cuba perhatian kenyataan maaf YB Pokok Sena merangkap Ketua Penerangan PAS dalam harakahdaily pada 28hb Julai 2008. Sebalik permohonan maafnya ada perkara tersirat yang perlu diperjelaskan. Apa dia, hayatilah sendiri.

Agenda Ketidak-ikhlasan UMNO

Satu parti yang paling degil adalah UMNO. Semua komponen BN kecuali UMNO sudah menunjukkan signal untuk mengalah dan menurunkan pimpinan yang lemah dan gagal mengendung tugasannya. Pak Lah tetap setia berada di atas kerusi Presiden dan PM. Mana-mana orang hebat di dunia ini mesti ada sepasukan penasihat yang akan setia memberikan nasihat-nasihat kepadanya. Begitu juga dengan Pak Lah. UMNO ada beberapa fraksi. Paling dominan adalah fraksi Pak Lah dan Tun Mahathir. Tun mendesak Pak Lah untuk turun supaya UMNO dapat diselamatkan, tapi Pak Lah enggan.

Semua orang mengetahui, kuasa politik UMNO telah terhakis. Mereka menggembar gemburkan mereka hebat tapi sebenarnya tidak. Mereka sudah semakin tempang dan sekarang mengalami strok. Biasanya, bila orang sakit, dia pasti akan ikhtiar untuk sembuh. Jumpa doktor biasa, specialist, dukun, pawang dan ahli nujum untuk merawat penyakit tersebut. Jadi, tahun 2008 adalah Tahun Merawat UMNO dan pengarahnya adalah Najib. Pengarah De Facto adalah Pak Lah.

Apa penyakit UMNO dan BN sekarang ini? Pertamanya adalah perpecahan dalaman. Penyakit ini baru sampai peringkat pra-kritikal dan mungkin jangka hayat kritikalnya adalah pada bulan Disember 2008. Kedua adalah penyakit Sabah dan Sarawak. Selepas sahaja Anwar mendakwa ada beberapa orang ahli BN akan melompat ke PR, Pak Lah dan gerombolannya terus terbang ke sana untuk memberikan rawatan segera jangka pendek. Tawaran demi tawaran disuntik dan disuapkan kepada BN Sabah dan Sarawak. Ketiga, penyakit hilang kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO. Orang Melayu sudah semakin berani memilih PKR mahupun PAS dan ramai juga yang tidak berparti. Dan penyakit kronik yang terakhir adalah penyakit fobia hilang kuasa. Jika penyakit ini semakin teruk, maka akan lumpuhlah UMNO di muka bumi Malaysia dan akan terbongkarlah pekung dan tembelang UMNO selama ini. Maka sekarang ini, ramai doktor-doktor pakar sedang merawat UMNO dan khabarnya para doktor ini kebanyakkannya dari Oxford dan Cambridge.

Adakah PAS Menjadi Mangsa Ujian Ubat UMNO?

Perkara ini sukar ditelah kerana masih lagi samar-samar. Tapi, jika dilihat mood pada hari ini, PR sudah semakin nipis tali kerjasama dengan PAS. Kemudian, sekiranya PAS dan UMNO membentuk kerajaan bersama terlalu banyak kritikan panas yang akan menyerang PAS terutamanya daripada ahli, penyokong, sebahagian pimpinan dan rakan-rakan komponen. Masa sekarang tidak sesuai untuk membentuk kerajaan campuran. Ia akan menyihatkan UMNO dan menyakitkan PAS sendiri.

Bagaimana jika PAS dan UMNO bergabung dan dalam masa yang sama PR membentuk kerajaan? Bagaimana pula nasib PAS? Sekiranya terdapat pimpinan PAS yang tersilap mengambil langkah politik dalam isu yang berlegar sekarang ini, silalah Majlis Syura mengambil tindakan mu’aqabah (denda) kepada mereka. Bukan bencikan mereka tapi kerana terlalu sayangkan mereka dan parti Islam ini.

Hanya sekadar luahan rasa dan pandangan peribadi. Mudah-mudahan perkara ini tidak tepat.
read more...

Sibuk dengan Mercedes Sampai Lupa Rakyat Miskin

Ternganga juga mulut penonton Buletin Utama siaran televisyen swasta apabila Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said begitu petah bercakap tentang kereta Mercedes E200 Kompressor dan memperlekeh Perdana V6 Executive.

Terasa macam beliau bercakap di Litar Formula Satu di Sepang jika tidak diberitahu pembaca berita, bahawa beliau bercakap kepada wartawan sebelum mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan Terengganu di sebuah hotel di Kuala Lumpur.


Barangkali datang dari Terengganu dapat merasa henjutan minyak percuma daripada kompresor baru ke Kuala Lumpur dan boleh menjadi topik pertama dalam mesyuarat sebelum masuk lebih serius.


Selepas ini kalau rakyat mahu tahu bagaimana lasak kereta Mercedes boleh Exco Terengganu cadangkan mesyuarat akan datang diadakan di Genting Highland, Cameron Highland atau di tempat yang lebih jauh bagi Terengganu iaitu Perlis. Makin bertambah lebat cerita tentang Mercedes kerana modal bercakap makin banyak dan berisi.


Bagaimanapun rakyat tertanya, tidak berminatkah Exco Terengganu menaiki kapal terbang kalau ada program di luar Terengganu sehingga kereta Exco terpaksa jalan jauh? Atau barangkali jalan raya Terengganu perlukan kereta lasak?


Kabinet membuat keputusan Exco Terengganu tidak boleh menggunakan kereta tersebut tetapi apakah tindakan disiplin dikenakan kepada mereka terbabit yang melanggar arahan surat perkeliling membeli kereta Mercedes tersebut?


Menurut MB Terengganu, penelitian telah sudah dibuat sejak dua tahun lalu dan keputusan muktamad dibuat tiga bulan lalu. 14 kereta Mercedes itu telah digunakan sejak seminggu lalu.
Katanya, spesifikasi pembelian Mercedes menepati syarat surat perkeliling kementerian kewangan yang hanya membenarkan kerajaan negeri menggunakan kereta nasional atau kereta yang dipasang di Malaysia (CKD).


Menjawab pertanyaan wartawan dengan petah Ahmad menjawab: "Saya sayangkan duit kerajaan negeri saya buat macam ni. Saya nak jaga duit rakyat sebab itu nak kena buat."
Kalau kita beli kereta Mercedes RM240 ribu boleh tahan berapa tahun?" soal Ahmad kepada wartawan sambil menambah: "I pakai kereta 18 tahun.. Mercedes kerajaan sekarang. Tak ada masalah."


Bila ditanya keputusan Kabinet beliau berkata: "Kita dah beli (Mercedes) dah pun. Nak jual secondhand berapa ribu pulak? berebut orang nak beli..dah nak buat macam mana."


Ahmad juga menunjukkan kepakaran dalam bidang kereta katanya: "Proton kena terima (kritikan beliau) sebagai positif. Dia kena upgrade Perdana V6 Executive dia tambah 10 inci daripada Perdana V6�spek lain tidak tambah..enjin, kotak gear.. itu masalah, itu yang rosak."
"Tanya semua menteri besar tapi dia tak berani cakap la, Saya tak nak hipokrit. Saya cakap benda benar. Saya ada rekod boleh tunjuk satu-satu," ujarnya lagi.


"Kalau salah, Kabinet tarik balik perkeliling. Cuma anggapan kita kalau Mercedes; mewah, mewah. Cuba cek Spanco (dimaksudkan kos penyelenggaraan).


Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat juga ditanya wartawan tentang kereta rasmi tetapi dijawab tidak ada keperluan untuk tukar kereta manakala Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaludin pula berkata perbelanjaan penyelengaraan kereta rasmi kerajaan Perak tidak setinggi Terengganu malah peruntukan untuk penyelenggaraan kereta yang tidak digunakan boleh dibawa masuk ke perbelanjaan rakyat.
Mengenai kereta rasmi ini terdapat juga Exco terutama daripada Pakatan Rakyat duduk depan bersama pemandu. Bagi Exco wanita mereka lebih berakhlak duduk dibelakang sekiranya pemandunya lelaki.


Ahmad sepatutnya lebih petah dalam mengubah kemiskinan rakyat Terengganu kerana kedudukan kemiskinan Terengganu ditangga kedua selepas Sabah sedangkan negeri tersebut mempunyai pendapatan yang kedua tertinggi dalam negara.


Kenapa negeri berpendapatan kedua tertinggi tetapi rakyatnya miskin? Jawabnya kerana Terengganu bermenterikan mereka bercitakan kemewahan sehingga lupa bagaimana program, perancangan serta idea yang baik bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.


Semasa Terengganu dibawah pemerintahan PAS pada 1999 kedudukan kemiskinan negeri itu telah dibaiki daripada tempat kedua iaitu dengan kadar 17.3 peratus kepada tempat ketiga (14 peratus)pada tahun 2001.


Pada awal 2004 percapaian itu dibaiki lagi ke paras keempat dengan kadar kemiskinan iaitu 10 peratus setelah membuat perubahan polisi sebaliknya negeri itu kembali miskin iaitu tempat kedua (15.4 peratus) setelah BN memerintah kembali pada pilihan raya umum 2004.
PAS mampu mengubah nasib kehidupan rakyat walaupun ketika itu wang royalti minyak ditarik balik oleh kerajaan Pusat.


Dengan jumlah isi rumah miskin tegar seramai 8,300, Terengganu kembali menduduki tangga kedua senarai negeri paling tinggi kadar kemiskinan. Perangkaan terakhir itu diperolehi daripada laporan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Oktober 2006.
Dalam masa yang sama kos sara hidup di Terengganu adalah yang kedua tertinggi di negara ini sepertimana kata Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dato' Adzlan Mohd Dagang.


Rakyat Terengganu masih belum lupa pembangunan Masjid Kristal yang menelan belanja lebih RM270 juta hanya sebagai perhiasan bukan bermanfaat untuk Islam ternyata salah daripada maksud sebenar mendirikan rumah Allah.


Penganjuran Pertandingan Kapal Layar Piala Monsun menghabiskan RM300 juta setahun. Sukan kapal layar itu hanya dipertandingan di kota mewah seperti Perth, Australia; Monaco, Itali dan lain-lain bandar maju cukup tidak sesuai dipertandingkan di Kuala Terengganu.
Penganjuran yang mengharapkan timbal balas kedatangan pelancong asing dan menguntungkan ekonomi negeri rupanya tidak kecapaian berikutan mereka lebih gemar tinggal di Singapura berbanding di Kuala Terengganu yang masih kekurangan hotel mewah dan prasarana bagi menarik minat mereka.


Harga sebuah kereta Perdana V6 Executive dianggarkan dalam lingkungan RM130,000 berbanding Mercedes RM245,000 yang dikatakan lebih murah daripada harga pasaran, namun banyak pihak mengecam tindakan kerajaan Terengganu itu kerana ia bertentangan dengan arahan kerajaan Pusat yang menyarankan semua pihak berjimat cermat.


Selain itu, menteri yang sepatutnya berperanan mempromosi dan membantu industri kereta nasional sebaliknya memperlekeh secara terbuka.


Sementara itu dilaporkan Badan Pencegah Rasuah (BPR)membuat siasatan mengesan kemungkinan berlaku penyelewengan dalam kos senggaraan Perdana V6 Executive yang mencecah RM175,229.97 sebuah sepanjang empat tahun lalu.
read more...

Friday, July 25, 2008

Pembersihan Unsur Anwar Ibrahim di UIAM?

Nampak gayanya UIAM sudah mula menunjukkan kemunduran identiti dan sifat pasung minda apabila mengisytiharkan pakaian jubah konvokesyen baru UIAM yang bakal diadakan 23 - 25 Ogos 2008. (Rujuk Utusan Meloya)

Tiada lagi songkok dan tudung yang menjadi identiti keunikan UIAM kerana kini, seorang yang begitu bijak yang diberi nama Prof Datuk Dr. Tahir Azhar telah mengisytiharkan jubah yang baru dengan topi mortar atas alasan 'mengelakkan daripada soalan skeptikal dan was-was daripada sesetengah pihak'. Apakah maksud ayat ini? Apakah soalan yang sebegitu begitu hebat sehinggakan identiti Islam di UIAM itu diketepikan?

Saya ingin bertanya kepada Prof apakah ini bermaksud UIAM tunduk dan mengalah kepada 'fesyen luar' walhal Islam dan UIAM ada identiti sendiri yang unik dan dihargai seantero dunia? apakah sebegitu mudah UIAM tunduk menyerahkan identiti Islam kepada identiti lain? Apakah salahnya songkok diteruskan? Lebih baik UIAM memperbaiki penghayatan para graduan terhadap Islam, cara-cara untuk memastikan Islam tersemat dalam hati, agar dapat dielakkan isu bekas pelajar UIAM ke disko, jadi pelacur, seks rambang dan lain-lain!

Perkara remeh? Saya setuju! Apabila perkara seremeh ini tidak dapat diberikan perhatian, jangan haraplah kita berdaya melawan arus menentang Islam kini.

Sabda Nabi SAW, "Barang siapa yang mengikuti adat sesuatu kaum yang lain maka ia adalah daripadanya".

Sekiranya alasan ini dijadikan asas maka saya fikir lebih baik Prof meletakkan jawatan. Ini adalah kerana fungsi UIAM bukan sahaja meneruskan dasar pendidikan, tetapi juga sebagai benteng Islam terakhir untuk mempertahankan Islam dan identiti Islam, untuk mempertahankan maslahat umat.

Perkara kecilanpun tidak terdaya UIA untuk mempertahankannya, inikan pula maslahat umat!! Apakah pendirian UMNO terhadap isu ini? apakah parti membela melayu duduk macam kera sumbang diam seribu bahasa? Apakah pendapat Hishamuddin? Adakah Menteri Pelajaran itu mengetahui perkembangan ini? Apakah ini salah satu daripada langkah-langkah menghapuskan unsur Dato' Seri Anwar Ibrahim di UIAM?
read more...

Perlukah Muslim Sokong Barrack Obama?

Pemilihan calon presiden parti-parti utama Amerika Syarikat, Republikan dan Demokratik tahun ini menarik minat yang luar biasa daripada seluruh dunia, tidak terkecuali dunia Islam.

Minat luar biasa ini tertumpu pada tokoh muda Demokrat, Barack Hussein Obama, yang diletakkan harapan besar oleh banyak pihak termasuk minoriti Muslim di AS dan sejumlah besar Muslim di seluruh dunia.

Minat dan harapan kepada Obama ini meletakkan senator dari Illinois ini di satu kedudukan yang istimewa. Obama disamakan dengan John F Kennedy, dari sudut idealisme dan harapan baru kepada AS.

Bagaimanapun, berbeza dengan Kennedy, Obama mendapat perhatian khusus dunia Islam. Muslim di AS dan seluruh dunia meletakkan harapan pada Obama untuk membawa perubahan yang jauh lebih baik, lebih-lebih lagi selepas bencana pentadbiran Presiden George W Bush.

Hal ini wajar dilihat dengan lebih kritikal, walaupun disebabkan pesaingnya John McCain dilihat sebagai tidak berbeza dengan Bush dan dijangka akan meneruskan dasar Bush.

Dunia Muslim sebelum ini pernah mengambil sikap yang sama; memberi sokongan dan meletakkan harapan besar pada bakal presiden AS. Pada tahun 2000, menyokong Bush, calon Republikan, merupakan satu sikap yang popular bagi Muslim AS dan seluruh dunia.

Pertubuhan-pertubuhan Muslim di AS pada masa itu mengambil sikap yang tidak kritikal terhadap Bush. Sikap Bush sebelum itu, iaitu menunjukkan sikap mesra dengan Muslim AS, dilihat sebagai mewakili sikap sebenar Bush dan petunjuk dasar luarnya apabila menjadi presiden kelak.

Apa yang lebih mendedahkan sikap tidak kritikal sebahagian Muslim AS pada masa itu ialah sokongan kepada Bush sebahagian besarnya disebabkan calon naib presiden Parti Demokratik, Joseph Lieberman, ialah seorang Yahudi.

Akibat rasa kurang senang dengan calon Yahudi, Muslim AS memberi sokongan penuh kepada Bush dan calon naib presiden yang kini terbukti bermasalah, Dick Cheney.

Akhirnya, hanya selepas satu penggal Bush menduduki White House, Muslim AS yang memberi sokongan kepada Bush-Cheney pada tahun 2000 kecewa dan menarik balik sokongan.

Sepatutnya, apa yang berlaku itu dijadikan satu pengajaran bagi Muslim AS dan dijadikan sebab untuk lebih memahami politik AS dan bergiat dalam sistem politiknya- antaranya sebagai kumpulan pelobi - dan bukan hanya memberi sokongan kepada calon presiden kerana terbukti presiden bukan penentu semua dasar pentadbiran.

Sokongan kepada Obama oleh Muslim di luar AS sebahagiannya disandarkan pada sentimen dan persepsi tentang dasar luar yang akan dibawa oleh pentadbirannya nanti jika beliau memenangi jawatan presiden.

Sentimen minoriti juga menjadi satu punca sokongan Muslim AS kepada Obama. Beliau dilihat sebagai underdog, mewakili kumpulan yang sama dalam usaha memenangi jawatan yang selama ini dikuasai kaum majoriti kulit putih.

Obama sepanjang tempoh kempennya sangat berhati-hati dengan persepsi tentang agamanya, terutama terhadap dakwaan bahawa beliau sebenarnya seorang Muslim.

Obama juga sehingga kini sangat berhati-hati dalam menerima sokongan warga Muslim AS. Beliau mungkin tidak mahu dikaitkan sebagai tokoh yang mewakili suara Muslim AS, terutama ketika masih terdapat warga AS yang percaya yang beliau sebenarnya seorang Muslim.

Dalam satu perkembangan yang memberi gambaran sikap sangat berhati-hati ini, dua orang wanita Muslim bertudung dihalang daripada duduk di belakang Obama dalam dua rali berasingan.

Arahan itu dikatakan bukan datang dari Obama, tetapi hal itu menunjukkan persepsi negatif terhadap Muslim tetap wujud, dan wujud di kalangan mereka yang mengendalikan kempen Obama.

Kedudukan di belakang posisi Obama ketika berucap penting bagi membina persepsi tentang sokongan meluas diperolehi. Mereka yang berada di bahagian itu akan dilihat pada gambar atau rakaman televisyen yang diambil ketika Obama berucap. Lebih pelbagai mereka yang duduk dibelakangnya, lebih beliau akan dilihat sebagai mewakili semua lapisan rakyat AS.

Malangnya, wujud persepsi yang kehadiran wanita Muslim bertudung akan menjejaskan imej Obama. Apapun sebab wanita terbabit dihalang daripada mengambil tempat itu, hal ini pasti mempunyai kaitan dengan persepsi berkaitan Islam yang cuba ditepis Obama.

Ini bagaimanapun tidak bermakna sokongan dan harapan patut diberikan pada McCain. Pilihan untuk AS yang lebih baik bukan hanya terletak pada presiden, atau dua parti utama, Republikan dan Demokratik.

Hal ini sepatutnya mendorong Muslim AS bergiat dalam politik dengan lebih aktif, dalam masyarakat sivil, kumpulan pelobi dan sebagai pengundi di semua peringkat.

Pergantungan pada kuasa presiden semata-mata ialah satu pemahaman yang sangat menyeleweng.
read more...

Thursday, July 24, 2008

Muzakarah Tenggelamkan Isu Minyak dan Altantuya

Bijak sungguh media perdana melarikan isu rakyat. Semua orang bercakap isu muzakarah. Kalau dulu sambil bubuh minyak, ada maki Umno-BN, kerana minyak mahal. Kadang-kadang penjaga pam yang tidak berdosa pun kena marah kerana minyak mahal. Dia tidak berdosa yang berdosanya pemimpin dan orang yang mengundi BN kerana pemimpinnya telah menindas rakyat dan mencekik darah rakyat.

Memang pemimpin Umno ini daripada awal lagi tidak boleh percaya. Sejarah pengkhianatan Umno pada Islam dan Melayu amat banyak. Umno yang sudah berumur 62 tahun, kalau ikut umur umat Nabi Muhammad s.a.w. nampaknya umurnya semakin hujung usia.

Umno lemas sekarang, kalau ada buaya di depan pun ia akan berpaut. Ia memerlukan talian hayat kerana nyawa sebenarnya sudah tidak ada. Umno menghidap penyakit kritikal, kencing manis, darah tinggi, jantung, gaut. Sudah nazak, untuk ditalkin sahaja.

Apa yang berlaku pada hari ini adalah mainan media yang menjadi kuda tunggangan Umno untuk menghancurkan perpaduan parti dan menimbulkan rasa curiga di kalangan Pakatan Rakyat. Mereka cuba menimbulkan keraguan supaya Pakatan Rakyat berpecah sesama sendiri.

Akhbar dan media perdana melaporkan (20 Julai), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mendedahkan ada tiga kali pertemuan dengan pimpinan tertinggi PAS membincang masalah Islam dan Melayu.

Maka malam 20 Julai, Harakahdaily menyiarkan kenyataan Presiden PAS memang ada pertemuan selepas PRU ke-12 yang diwakili oleh YB Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa; Dato� Mustafa Ali (Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat) dan YB Khalid Samad iaitu Timbalan Pesuruhjaya Selangor.

Persoalannya kenapa Abdullah mendedahkan perkara ini kepada media. Apa perlu beliau membuat kenyataan ini. Daripada awal lagi kita sudah melihat pemimpin Umno tidak jujur. Di sini kita boleh andaikan bahawa tujuan dia untuk memecahbelahkan perpaduan Pakatan Rakyat dan menimbulkan kerisauan pengundi PAS yang kononnya PAS hendak masuk BN.

Presiden Umno juga hendak menunjukkan kepada rakyat walaupun nampak lembik macam tidak cukup zat besi, "Aku berjaya menundukkan PAS yang boleh dianggap 'Singa Malaya' untuk ikut aku. Maka tertolaklah hujah yang mangatakan aku tidak bermaya seperti yang selalu dihujah oleh musuh politik dalam Umno sendiri."

read more...

KUIS: Penghargaan dan Tahniah



Kesempatan yang cukup bermakna ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Mantan Timb. Yang di-Pertua MPPKUIS, Sdr. Muhamad Atiq B. Hashim dan bekas Pengerusi Sekretariat Induksi dan Taaruf MPPKUIS, Sdr. Nasrul Izad B. Mohd Isa di atas penganugerahan yang diterima sempena Istiadat Konvokesyen Ke-11 Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Semoga Allah melimpahkan rahmat dan maghfirah serta hidayah taufiq-Nya ke atas kalian berdua. Sebagai seorang sahabat, saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anda.

Sekali lagi saya menyampaikan kalungan syabas dan tahniah di atas kurniaan istiadat.
read more...

Wednesday, July 16, 2008

Moga PAS Bebas Zahirkan Perjuangannya

Imam al Ghazali pernah berkata: "Agama itu asas dan kerajaan itu pengawalnya. Maka sesuatu yang tiada asas akan tumbang manakala sesuatu yang tanpa pengawal pasti akan hilang".

Justeru tidaklah menghairankan apabila dalam wawancara eksklusifnya bersama Harakah baru-baru ini Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Hj. Abd. Hadi Awang menyarankan agar sudah tiba masanya bagi Islam diberi peluang untuk dilaksanakan demi melahirkan keadilan dalam negara kita yang tercinta ini.

Ibnu Taimiyyah pernah menulis: "Memimpin dan menguasai umat adalah kewajipan agama yang terbesar. Tidak akan terdiri agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan) itu. Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum Muslimin) untuk menyuruh kepada yang baik, melarang dari yang mungkar, membela orang yang teraniaya, melakukan jihad, melaksanakan hudud dan berlaku adil dalam manjatuhkan hukuman, semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teras kepimpinan." (as Siayasah as Syariaah)

Tuan Guru Presiden menyebut bahawa PAS adalah parti yang menegakkan Islam dengan makna yang menyeluruh. Lantaran itu dengan dasar dan matlamat perjuangan yang jelas sudah pastilah kemenangan kecil yang dikurniakan oleh Allah swt melalui pilihan raya umum lalu, mendorong PAS untuk bangkit bagi melaksanakan apa yang diperjuangkannya dalam apa sahaja ruang dan kerangka yang dibenarkan.

Memang kemenangan PAS kali ini bertenggek di atas kekuatan bersama melalui gagasan Pakatan Rakyat, namun sebagai rakan yang menurut Tuan Guru Presiden, telah memberikan sumbangan yang besar sehingga terbentuknya kerajaan di negeri-negeri baru selain Kelantan ini, sudah pastilah ruang dan peluang perlu diberikan dan dibuka buat PAS untuk melaksanakan tuntutan perjuangannya. PAS mahukan pengiktirafan dari kawan-kawannya, dan apakah pengiktirafan yang lebih besar bagi PAS selain dibenar menekankan kepada perlaksaan syariat Islam khasnya dikalangan rakyat yang beragama Islam.

Saya yakin dan percaya luahan hati Tuan Guru Presiden PAS ini yang disokong dan didokong oleh seluruh kekuatan jentera dan ahlinya akan didengar dan diberi perhatian oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Apa yang disuarakan oleh beliau adalah tuntutan agama yang merupakan asas kuat yang membentuk perjuangan PAS sejak berdekad-dekad yang lalu.

Kata Tuan Guru Presiden lagi: "Di sana ada syariat Islam seperti Hudud, Qisas dan Takzir, yang diwajibkan Tuhan dalam al-Quran di mana undang-undang ini wajib bagi Islam. Mengizinkan umat Islam melaksanakan apa yang wajib dalam agama mereka sudah pasti selaras dengan Perlembagaan Negara yang menempatkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan."

"PAS telah berkorban dan merupakan penyumbang terbesar kepada kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu, melalui kekuatan jentera dan ahli-ahlinya. Walaupun dari sudut bilangan kerusi Parlimen PAS mungkin memegang saham yang terkecil tetapi dari sudut bilangan kerusi dewan undangan negeri PAS memiliki saham terbesar berbanding DAP dan PKR iaitu dengan 83 kerusi diikuti DAP 73 dan PKR 40".

Lantas di peringkat ini padan sangatlah bagi Presiden PAS untuk menuntut laluan bagi rakan-rakan untuk mengizinkan PAS melaksanakan program Islamnya yang pada dasarnya sudah pasti akan menguntungkan Pakatan Rakyat, kerana ia sesungguhnya nanti akan menambat hati dan sokongan dari masyarakat Melayu yang rata-rata beragama Islam.

PAS tidak boleh meninggal atau menggugurkan Islam. Besar atau kecil kemenangannya atau tiada kemenangan langsung, Islam akan terus dijunjung atas kepala bahu setiap ahli dan pejuangnya yang istiqamah.

Benarlah sebagaimana tulisan seorang EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz di dalam blognya: "Mengkhianati rakyat hanya berlaku jika PAS meninggalkan Islam. Selagi PAS bergerak dengan Islam, pengkhianatan tak mungkin berlaku walau ditinggal rakyat seluruhnya dan PAS terpaksa menunggu seratus tahun lagi untuk mendapat sokongan rakyat semula."

Semoga atas semangat Pakatan Rakyat ini PAS akan bebas menzahirkan apa yang ia perjuangkan.
read more...

"Tiada sebab untuk saya kembali"

Kesekian kalinya saya didatangi oleh orang perseorangan atau perkumpulan sehingga saat ini meminta dan merayu agar saya kembali ke kampus KUIS sebagai seorang mahasiswa. Saya sendiri pun tidak pasti sudah berapa banyak perkara ini diutarakan kepada saya. Para pemimpin mahasiswa adalah antara yang terlibat dalam usaha ini.

Pembaharuan. Itulah topik perbincangan di antara saya dan mereka. Semua yang menemui saya menjadikan ini sebagai mauduk.

Nyatanya, saya amat maklum dan faham akan apa yang bermain di fikiran mahasiswa kini. Bukan saya tidak peka dan prihatin. Juga bukan saya tidak mahu sambut hasrat dan rayuan mereka.

Perlu diingat, setakat ini saya tidak punya sebab untuk kembali ke arena itu. Sejauh ini, inilah pendirian saya. Akan datang saya tidak tahu. Diulangi, akan datang saya tidak tahu. Cukuplah saya katakan ini sebagai menjawab semua permintaan mereka.

Sebagai imbalannya, saya sudah pun membawa (memujuk) masuk bekas-bekas pemimpin mahasiswa (bekas anggota MPPKUIS).

Tambahan dari itu, saya ingin memaklumkan di sini bahawa selepas ini akan berlaku kemasukan secara pukal nama-nama besar KUIS. Tiga "Tan Sri" akan kembali sebagai mahasiswa pada Oktober ini. Insya-Allah, itu janji saya dan mereka sememangnya telah maklumkan perkara kepada saya selepas beberapa siri perbincangan yang tidak kurang panjang juga.

Mereka punya pandangan yang jelas dan visi terkedepan. Sepak terajang sudah mematangkan mereka.

Maka ini sudah lebih dari memadai. Saya yakin gandingan Orde Lama dan Baru akan mampu mengangkat gerakan mahasiswa di peringkat yang lebih tinggi.
read more...

"Saya masih di sini..."

Hampir semua kenalan maklum bahawa saya ditawarkan oleh Universiti Industri Selangor (UNISEL) sebagai International Department Executive dan saya sepatutnya melaporkan diri dan memulakan tugas saya pada 7 Julai yang lalu.

Saya mengambil ruang yang terbaik ini untuk membuat sedikit penjelasan berkaitan. Sebagai mana yang kita sudah ketahui bahawa kerajaan Negeri Selangor kini sedang melakukan pengstukturan semula ke atas UNISEL (univeriti milik kerajaan Selangor). Semua pengurusan tertingginya dirombak dan digugurkan bagi digantikan dengan individu-individu yang lebih professional dan diyakini.

Oleh yang demikian, sebarang keputusan kini tidak dapat dilakukan kerana hitam putih tidak dapat ditandatangani oleh pihak atasan akibat kekosongan yang berlaku.

Jadi, ini turut memberi kesan kepada keberadaan saya di sana. Tanggal 4 Julai yang lalu saya telah ke Kampus Induk UNISEL di Berjuntai Bestari, Kuala Selangor bagi menghadiri taklimat dan penerangan akan perkembangan yang berlaku dan kesan ditanggung kini.

Saya kira penjelasan ini mampu menjawab kenapa kelibat saya masih di sekitar Bandar Seri Putra dan Bukit Mahkota.

Jelasnya, saya masih di sini dan menunggu pula jawapan bagi permohonan saya untuk bekerja dengan sebuah badan antarabangsa berkaitan pendidikan.
read more...

Tuesday, July 8, 2008

Internet: Antara Pengkhianat dan Penyelamat

Herdikan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi terhadap media yang berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi(ICT) seperti blog, laman perkongsian fail YouTube dan sistem pesanan ringkas (SMS) wajib dipandang berat.

Jelas daripada kenyataan yang dimukahadapankan oleh hampir semua akhbar arus perdana hari ini bahawa Perdana Menteri telah membuat “kerja rumah” atau telah dinasihati oleh pihak-pihak tertentu yang tahu mengenai peranan ICT dalam pembentukan pendapat umum.

Bahasa yang digunakannya boleh dianggap keras dan mengancam. Beliau menggunakan istilah seperti pengkhianatan, perbuatan khianat, pembohongan, “treason” dan “treachery.”

Beliau menuduh pengguna saluran siber ini sebagai tidak menunjuk hormat kepada prinsip-prinsip Rukun Negara.

Katanya segala fitnah dan pembohongan yang disebarkan melalui blogs dan YouTube tidak menyumbang ke arah mewujudkan perasan lega dan keyakinan di kalangan rakyat jelata.

Eloklah kalau Perdana Menteri sendiri kini mengakui secara terbuka di hadapan kakitangan awam mengenai kesan dan implikasi media yang berlandaskan ICT ini terhadap pendapat umum.

Walaupun mungkin ada pihak yang akan melihat kenyataan Abdullah itu sebagai ancaman atau permulaan kepada satu tindakan yang lebih keras, saya melihatnya sebagai sesuatu yang positif.

Kalau pendukung pemerintahan dan jentera mereka mahu mengambil iktibar daripada artikulasi Perdana Menteri itu, mereka akan segera mendalami, memahami dan menangani isu ini.

Pertama, bukan semua blog dan kandungan YouTube berunsur politik. Malah di negara kita, lebih banyak blog berupa blog peribadi yang tidak menyentuh politik.

Kedua, bukan semua blog politik dan kandungan politik YouTube dikendalikan oleh orang politik atau wartawan yang mahir dalam hal ehwal politik.

Dan ketiga, bukan semua blog anti-pemerintah atau dikendalikan oleh pembangkang. Banyak juga blog dimiliki atau dikendalikan oleh ahli politik pemerintah dan penyokong kuatnya.

Mungkin ada blog atau pemblog yang antikerajaan, yang membuat fitnah dan melanggar prinsip-prinsip Rukun Negara. Kalau ini terbukti, tindakan sivil dan jenayah boleh diambil ke atas mereka.

Tetapi pasti ada juga blog yang dikendalikan secara profesional dan rasional walaupun kritikal terhadap pemerintah dan parti pemerintah.

Sedikit sebanyak mereka telah menyumbang ke arah memberi kesedaran dan membantu pemerintah memperbetulkan beberapa kesilapan.

Misalnya, dalam isu penjualan Pantai Holdings Berhad kepada syarikat Singapura, Parkway Holdings Limited. Pada mulanya Perdana Menteri sendiri menafikan di dalam akhbar bahawa ada syarikat tempatan yang jatuh ke tangan asing.

Tetapi, beberapa minggu kemudian beliau mengaku bahawa Pantai Holdings telah jatuh ke tangan asing dan Khazanah Nasional Berhad terpaksa dikerah untuk membeli balik kawalan syarikat itu dengan belanja yang besar.

Begitu juga dalam isu-isu sensasi yang lain seperti pemberian kontrak Petronas di dalam dan luar negara kepada Scomi Berhad dan pembelian aset awam Avenue Capital oleh ECM Libra.

Kalau pemblog boleh disifatkan sebagai tidak menghormati prinsip-prinsip Rukun Negara, pemerintah pun boleh disifatkan demikian di dalam beberapa tindak-tanduknya.

Misalnya, ketika krisis pelantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu di mana peranan Istana telah dipertikaikan.

Lagipun, adalah terlalu mudah (simplistic, convenient) menyalahkan portal berita bebas, blog dan YouTube tanpa mengkaji dan memahami mengapa rakyat jelata memilih dan mempercayai mereka.

Salah satu sebab adalah media massa arus perdana tidak menyiarkan berita dan maklumat yang dianggap tidak memihak kepada pemerintah.

Kalau disiarkan pun, berita dan maklumat itu kerap kali diolah semula agar memihak kepada pemerintah atau sekurang-kurangnya tidak memberi kesan negatif kepada pemerintah.

Sama ada benar atau hanya persepsi semata-mata, ramai orang hari ini melayari Internet untuk mendapatkan maklumat dan bertukar-tukar fikiran daripada mengikuti media massa arus perdana.

Oleh sebab media massa arus perdana begitu berkait rapat dengan pemerintahan, maka kredibilitinya dan kredibiliti pemerintah saling kait-mengait.

Sama ada kandungan media Internet penuh pembohongan, fitnah dan konspirasi seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri, kebenaran mutakhir bergantung kepada proses undang-undang dan kehakiman yang sedang berjalan sekarang.

Kebenaran mutakhir akan muncul dan pihak-pihak yang tertuduh akan mendapat pengadilan yang saksama hanyalah jika proses penyiasatan, penuduhan, pembelaan dan penghakiman dibenarkan berlaku tanpa sebarang gangguan, campur tangan dan ancaman oleh sesiapa pun.
read more...

Monday, July 7, 2008

Pertahan Akhlak Islam Hadapi Saat Serba Getir - Presiden PAS

Berhubung dengan pelbagai fitnah yang tersebar dengan meluas dalam negara kita kebelakangan ini, bagi pihak PAS, saya suka menyeru agar semua kita kembali berpaut kepada ajaran Islam yang sebenar.

Kita menegaskan bahawa fitnah adalah lebih merbahaya daripada membunuh, oleh kerana itu kita tidak boleh menyebarkan sebarang fitnah sewenang-wenangnya. Sesungguhnya Islam meletakkan garis panduan dalam semua perkara tapi malangnya kita sendiri memilih untuk menjauhkan diripada ajaran Islam.

Islam dengan jelas mengajar dan menetapkan hukuman yang berkait dengan memfitnah termasuk fitnah zina dan liwat.

Seseorang tidak boleh menuduh seseorang yang lain dengan dosa itu melainkan mengemukakan empat orang saksi.

Sekiranya tidak ada empat orang saksi, maka orang yang menuduh hendaklah dijatuhkan hukuman hudud dan menjadi fasik, dan beliau tidak boleh menjadi saksi lagi.

Di dalam Islam seorang yang dituduh tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan kesalahnnya ataupun orang itu mengaku sendiri dengan rela diri tanpa paksaan yang ia telah melakukan kesalahan tersebut.

Kita mengharapkan masyarakat Islam supaya memelihara akhlak yang diajar oleh Islam ini dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua pihak. Apa yang mendukacitakan gejala ini berlaku di kalangan pemimpin-pemimpin Melayu yang mengaku beragama Islam.

Oleh itu saya menyeru supaya sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sedemikian rupa hendaklah bertaubat kepada Allah SWT kerana dosa itu termasuk dalam kategori dosa besar yang diberi amaran keras oleh Allah SWT di dalam al Quran dan oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. dan diperingatkan oleh para ulamak di sepanjang zaman.

Saya menyeru ahli-ahli PAS supaya kembali kepada pegangan kita yang termaktub dalam Perlembagaan PAS dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua pihak di saat yang serba mencabar dan meruncing ini.

4 Julai, 2008


YB Tuan Guru Dato' Seri Hj. Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
read more...

Sunday, July 6, 2008

Islam Adalah Penyelesaian

Ekoran dari kemelut fitnah memfitnah dalam politik Malaysia mutakhir ini, hingga akhirnya timbul tuduhan liwat meliwat ke atas DSAI. Maka Mufti Perlis Dr Asri mencadangkan supaya isu yang mengaibkan itu diselesaikan dengan cara mubahalah atau sumpah sekiranya ia tidak dapat diselesaikan secara perundangan dunia.

Katanya lagi, "Kedua-dua pihak (Anwar dan Saiful) hendaklah bersumpah. Kalau tidak puas hati lagi, bermubahalah seperti ini... 'Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya laknat Allah kepada saya' dan hendaklah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi... saya tidak melakukannya."

Selepas bersumpah, kata Asri, kedua-dua pihak dan semua orang kena senyap dan tidak perlu memberikan sebarang ulasan lanjut. Mufti Perak, Datuk Seri Dr Harussani Zakaria pula berpendapat DSAI perlu mengemukakan bukti di mahkamah sekiranya beliau tidak bersalah seperti yang didakwa oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan. Dr Harussani berkata demikian ketika diminta pendapat beliau tentang cadangan mubahalah (bersumpah) yang dicadangkan oleh Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin semalam.

Katanya lagi, "Setiap keterangan yang diberikan perlu dibuktikan. Jika tiada keterangan untuk dijawab, barulah beliau (Anwar) perlu bersumpah.”

DSAI ketika berceramah di Stadium MPPJ Kelana Jaya berkata "Jika mahu saya bersumpah dengan nama Allah, insya-Allah saya akan lakukan,"

Menurutnya, beliau sanggup bersumpah dan dibicarakan di mahkamah syariah terhadap tuduhan liwat terhadapnya, dengan syarat ia mengikut undang-undang syariah sepenuhnya.

"Saya mencabar mereka memberikan bukti-bukti sebelum menuduh dan mengaitkan saya. Saya sedia menerima apa sahaja hukuman jika dibuat mengikut undang-undang yang adil. Saya akan tunduk jika mereka boleh memberikan bukti tuduhan terhadap saya. Jika mahu saya bersumpah dengan nama Allah, insya-Allah saya akan lakukan," tegasnya.

Kita telah mendengar nasihat daripada Mufti. Kita juga telah mendengar kesanggupan DSAI untuk bersumpah. Kita juga telah mendengar cadangan Pemuda UMNO Terengganu supaya Mufti Perlis menjadi orang tengah dalam ”mubahalah”. Begitu juga cadangan Mufti Perlis supaya Tuan Guru Nik Aziz menjadi orang tengah dalam mubahalah ini. Si penuduh Saiful Bukhari juga sanggup untuk bersumpah atau mubahalah sebagaimana dilaporkan oleh mStar online.

Persoalannya sekarang adakah kes tuduhan liwat ini akan dibicarakan (jika pihak polis mendapati ada kes) mengikut hukum syariat Islam sebagaimana yang dimahukan oleh DSAI? Mengikut pengalaman lalu (1998) kes itu tidak akan dibicarakan di Mahkamah Syariah. Justeru kenapa perlu sumpah bersumpah atau mubahalah ini? Apakah selepas kedua2nya bersumpah dan bermubahalah, kes ini akan selesai?

Jika hukum Allah tidak dilaksanakan sepenuhnya di negara ini, selagi itulah ketidakadilan dan penipuan akan berlaku. Hari ini Akuan Bersumpah dibuat esok Akuan Bersumpah yang lain pula dibuat bagi menarik balik Akuan Bersumpah semalam. Apakah ini keadilan?

PM menegaskan negara kita negara Islam tetapi kerajaan tidak meletakkan syariat Allah sebagai undang-undang negara. Undang-undang negara kita tetap berkiblatkan undang-undang barat ciptaan bukan Islam. Maka apakah kita mengira keadilan akan berlaku? Allah Taala telah memberitahu kita bahawa Syariat Islam telah cukup lengkap tetapi kerajaan tetap mencari peraturan dan undang-undang mengikut hawa nafsu manusia.

Firman Allah Taala : "Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar)". (Surah Al-Jaathiyaah: 17)

Bagi saya selagi undang-undang dan peraturan syraiat Islam tidak berjalan dimuka bumi Malaysia ini, selagi itulah keadilan tidak berlaku. Justeru, Pakatan Rakyat perlu berusaha melaksanakan syariat Islam. DSAI perlu bersama-sama PAS memperjuangkan perkara ini. Beri penerangan terperinci kepada rakan-rakan dalam PR terutama DAP tentang Islam. Moga akhirnya kehendak DSAI supaya kes tuduhan liwat ke atas beliau dibicarakan mengikut syariat Islam akan tercapai. Tiada keadilan melainkan dalam Islam.
read more...