photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Sunday, June 29, 2008

Melihat Harta dan Takhta sebagai Amanah

Suasana Kota Makkah semasa Rasulullah s.a.w diutuskan, dipenuhi dengan persaingan antara suku atau kaum. Sirah menceritakan, Bani Sahm ketika itu bersaing dengan Bani Manaf datang memperebutkan harta dan takhta. Sehinggakan mereka datang ke kuburan untuk menghitung dan menunjukkan jumlah anggota keluarga mereka yang telah meninggal. Maka turunlah surah at-Takatsur,

“Bermegah-megahan telah melalaikan kamu sampai kamu masuk dalam kubur.” ( at-Takatsur:1 )

Ramai ahli tafsir menjelaskan, persaingan yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah persaingan dalam memperbanyakkan harta dan takhta. Persaingan yang dapat difahami daripada perkataan at-takatsur itu menunjukkan kepada persaingan antara dua kumpulan atau lebih tanpa menghiraukan hukum dan nilai-nilai agama.

Ini bukanlah satu persaingan yang sihat dan baik. Persaingan seperti inilah yang dikecam oleh agama kerana ianya melalai dan melekakan mereka dengan urusan lain yang sepatutnya ditumpukan. Kalau tidak urusan ummah lintang-pukang dibiarkannya.

Ibarat suatu permainan, persaingan dalam merebut harta dan takhta tersebut tentunya sukar berlaku dalam suasana yang jujur dan telus, ini kerana mereka yang terlibat dengan persaingan seperti ini dikhuatiri telah menghidap penyakit lalai dan leka. Malangnya, ramai di kalangan mereka yang tidak menyedari kelalaian itu. Masih sibuk merebutkan harta yang bukan milik dan mempertahan serta mengumpulkan takhta untuk kuasa. Kecuali selepas mereka meninggal dunia atau dibaringkan di liang lahat.

Kata Saidina Ali Abi Talib, “ Manusia itu makhluk yang ganjil. Semasa hidup, mereka tidur (lalai), manakala selepas mati, mereka justeru bangun (sedar).”

Kita sedia maklum harta dan takhta sememangnya digemari manusia dan menjadi simbol kemegahan dan kehormatan dunia. Sebab itu menurut Imam al-Ghazali, kedua-duanya digemari, sebab manusia menyangka dengan kedua-duanya, semua cita-cita, impian dan harapan dapat dipenuhi dengan mudah dan segera. Inilah puncanya kenapa harta dan takhta direbut sepanjang waktu.

Dalam al-Quran pun ada menyebut, kebiasaan bagi orang kafir adalah menunjukkan harta dan kuasa yang dimiliki untuk membangga diri dan merendah-rendahkan orang yang beriman. Kata mereka,

“Hartaku lebih banyak daripada harta mereka, dan pengikut-pengikutku (pengaruh dan pangkatku) lebih kuat pula.” (al-Kahfi : 34)

Cuba penulis simpulkan di sini, dapatlah kita fahami mengapa persaingan dalam memperebut harta dan takhta tidak pernah berakhir. Dulu, kini, selamanya.

Menariknya, Rasulullah s.a.w memberikan satu tamsilan yang tepat dalam hal ini. Sabda baginda,

“Kalau seseorang memiliki dua lembah yang penuh dengan emas, maka pasti ia mengharapkan lembah yang ketiga. Tidak ada yang dapat memenuhi rongga manusia, kecuali tanah (kematian).”

Allah s.w.t mengingatkan umat Islam agar tidak terpedaya oleh persaingan yang membuatkan mereka lalai dan leka kepada Yang Maha Esa. Firman-Nya,

“Katakanlah: Apa yang ada di sisi Allah lebih baik daripada permainan dan perniagaan, dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki” (al-Jumu’ah : 11).

Semoga kita tergolong di kalangan mereka yang amanah apabila memperolehi nikmat harta dan takhta kerana kedua-duanya adalah pinjaman sementara yang akan kita tinggalkan pabila sampai waktunya.
read more...

KUIS: Persatuan Anak Negeri Pincang

”GEMPITA, IKATAN, dan PRISMA akan gagal pada malam ini dalam mempamerkan wajah mereka. Nilai sendiri nanti”

Demikianlah SMS yang penulis hantar kepada beberapa orang rakan penulis termasuk seorang anggota MPMKUIS pada malam penutup Ekstravaganza baru-baru ini. Mereka yang menerima SMS ini semuanya tertanya-tanya kenapa penulis kata begitu.

Kewujudan persatuan anak negeri di IPT memang menjadi lumrah. Di UIAM, UKM, UM, UMP, dan lain-lain termasuklah KUIS. Cuma yang berbeza sedikit ialah di KUIS, persatuan anak negeri tidak berdiri sendirian tetapi di atas nama beberapa zon atau wilayah seperti Pantai Timur, Borneo, Utara, Selatan dan Pantai Barat. Ini kerana kita tidak mempunyai jumlah mahasiswa yang melebihi 10 000. Maka kaedah yang terbaik ialah berasaskan gabungan.

Persatuan Mahasiswa Pantai Timur (IKATAN), Gagasan Mahasiswa Zon Tengah (GEMPITA), Persatuan Mahasiswa Islam Borneo (PERMIB), Persatuan Mahasiswa Islam Zon Utara (PERMATA) dan Persatuan Mahasiswa Islam Zon Selatan (PRISMA) adalah persatuan-persatuan anak negeri yang terdapat di KUIS.

IKATAN dengan Terengganu, Pahang, Kelantan dan Thailandnya. PRISMA pula dengan Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Singapura. PERMATA dengan Kedah, Pulau Pinang dan Perlisnya. Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Putrajaya pula di bawah GEMPITA. Negeri-negeri Malaysia Timur iaitu Sabah, Sarawak, Labuan dan Brunei Darussalam dinaungi PERMIB.

Oleh itu, di sinilah membuatkan peranan pemimpin persatuan anak negeri tampak nyata bagi mengimbangi keahlian yang tidak seimbang antara anak-anak negeri yang dipayungi masing-masing dan bagaimana untuk mempamerkan wajah persatuan masing-masing dalam erti kata yang sebenar.

Penulis ambil contoh PERMIB, anak jati Sabahlah yang paling ramai menjadi ahlinya diikuti Sarawak. Keanggotaan anak Brunei dan Labuan pula kadang-kadang tiada langsung. Jelasnya, keanggotaan PERMIB tidak seimbang.

Contoh lain pula, IKATAN. Kita maklum majoriti keanggotaannya ialah anak-anak Kelantan (memang menjadi adat turun-temurun, kebiasaan anak Kelantan berkelana di negeri orang menimba ilmu). Anak Pahang, Terengganu dan Thailand hanyalah golongan minoriti.

Apa yang ingin penulis tekankan di sini ialah wajah sebenar persatuan anak-anak negeri sememangnya gagal dipamerkan. Yang ada sekarang hanyalah ketidakseimbangan.

Lihat sahajalah IKATAN. Penulis yakin jika ditanya kepada masyarakat kampus, pasti mereka akan menjawab IKATAN hanya berwajah Kelantan. Jadi, bagaimana dengan Terengganu, Pahang dan Thailand.

PRISMA begitu juga. Yang jelas kepada kita ialah ke-Johor-an. Kemana perginya wajah Negeri Sembilan, Melaka dan Singapura?

Nah, di sinilah permasalahan yang dihadapi oleh persatuan anak negeri. Hampir kesemuanya berdepan dengan masalah yang sama.

Adakah IKATAN itu persatuan anak negeri Kelantan sahaja? Adakah PRISMA persatuan anak negeri Johor? Adakah negeri-negeri seperti Pahang, Terangganu, Melaka dan seumpamanya tidak memiliki wajah, kesenian dan kebudayaan yang tersendiri?

Sudah lama penulis membangkitkan perkara ini kepada teman-teman. Bahkan penulis (selama 2 tahun sebagai anggota MPPKUIS) telah menggesa beberapa pemimpin persatuan anak negeri bagi memperbetulkan ketidakseimbangan ini. Jika tidak, anak-anak negeri lain (golongan minoriti) akan hilang keyakinan kepada persatuan anak negeri masing. Natijahnya mereka tidak berminat untuk memakmurkan persatuan.

Malaysia ini kaya dengan warisan, seni dan budaya Melayunya terutama Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia). Johor terkenal dengan zapinnya. Negeri Sembilan dengan Adat Perpatih; Minangkabau. Pahang dengan gurindam dan Joget Pahang. Terangganu dengan Ulek Mayang. Joget Lambat sinonim dengan Perak. Begitu juga dengan yang lain-lain negeri.

Jadi, mengapa kita seperti ketandusan seni dan budaya. Atau adakah kerana golongan terbanyak bimbang status quo mereka terhakis. Perkara ini perlu diteliti dan diperbaiki oleh pemimpin mereka.

Pengalaman sebagai Pengerusi Sekretariat Lajnah dan Persatuan MPPKUIS dahulu memang banyak mengajar penulis. Sebagai anak jati Pahang pastinya IKATAN ialah persatuan anak negeri penulis. Tetapi adakah ini bermakna penulis kena melebihkan IKATAN daripada yang lain terutamanya ketika Ekstravaganza. Begitu juga dengan Lajnah Usuluddin dan PMFPPI kerana penulis dari jabatan dan fakulti tersebut. Sekali-kali tidak. Penulis bertanggungjawab kepada seluruh lajnah dan persatuan.

Bertolak dari sinilah, penulis bersuara dengan suara yang mengambil kira semua pihak. Bukan berpuak-puak. Misalnya jika penulis perlu katakan itu bukan hak Lajnah Usuluddin, maka penulis tetap berkeras mengatakannya walaupun penulis sebahagian daripada Lajnah Ususluddin itu sendiri. Double Standard tidak timbul.

Justeru, pemimpin persatuan anak negeri juga perlu bersikap dengan saksama. Sebagai orang mengepalai persatuan, kalau kita anak Kelantan sekalipun, carilah inisiatif bagaimana caranya untuk kita berwajah dengan wajah Pahang, Terengganu dan Thailand. Begitu juga dengan Johor. Zapin bukanlah satu-satunya seni dan budaya PRISMA.

Penulis sangat berharap selepas ini wajah persatuan dari aspek seni dan budaya terutamanya menjadi seimbang serta melambangkan aspirasi sebenar sama ada IKATAN, PERMATA, PRISMA, GEMPITA dan juga PERMIB. Ini akan memperlihatkan yang kita tidak ketandusan budaya bahkan kaya dengan wajah-wajah Malaysia.

Demi kepentingan semua dalam jangka masa panjang, pemimpin-pemimpin persatuan anak negeri perlu ambil tindakan yang progresif dan efektif sesegera yang mungkin.
read more...

Thursday, June 26, 2008

KUIS: Ada Apa Dengan EKSTRAVAGANZA?

“Ekstravaganza”
“Ada persiapan untuk Ekstravaganza”
”Tak join Ekstravaganza ke?”

Fenomena Ekstravaganza kembali memeriahkan kampus KUIS dua tiga minggu kebelakangan ini. Semuanya terarah kepada persiapan menjayakannya. Dari sebesar-besar persatuan sehinggalah sekecil-kecilnya memberi komitmen. Habis sahaja waktu kuliah, mahasiswa terus tumpukan kepada aspek persiapan sama ada di sebelah petang ataupun malam. Suasana KUIS tampak meriah dengan segala macam gerak-geri mahasiswa.

Ada apa dengan Ekstravaganza? Apa matlamat diwujudkannya? Apa kepentingannya kepada masyarakat kampus? Manfaat apa yang boleh diambil?

Persoalan-persoalan di atas jika diajukan kepada mahasiswa mahupun pemimpin persatuan, penulis pasti mereka terdiam. Kebanyakan mereka tidak mengetahui maksud tersirat disebalik Ekstravaganza. Yang mungkin bermain di benak kepala mereka ialah Ekstravaganza merupakan satu keramaian dan persembahan seni budaya mahasiswa. Habis jauh pun, ianya untuk memperkenalkan persatuan dan kepimpinannya kepada masyarakat kampus.

Untuk makluman, kini Ekstravaganza telah pun memasuki usia tiga tahun kewujudannya dan ia seperti menjadi acara tahunan wajib di dalam kalendar KUIS. MPMKUIS adalah badan yang bertanggungjawab merencana dan melaksanakan acara ini.

Ketika penulis diamanahkan sebagai Pengerusi Sekretariat Lajnah dan Persatuan MPPKUIS pada tahun 2006, penulis berhadapan dengan tugas yang sangat berat. Bebannya sangat terasa. Menduduki portfolio yang menjaga sayap strategik MPPKUIS memang satu pengalaman yang sangat mencabar.

Keadaan persatuan mahasiswa pada ketika sangat menyedihkan. Sudahlah hampir kesemuanya ”hidup segan, mati tak mahu”. Sikap bertelagah membuat program, berebut tempat dan waktu menambahkan lagi masalah. Masing-masing ego dengan persatuan masing-masing. Sikap ”aku-aku, engkau-engkau” melebarkan lagi jurang pemisah di antara mereka.

Perpaduan adalah satu perkara yang sudah lama mati. Apabila perpaduan tiada, mewujudkan kerjasama lagilah mustahil. Sampai bila keadaan ini ingin dibiarkan.

Cita-cita dan impian ingin melihat gerakan mahasiswa dijulang dan dipandang tinggi hanyalah angan-angan kosong selagi masalah ini tidak dinoktahkan. Usaha yang konkrit dan berkesan perlu dirangka dan dihidupkan. Individu yang paling tepat untuk melakukannya pada ketika itu tidak lain tidak bukan ialah penulis. Sementelahan, Yang di-Pertua meminta penulis melakukan sesuatu.

Bertolak dari sinilah, penulis menggagaskan idea perpaduan iaitu Ekstravaganza. Penulis mahu semua persatuan bekerja dalam satu pasukan bagi menjayakannya. Kita satukan persatuan-persatuan mahasiswa. Kita himpunkan seluruh mahasiswa di tempat yang satu. Demi satu tujuan. Hanyalah perpaduan.

Gerak kerja pertama dimulakan dengan suasana yang sangat menekan apabila pemimpin-pemimpin persatuan masih sangsi dengan usaha ini. Ego mereka yang melangit sedikit menggusarkan penulis. Namun atas nama perpaduan dan kelestarian gerakan mahasiswa, penulis bulatkan nekad.

Pertemuan demi pertemuan, mesyuarat dan perbincangan serta dialog secara rasmi atau pun tidak dijalankan terus. Pejabat Urusan MPPKUIS, Bilik Gerakan Mahasiswa dan bilik-bilik kuliah menjadi tempat kami bertemu. Kalau tidak berkesempatan kami lanjutkan di qaryah kediaman mahu pun kafetaria.

Alhamdulillah putaran masa menghasilkan perkembangan yang sangat memberangsangkan. Program yang pertama kali dalam sejarah hasil usahasama seluruh persatuan mahasiswa semakin menjadi kenyataan.

Ekstravaganza telah berjaya membawa para pemimpin mahasiswa duduk semeja berbincang dan mengenali hati budi. Kini persatuan sudi menghulurkan tangan dengan dada yang terbuka untuk membuat sebarang kerjasama pihak lain.

Masalah di kalangan pemimpin persatuan boleh dikatakan selesai. Mereka teguh dan bersatu.

Tarikh Ekstravaganza beberapa kali tertangguh atas masalah-masalah teknikal. Kertas kerjanya bukan sahaja tidak ddiberi kelulusan, bahkan langsung tidak disentuh walaupun lebih sebulan dihantar. Ini bermakna tiada langsung peruntukan untuk membiayai Ekstravaganza.

Berbekalkan azam dan tekad, penulis keraskan hati untuk meneruskannya walaupun terpaksa menanggung sendiri keseluruhan belanjawan. ”Sekali melangkah, pantang berundur”.

Ekstravaganza sememangnya batu loncatan ke arah memperkukuhkan persefahaman dan kerjasama semua pihak. Sengaja penulis menamakannya sedemikian. Sesuai dengan maksud Ekstravaganza iaitu sesuatu yang sangat besar; lebih dari biasa. Bukan sahaja kerana kerana ia satu-satunya program yang menghimpunkan seluruh persatuan (37 persatuan mahasiswa), bahkan ia lebih kepada betapa besar maknanya kepada kita untuk mengorak langkah yang agresif dan konkrit demi perpaduan dan kepentingan mahasiswa.

Syukur Ekstavaganza selesai dengan jayanya. Sebelum ini kita tahu mahasiswa liat untuk menghadiri program. Kalau datang pun tidak akan penuh Pusat Konvensyen KUIS (PKK).

Sejarah dicipta. Sentuhan Ekstravaganza memang membawa satu gelombang baru dalam kampus. Kerusi-kerusi di PKK bukan sahaja dipenuhi dengan mahasiswa bahkan kehadiran melimpah sehingga memenuhi ruang atas PKK sama ada petang mahupun malam.

Usaha murni yang dianggap lekeh oleh JPM pada awalnya, memeranjatkan mereka sendiri. Dekan Pembangunan Mahasiswa ketika itu mengakui sendiri, perkara seperti ini belum pernah berlaku di KUIS.

Penulis ingin menegaskan di sini. Perpaduan adalah eleman yang sangat penting kepada mahasiswa. Islam sangat menitikberatkan hal ini. Kerjasama tidak akan wujud jika mahasiswa tiada kesatuan hati. Oleh itu, bagaimana kita ingin menjulang gerakan mahasiswa jika perkara asas ini tidak diperbaiki terlebih dahulu.

Jangan bercakap soal memartabatkan gerakan mahasiswa sekiranya hanya satu pihak sahaja yang menghulur tangan, bersingsing lengan. Semua pihak mengangankan gerakan mahasiswa kita sehebat IPTA. Jadi, mengapa sekadar berangan tanpa berusaha untuk maksud itu. Kita perlu mengisi kekurangan ini walau dengan apa cara sekali pun.


Formula Ekstravaganza sudah diaplikasikan. Ia sudah membuktikan bahawa sesungguhnya persatuan mahasiswa mampu dan boleh bekerjasama dalam mengusun tindakan dan menjayakannya.

Penulis bersyukur matlamat Ekstravaganza itu sendiri berjaya dan menunaskan hasil. Persatuan mahasiswa selepas itu banyak yang melakukan usahasama. Perebutan tarikh dan tempat hampir tiada. Yang ada hanyalah bergabung, bergabung dan bergabung.
read more...

KUIS: Populariti VS Pengaruh

Setiap pemimpin memiliki gaya dan karisma yang tersendiri yang membezakannya daripada yang lain. Berkelanalah dari utara ke selatan, timur ke barat. Inilah fitrah kehidupan.

Bertolak dari sinilah, para pemimpin dipilih dari kalangan mereka yang paling berpengaruh. Maksudnya di sini ialah mereka yang memiliki kelompok pengikut dan penyokong serta para simpati perjuangan mereka. Semua faktor ini mengangkat mereka menjadi public figure dan peribadi yang sangat dikenali.

Yang pastinya populariti dan pengaruh ini dibina dengan mereka menyantuni orang-orang di sekeliling dengan akhlak mulia selain sifat kepimpinan yang menonjolkan siapa sebenarnya mereka ini.

Lihat saja pimpinan-pimpinan kita sebelum ini antaranya Halim Abu Bakar, Fairuz, Ramadhan, Iskandar dan ramai lagi. Mereka telah membuktikannya.

Pada penulisan penulis sebelum ini, ada pembaca yang mempersoalkan kenapa pemimpin mahasiswa dilantik dari kalangan peribadi-peribadi yang popular, sedangkan kedapatan mereka yang mempunyai daya kepimpinan tetapi kerana tidak popular, maka mereka tidak diberikan ruang dan peluang.

Bagi merungkai perkara ini, kita perlu tahu membezakan antara popular dan pengaruh. Sekilas mencongak mungkin sama, namun andai diteliti nyata berbeza sekali.

Sebelum itu, penulis ingin membawa contoh lain sebelum kita mendalami perbincangan ini. Percaya dan yakin. Cuma kita fahami analogi ini.

”Ramai para penonton hadir menyaksikan pertunjukan sarkas di Genting Highland. Seorang pendemonstrasi menunjukkan kehandalannya. Sebiji epal diletakkan di atas kepala rakan sedemonstrasinya. Kemudian dia melontarkan pisau itu tepat mengenai sasarannya iaitu epal tadi. Dia terus menunjukkan kehandalannya berkali-kali tanpa sedikitpun tersasar. Penonton percaya bahawa sememangnya pendemonstrasi tadi seorang yang cekap dan handal. Tercengang dibuatnya.

Kemudian pendemonstrasi itu meminta sukarela dari kalangan penonton untuk dia lakukan perkara yang sama seperti tadi. Semua tersenyap. Tiada seorang pun yang berani tampil merelakan diri”.

Nah, inilah bezanya antara percaya dan yakin. Percaya sahaja belum tentu seseorang itu memiliki keyakinan. Ini kerana ia memang sekadar itu. Tidak lebih dan tidak kurang.

Berlainan dengan yakin. Apabila seseorang itu yakin sesungguhnya percaya terlebih dahulu mengisi hatinya. Bukanlah dinamakan yakin sekiranya percaya tiada. Namun percaya sahaja belum tentu disusuli dengan yakin.

Seperti analogi di atas tadi. Penonton memang maklum akan kehandalan pendemonstrasi tetapi mengapa mereka tidak berani menampilkan diri untuk menjadi subjek. Tidak lain tidak bukan, mereka tidak yakin. Hanya percaya, tidak lebih dari itu.

Berbalik kepada perbincangan kita, skopnya hampir sama sahaja. Populariti hanyalah kemasyhuran dan dikenali ramai. Tiada apa-apa pun dengan populariti. Cuma terkenal dan menjadi perhatian ramai.

Tetapi adakah ini bermaksud dia orang yang berpengaruh. Tidak sama sekali. Menjadi perhatian, buah mulut ramai dan seumpamanya bukanlah membawa erti yang dia orang yang berpengaruh.

Kita ambil contoh Mawi atau Dafi. Semua maklum mereka ini adalah orang yang sangat dikenali dan menjadi perhatian masyarakat. Tapi jika diletakkan mereka ini sebagai salah seorang calon pilihanraya, penulis mengira masyarakat tidak akan memberikan tempat buat mereka.

Berlainan pula dengan pengaruh. Fitrah individu yang berpengaruh memang terkenal dan menjadi public figure dalam sesebuah masyarakat. Mereka mempunyai kelebihan dan daya tarikan yang tersendiri terutamanya dalam aspek kepimpinan.

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Tun Abdul Razak Hussein, Anwar Ibrahim, Dato’ Fadzil Nor, Tun Dr Mahathir dan ramai lagi. Hatta Khairy Jamaluddin itu pun terkenal. Inilah dinamakan pengaruh.

Populariti sahaja tidak membuahkan pengaruh. Ingatlah, semakin kuat pengaruh seseorang itu, semakin meluaslah populariti diraihnya. Bukan kerana diminta begitu tetapi menang itulah adatnya.
read more...

KUIS: Pengalaman Yang Membezakan Mereka

Penulisan sebelum ini telah menegaskan bahawa ramai pemerhati yang melahirkan kebimbangan mereka apabila KUIS berdepan dengan masalah ketandusan kepimpinan dan kepemimpinan yang kental dan berwibawa bagi menerajui MPMKUIS untuk jangka masa terdekat.

Ini bukanlah bermaksud tiada peribadi yang kuat untuk menduduki kabinet MPMKUIS bahkan ramai. Tetapi untuk menjadi penerajui atau lebih tepat lagi bagi memikul amanah sebagai Presiden adalah pokok perbincangannya.

Kita seharusnya faham dan jelas tentang perkara ini. Menggalas tanggungjawab sebagai Presiden jauh beza dan bebannya daripada pengerusi sekretariat MPMKUIS. Ia memerlukan kemampuan dan kekuatan yang lebih daripada biasa. Oleh kerana itulah, para pemerhati dan warga kampus sudah membayangkan perkara ini.

Penulis akui, memang ramai individu-individu di kalangan pelapis yang memiliki daya kepimpinan. Namun kita memerlukan lebih daripada itu. Kewibawaan, karismatik, kredibiliti, kekentalan dan seumpamanya hanyalah beberapa juzuk daripadanya.

Seakan sudah menjadi tradisi sejak diadakan pilihanraya kampus 10 tahun dahulu, mereka yang diberi kepercayaan bagi menduduki kerusi Yang di-Pertua atau Presiden ialah mereka yang telah membarisi kabinet MPMKUIS sebelumnya.

Contohnya, Sdr. Ramadhan Abas. Sebelum menjadi Yang di-Pertua MPPKUIS ke-5 pada sesi 2002/2003, beliau ialah Pengerusi Sekretariat Dakwah dan Kerohanian MPPKUIS. Yang di-Pertua ke-8, Sdr. Mohd Izad Abd Aziz ialah Pengerusi Sekretariat Dakwah dan Pembangunan Insan dalam kabinet YDP Nazaruddin Mohd Nasir. Begitu juga dengan Presiden Mohd Rasyidi Ali. Beliau sebelum itu ialah Setiausaha Agong MPPKUIS.

Maka dapatlah kita lihat, seolah-olah menjadi pra-syarat kepada bakal Presiden untuk mempunyai pengalaman selama setahun dalam kabinet MPMKUIS. Tidak keterlaluan jika kita simpulkan pengalama ialah antara kriteria utama bakal Presiden.

Persoalannya di sini, kenapa perlu begitu? Adakah mereka yang baru terjun ke arena politik kampus tidak punya ruang untuk menerajui MPMKUIS? Mengapa begitu?

Kita mesti berpijak di bumi yang nyata. Hakikat yang tidak dapat kita tolak, pengalaman adalah sangat mempengaruhi gerak kerja dan tindakan seserang itu. Hatta di alam pekerjaan pun, pengalaman menjadi keutamaan dalam pengambilan pekerja bagi sesebuah syarikat.

Orang yang biasa meneroka hutan berbeza sangat dengan yang baru pertama kali menjejakkan kaki mereka. Justeru, untuk menjadi pemandu pelancong merentas hutan dan mendaki gunung kita disediakan dengan mereka yang sangat berpengalaman.

Begitulah halnya dengan soal kepimpinan yang penulis bicarakan ini.
read more...

Rakyat "menangguk di air keruh"?

Apabila harga bahan bakar dinaikkan, peniaga-peniaga berduyun-duyun dan berlumba-lumba menaikkan harga barang masing-masing. Tidak mustahil kedapatan sesetengah pihak yang mengambil peluang menaikkan harga barang niaga mereka.

Sejak dari itu kita dapati banyak kenyataan-kenyataan media menggesa rakyat tidak menaikkan harga barangan sesuka hati bahkan ada pemimpin-pemimpin kerajaan menyifatkan rakyat sebagai ”menanggung di air yang keruh”.

Hakikat yang harus diakui ialah, semua pihak cukup terkesan dengan kenaikan harga bahan bakar saat ini. Apatahlagi kenaikan ini adalah yang tertinggi dalam sejarah negara. Persatuan pekebun, penjaja, peniaga dan pengusaha restoran kini tidak dapat mengelak daripada kebaikan harga barangan keperluan di pasaran jika haraga bahan bakar terus melonjak. Syarikat pengangkutan awam seperti bas dan teksi juga turut dihambat persoalan yang sama. Subsidi melalui flit card seperti yang diuar-uarkan kerajaan bukan semuanya yang dapat.

Mereka mendakwa tidak mempunyai pilihan kerana terpaksa menanggung peningkatan harga bahan penyelenggaraan pertanian, pemprosesan makanan, barang dapur serta yang utamanya harga bahan api untuk pengangkutan yang telah meningkat sebanyak 60-100 peratus.

Oleh itu, dirasakan tidak wajar sama sekali jika ada pihak yang menuduh rakyat sebagai ”menangguk di air yang keruh”. Walaupun tidak boleh dinafikan ada pihak yang berbuat demikian, tetapi bilangan mereka sangat kecil.

Sebenarnya kerajaan dan syarikat swastalah yang paling banyak ”menangguk di air yang keruh”. Inilah kenyataan yang harus disedari oleh semua.

Pertama, melalui Petronas, kerajaan masih mampu untuk mempertahan subsidi harga bahan bakar untuk rakyat sebagaimana kenyataan YB Dato’ Mustapha Mohamed (Ogos 2005, ketika itu beliau adalah Menteri JPM): ”Sebenarnya sumbangan Petronas kepada hasil negara adalah mencukupi untuk membiayai sepenuhnya subsidi keluaran petroleum.” Sila rujuk Utusan Malaysia, 10 Ogos 2005.

Kedua, sumber-sumber kerajaan yang lain seperti kepelbagaian cukai sudah mencukupi untuk projek-projek pembangunan produktif rakyat.

Ketiga, bertitik tolak daripada sistem ekonomi kapitalis yang mementingkan keuntungan syarikat-syarikat berbanding rakyat dilihat sebagai faktor utama kenapa subsidi ditarik daripada kantung rakyat dan disalurkan untuk modal-modal syarikat ini membuat lebih banyak keuntungan atas nama pembangunan.

Maka berdasarkan fakta-fakta yang disertakan ini, tidak melampau jika kerajaan disifatkan sebagai ”menangguk di air yang keruh” selagi mana kerajaan tidak menjelas secara terperinci kegunaan RM17 bilion duit subsidi rakyat dan kegunaan sebenar pendapatan tetap kerajaan seperti hasil balak negara, kepelbagaian cukai yang dilihat cukup untuk memakmurkan negara.

Jika tidak, lihat sahaja apa yang berlaku dengan RM4.4 bilion yang diambil dari subsidi itu setelah kenaikan sebanyak RM0.30 pada tahun 2006. Alasannya untuk menambah baik sistem pengangkutan awam negara. Timbul kemusykilan lagi. Adakah sistem pengangkutan awai m negara pada hari telah semakin baik? Benarkan begitu? Bagaimana halnya dengan Sabah dan Sarawak yang juga terpaksa membayar membayar dengan harga yang sama?

Apa yang lebih menghairankan dalam isu ini ialah sikap double standard kerajaan antara syarikat-syarikat gergasi berbanding rakyat. Jika syarikat-syarikat gergasi menaikkan harga barangan atau perkhidmatan mereka, tidak pula kerajaan cop mereka ”menangguk di air yang keruh”. Bahkan kerajaan pula ”yang lebih kuah dari sudu” dalam mempertahankan tindakan syarikat-syarikat gergasi ini.

Kita ambil satu contoh, kita sudah pun dengar apabila kerajaan sendiri yang mengumumkan pengstrukturan semula kadar tarif elektrik bermula Julai ini. Wah, kerajaan pula yang jadi tukang umum kepada TNB.

Jika kerajaan ”menangguk di air yang keruh” dengan mengambil kesempatan dengan kenaikan harga bahan bakar itu di pasaran dunia, maka tidak hairanlah jika terdapat juga di kalangan rakyat yang mengambil kesempatan yang sama.

Persoalannya ialah, kenapa harga elektrik boleh dinaikkan berikutan kenaikan harga bahan bakar? Adakah apabila rakyat menaikkan harga barang perniagaan atau perkhidmatan mereka dianggap sebagai ”menangguk di air yang keruh” dan syarikat swasta yang menaikkan kadar tarif elektrik tidak dianggap demikian? Kenapa syarikat lebih diutamakan daripada rakyat? Inilah kesan akibat meminggirkan ekonomi Islam lalu mengamalkan dasar ekonomi kapitalis dalam mengurustadbir negara.

Apa yang menyedikan ialah, kedapatan pemimpin-pemimpin kerajaan yang menuding jari kepada rakyat dengan menyifatkan mereka sebagai ”suka bergantung kepada subsidi”, seolah-olah subsidi adalah hak mjutlak kerajaan dan rakyat bersifat ”peminta sedekah”.

Walhal, golongan yang paling banyak bergantung kepada subsidi kerajaan bukanlah rakyat biasa. Bahkan hakikatnya, pemimpin-pemimpin kerajaanlah yang ”mentekedarah” subsidi negara pada kadar luar biasa. Contohnya, elaun-elaun dan bantuan-bantuan khas Perdana Menteri sahaja melebihi 17 jenis. Bahkan percutian sama ada di dalam atau luar negara (biasanya luar negara) bersama kaum keluarga dan sanak-saudara ditanggung beres.

Duit siapa? Hakikatnya adalah subsidi yang menggunakan wang rakyat. Sebenarnya kalau pun subsidi-subsidi tersebut ditarik balik, mereka masih mampu hidup mewah berbanding rakyat biasa.

Kemudia diikuti oleh syarikat-syarikat sebagai golongan kedua yang paling banyak bergantung kepada subsidi kerajaan dalam bentuk intensif yang diterima.

Peliknya, pemimpin-pemimpin dan syarikat-syarikat tidak dikempen dan digesa supaya tidak bergantung kepada subsidi-subsidi kerajaan, sedangkan rakyat dipaksa supaya tidak bergantung kepada subsidi yang sememangnya wang rakyat?
read more...

Monday, June 23, 2008

Demi Kelangsungan BN, Undurlah Abdullah

Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu mendesak Pengerusinya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Perdana Menteri melepaskan jawatannya.

Pemimpin-peminpin BN sepatutnya mengambil langkah drastik mempertahankan masa depan kerajaan BN memandangkan pucuk pimpinan yang ada sekarang telah gagal berbuat demikian. Untuk tujuan itu, langkah paling mudah adalah meminta Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Barisan Nasional mengundurkan diri dengan serta merta.

Pengunduran Abdullah akan membolehkan perubahan teraju di dalam Barisan Nasional dan seterusnya perlantikan Perdana Menteri yang baru. Hanya dengan pertukaran kepimpinan sahaja akan berkemungkinan membantu wujudnya keyakinan terhadap usaha pengukuhan semula BN.

Pilihan raya ke-12 yang lalu telah menyaksikan bagaimana parti-parti komponen BN di Semenanjung Malaysia mengalami keputusan yang paling buruk di dalam sejarah gabungan parti itu. Akibat kejadian itu, parti komponen itu telah melakukan post-mortem dan juga mendengar keluhan akar umbinya.

Hasilnya tidak dapat dinafikan, faktor utama yang menyebabkan prestasi buruk ini adalah berhubung rapat dengan penolakan kepimpinan Abdullah oleh ahli-ahli dan penyokong-penyokong serta pengundi-pengundi yang sebelum ini setia dengan Barisan Nasional dan Abdullah sendiri mengaku faktor itu.

Oleh yang demikian, mekanisme perubahan dalaman boleh untuk sementara waktu meredakan masalah Barisan Nasional dan kekeliruan ahli-ahli parti komponen terhadap masa depan Barisan Nasional.

Sidang tergempar BN baru-baru ini tanpa keputusan konkrit juga memperkuatkan lagi tanggapan bahawa Barisan Nasional tidak lagi mempunyai kekuatan untuk mendisiplinkan anggotanya dan berdepan dengan pilihan yang terhad dalam mempertahankan survivalnya.

Mempertimbangkan perletakkan jawatan Abdullah adalah yang sepatutnya di dalam mesyuarat kelmarin dan bukannya bermesyuarat tetapi hasilnya hanyalah pengumuman satu keputusan yang longgar.

BN akan hanya mampu membilang hari jika perkara sepenting ini dibiarkan saja. Yang pastinya, Tun Dr Mahathir sudah pun menunjukkan jalan penyelesaiannya.
read more...

Melayu Hancurkan Melayu

Kualiti kepimpinan Melayu di bidang politik, budayawan, korporat dan intelektual terus diperkatakan apabila unsur-unsur rasuah, penyelewengan, konspirasi, berebut jawatan dan mengejar jawatan terus menjadi amalan.

Tabiat buruk itu tidak ke mana sebaliknya merugikan masa depan orang Melayu sendiri apabila ada di kalangan orang atasan tetap memperagakannya tanpa rasa sebarang kebimbangan. Akibat terlalu banyak retorik terutamanya politik boleh menyaksikan kepimpinan yang tidak menguntungkan bangsa.

Tabiat buruk sesetengah kepimpinan Melayu di segala bidang seperti politik, budayawan, korporat atau entelektual merugikan bangsa Melayu sendiri. Rakyat yang terbawa-bawa dengan perwatakan kepimpinan akan mengambil tabiat itu sebagai satu idola.

Di kalangan orang politik pula mereka lebih gemar mencari puncak perjawatan dengan gaya kepimpinan beraspirasi tinggi sedangkan banyak isu melibatkan nasib Melayu nyata terbiar sehingga ada yang datang dalam rangka lawatan lima tahun sekali.

Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dilihat ingin mengembalikan peranan Badan Pencegah Rasuah (BPR) setelah didesak oleh rakyat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) masih berada 'di awan-awangan' pelaksanaannya.

Jika beliau sebagai orang atasan, Abdullah patut merealisasikan apa yang dicadangkan ketika baru-baru memegang tampok pemerintahan. Rakyat mula mempertikaikan slogan 'bekerja dengan saya' bukan 'bekerja untuk saya' akhirnya terbongkar apabila terdapat keluarganya sendiri terlibat dengan percaturan politik sempit.

Kita mendapati kepimpinan Melayu hilang tumpuan untuk membaiki nasib bangsa malahan ada antaranya sanggup berada dalam kelompok elit demi mempertahankan status quo.

Justeru, penulis mengajak pengerak bangsa akur kepada hakikat bangunnya bangsa terletak kepada kualiti dan mutu kepimpinan yang ditampilkan. Kesejatian kepimpinan masih pudar dan tidak terang lagi. Bangsa Melayu kena cari izzah berteraskan Islam barulah kemelut yang meruncing dapat diatasi.
Seandainya ini tidak diberikan perhatian tidak mustahil nasib bangsa Melayu terus terhimpit, tersepit dan seterusnya menjadi bagaikan 'nyawa-nyawa ikan' sahaja.
read more...

Wednesday, June 18, 2008

KUIS: Tanggal 16 Ubah Lanskap Politik Kampus


Seluruh rakyat Malaysia diuar-uarkan oleh Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Umum PKR, bahawa tanggal 16 September tahun ini akan melakar satu sejarah baru dalam arena politik negara. Tidak lain tidak bukan iaitu Pakatan Rakyat akan mengambil alih tampuk pemerintahan negara dari tangan Barisan Nasional.

Hari demi hari, semakin hebat rakyat memperkatakan berkenaan tarikh keramat yang dinanti-nanti ini. Namun pada penulis, para pengkagum-pengkagum Anwar Ibrahim janganlah terlalu meletakkan harapan yang tinggi. Takut-takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Tetapi tumpuan penulisan ini bukanlah untuk menyuburbiakkan isu ini. Cukuplah ramai di luar sana yang membicarakannya. Tak perlulah penyertaan yang baru.

Baik kita perlu ke satu dimensi lain yang tidak kurang menarik untuk kita kupas bersama. Penulis ingin mengajak rakan-rakan sekalian meneropong. Masih dengan isu politik. Bukan politik kepartian atau kenegaraan tetapi politik kampus.

Sirih pulang ke gagang

Tanggal 16 Jun yang lalu menjadi tarikh keramat kepada perubahan baru dalam lanskap politik kampus Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dengan kemasukan semula nama-nama besar dalam arena kampus sebagai mahasiswa sarjana muda.

Sebelum ini ramai penganalisis-penganalisis yang pastinya peka dan prihatin dalam soal kepemimpinan dan kepimpinan mahasiswa melahirkan kebimbangan apabila KUIS menghadapi masalah ketandusan kepimpinan yang kental dan berwibawa untuk menerajui Majlis Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (MPMKUIS).

Peribadi-peribadi yang memiliki kekuatan sebagai pemimpin besar mahasiswa tiada. Setidak-tidaknya pun hampir tiada. Satu dua kerat sahaja.

Alhamdulillah. Kini semua pihak menarik nafas lega dengan perkembangan yang berlaku. 16 Jun sememangnya akan dikenang sebagai harapan baru buat mahasiswa.

Bekas Yang di-Pertua MPPKUIS sesi 2005/2006, Sdr. Mohd Izad Abd Aziz dan Bekas Pengerusi Sekretariat Induksi dan Taaruf MPPKUIS sesi 2006/2007 kini sudah bergelar penuntut sarjana muda di KUIS. Bekas Pengerusi ALAM, Sdr Masdar R. Arifudin juga mengikut jejak langkah mereka.

Masing-masing menuntut dalam Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Insan dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi.

Ramai yang datang menemui penulis melahirkan rasa gembira dan syukur. Tidak kurang juga SMS yang dihantar. Kesimpulannya hanya satu. Mereka menyuarakan satu harapan baru agar dengan kemasukan semula nama-nama besar ini akan memberi nafas baru dalam lanskap politik kampus hari ini.

Fahnan President in waiting?

5 bulan dahulu ketika mana Presiden Rasyidi selesai membentuk kabinetnya, penulis meramalkan Sdr. Mohd Fahnan Abdul Wahab akan menjadi Presiden MPMKUIS ke-11. Ada bekas-bekas pemimpin mahasiswa yang melihat kerusi no.1 itu bakal diduduki oleh Sdr. Nik Mohd Dhiya’ Urrahman. Namun congakan ini disangkal.

Ini berdasarkan kelebihan yang Fahnan miliki selain daripada kedudukan stategik dan keutamaan portfolio beliau di dalam hierarki kabinet Presiden Rasyidi. Secara tradisinya faktor-faktor ini sangat membantu.

Pemuda Sabah ini sememangnya punya kekuatan dan kelebihan yang tersendiri. Kepetahan berkata-kata, PR dan keterampilan diri beliau menjadi aset utama.

Maka ramalan ini semakin diterima dan popular di kalangan para pemerhati termasuklah Mantan Timbalan Yang di-Pertua MPPKUIS, Sdr Mohd Atiq Hashim.

Cuma yang tinggal, Fahnan perlu memperbaiki beberapan kekurangan dan kelemahan agar beliau bisa diterima oleh segenap lapisan masyarakat kampus universiti Islam ini. Nilai moderat mesti digabungjalinkan dengan bijak. Bagaimana? Itu terserah kepada yang empunya diri.

Nasrul Izad mula mengintai peluang

Nama dan kelibat Nasrul Izad Mohd Isa bukanlah asing di kalangan masyarakat kampus. Apatahlagi setahun yang lalu beliau adalah Pengarah Eksekutif Induksi dan Taaruf.
Bukan sahaja aktif dengan aktiviti-aktiviti kemahasiswaan, bahkan beliau juga banyak terlibat dengan program-program kemasyarakatan di luar kampus.

Oleh yang demikian, apabila kita berbicara soal calon kerusi Presiden MPMKUIS yang akan datang, mata dan tumpuan kita secara automatik akan tertumpu kepada Nasrul Izad. Tidak rasanya jika menyertakan pemuda kelahiran Bandar Diraja Klang ini sebagai pesaing utama.
Mengenali dengan lebih dekat dengan bekas pemimpin mahasiswa ini, akan membuatkan kita kagum dengan cara dan kepimpinan beliau.

Nasrul Izad merupakan seorang yang sangat teliti dengan setiap gerak kerja dan perlaksanaannya. Hatta dalam perkara yang kecil dan remeh-temeh juga turut menjadi perhatian beliau. Baginya, kesempurnaan dalam setiap cakupan aspek adalah keutamaan.
Sentiasa tampil dengan keyakinan diri yang tinggi membuatkan beliau sentiasa terkedepan dari rakan-rakan seperjuangannya.

Kecemerlangan menerajui Sekretariat Induksi dan Taaruf yang lalu pastinya memberikan kredit dan kedudukan yang selesa buat Nasrul Izad.

Izad Aziz mungkin cipta sejarah

Bekas penuntut Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat ini sudah setahun menimba pengalaman di alam pekerjaan sebagai Eksekutif Masjid Al-Azhar. Kini beliau telah pun membuat keputusan untuk kembali ke KUIS bagi menyambung pengajian beliau di dalam Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab.

Izad Aziz yang dikenali oleh warga kampus kerana peranan yang dimainkan oleh beliau selaku Eksekutif Masjid Al-Azhar. Sebuah masjid yang menjadi one stop centre kepada seluruh mahasiswa KUIS. Beliau turut berperanan sebagai imam selain pada waktu-waktu tertentu menyampaikan tazkirah dan khutbah.

Ini menyebabkan beliau disegani oleh semua pihak. Sementelahan beliau adalah bekas Yang di-Pertua MPPKUIS. Tidak keterlaluan jika penulis sifatkan beliau adalah antara orang yang paling berpengaruh di mata mahasiswa.

Penulis sangat mengenali beliau dan hubungan kami sangat rapat. Tambahan penulis pernah bekerja di bawah beliau selama setahun ketika penulis menyandang jawatan Pengerusi Sekretariat Lajnah dan Persatuan MPPKUIS. Pengalaman beliau sebagai bekas Yang di-Pertua dan juga Eksekutif Masjid Al-Azhar meletakkannya jauh meninggalkan nama-nama besar yang lain.

Pada perkiraan penulis, beliau adalah antara tokoh yang paling kuat dan berpengaruh untuk menduduki kerusi no.1 badan tertinggi mahasiswa itu. Beliau punya sentuhan.

Segalanya mungkin

Penilaian kita bukanlah berdasarkan latar belakang pendidikan mereka; Ijazah atau diploma. Tetapi penilaian kita berdasarkan ketokohan dan kewibawaan mereka dalam memimpin masyarakat kampus bagi mendepani cabaran semasa.

Apa-apa pun, sebarang kebarangkalian dan kemungkinan akan berlaku. Cumanya, perkembangan yang berlaku sekarang sangat menarik penulis dan juga masyarakat kampus untuk memerhati dengan penuh minat. Laluan untuk Fahnan kerusi Presiden selepas ini tidak lagi semudah pada jangkaan awal kerana mahasiswa kini mempunyai pilihan lebih daripada satu.

Walau bagaimanapun, masih terlalu awal untuk kita membuat satu kesimpulan. Mungkin jangkaan kita meleset sama sekali. Dan mungkin juga hampir tepat. Atau pun memang seperti yang dijangka.

Yang pastinya, kabinet MPMKUIS akan datang mungkin akan melakar sejarah sebagai kabinet yang paling mantap dan progresif dengan kemasukan kembali bekas pemuka-pemuka badan tertinggi tersebut. Kelebihan dan kepakaran mereka perlu dimanipulasikan sebaik mungkin untuk memperkasa gerakan mahasiswa.

Masa itu akan tiba jua nanti. Kita tunggu dan lihat.
read more...

Monday, June 16, 2008

Cakna Kebersihan: Kita Tahap Mana?

Siapalah yang pengotor ni? Tak belajar ke? Tak nampak ke bakul sampah kat tepi sana? Bodoh membiak-biak!

Mungkin ini adalah sebahagian daripada ungkapan yang terhambur dari mahasiswa yang memiliki kesedaran yang tinggi tentang penjagaan kebersihan.

Sedari kecil sehinggalah saat ini, kita diajar supaya sentiasa menjaga kebersihan dan kawasan sekitar. Selalu juga kita diingatkan dengan pujangga Arab yang berbunyi, ”kebersihan itu sebahagian daripada iman”. Tetapi mengapa sebuah universiti Islam yang 99.95% seperti KUIS ini kebersihannya ditahap bukan sahaja teruk bahkan untuk tahap memuaskan mungkin nasib-nasib.

Tak perlu kita tumpukan pada qaryah kediaman mahasiswa, nanti panjang pula ceritanya. Cukuplah kita fokuskan pada bilik-bilik kuliah dan tutorial. Tidak nampak mutu keimanan mahasiswa. Sesetengahnya teruk sangat-sangat. Beratlah kalau berterusan begini. Silap-silap tahap cakna kebersihan kita ini kalah dengan Universiti Inovatif Lim Kok Wing.

Sudah banyak kali rungutan daripada pensyarah-pensyarah berkenaan hal ini. Bak kata Dr Nur Abdi Gudle, ”saya tidak kisah kalau pelajar nak makan gula-gula di dalam bilik kuliah tapi bungkusannya itu janganlah dibuang merata-rata. Tinggalkan di dalam kelas. Ini bukan akhlak Islam. Apatahlagi kamu adalah mahasiswa”. Demikianlah luahan hati seorang pensyarah yang nyata kecewa dengan mutu kebersihan di kalangan mahasiswa universiti.

Maka tindakan yang konkrit harus diambil sesegera mungkin agar cakna kebersihan ini subur di kalangan masyarakat kampus. Jangan ianya menjadi budaya yang membarah di universiti ini.

MPMKUIS mungkin punya perancangan dan strategi yang tersendiri dalam mendepani masalah ini. Sekretariat Alam Sekitar mungkin lebih khusus dan maklum. Semua lapisan masyarakat kampus mesti sama-sama menyelesaikan isu ini. Tampak sahaja kecil. Kalau dibiarkan natijahnya ia satu keaiban buat universiti islam ini.
read more...

Meraba-raba Sejarah Sendiri

Sejarah adalah satu eleman yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Ini adalah cerminan sesebuah peradaban. Juga memperlihatkan jati diri bangsa.

Kita lihat saja kepada tamadun-tamadun utama dunia seperti Tamadun Mesophotamia, Indus, China, Aryan, Yunani, Rom, Turkey dan sebagainya. Mengapa kita masih boleh menatap dan mengetahui kisah-kisah lampau perjalanan tamadun-tamadun ini? Jawapannya tak lain tak bukan ialah kerana mereka mempunyai sistem dokumentasi yang sangat sistematik dan terpelihara.

Bagaimana pula dengan Malaysia? Usahkan nak melihat kesan tinggalan Kerajaan Kedah Tua, Pahang Tua dan Terengganu yang sudah terbentuk sebelum 1300 Masihi, bahkan untuk melihat tinggalan Kesultanan Melayu Melaka pun adalah sesuatu yang hampir tiada. Bukan hanya itu, hikayat Hang Tuah pun sejarawan negara masih tidak mampu membuktikan kesahihannya. Sedangkan ia hanya sekitar 400 tahun yang lampau.

Inilah malangnya apabila bangsa Melayu tidak mempunyai sistem dokumentasi yang sistematik dan terpelihara. Dalam masa tamadun lain punya sejarah mereka yang terperinci walaupun ianya sudah berusia melebihi 3000 tahun, kita masih lagi kabur. Teraba-raba mencari sejarah pusaka bangsa.

Penulis sedih bercampur cemburu dengan peradaban yang lain. Padahal Kerajaan Kesultanan Melayu masyhur serata alam dengan bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca dan bahasa perdagangan dunia (kira macam bahasa Inggeris sekarang).

Kini kita hanya mampu berkata-kata akan kehebatan lampau kita. Untuk membuktikannya adalah sesuatu yang sangat sukar.

Penulis ambil contoh tentang kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Umum mengetahui ianya bermula dari zaman Kesultanan Melayu Melaka ketika pemerintahan sultan pertamanya, Parameswara. Baginda memeluk Islam di tangan pedagang Arab Yaman yang singgah di pelabuhan Melaka yang ketika itu adalah pelabuhan paling utama dan sibuk di dunia. Periksalah di uku-buku teks sejarah yang diajarkan diperingkat rendah, menengah mahupun universiti. Inilah prototaipnya.

Benarkan begitu? Mari kita beralih kepada Batu Bersurat Terengganu. Jelas sekali terpahat di batu itu dalam tulisan Jawi bahawa Islam telah bertapak di Tanah Melayu sekitar 1300 Masihi. Ini bermakna sebelum dari itupun Islam memang sudah berakar umbi di negara ini. Bahkan sistem penulisan Jawi sebagai tulisan bangsa telahpun diguna pakai secara meluas. Kita perlu ingat, untuk menyerap tulisan Arab menjadi tulisan Melayu (Jawi) ia memerlukan satu jangka masa yang sangat lama. Sebagai mana sistem tulisan Rumi mengambil alih sistem tulisan Jawi kini.

Lain pula halnya dengan Kerajaan Pahang Tua. Artifak kapal yang moden ditemui di Sungai Pahang. Hasilnya mengejutkan kita. Para pengkaji mendapati ianya dibina sekitar 1200 Masihi. Ini bermakna kita sudah mempunyai satu peradaban yang hebat dan terbilang. Sekali lagi kita hanya mampu berkata-kata. Untuk lebih dari itu, penulis sendiri tidak tahu bilakah masanya.

Ini belum masuk lagi penemuan tapak kota purba di dasar Tasik Chini yang dijumpai oleh pengkaji UKM.

Hari ini seluruh rakyat Malaysia terkesima dan bersugul dengan terlepasnya Pulau Batu Putih kepada Singapura. Antara kesilapan besar Malaysia ialah sikap tidak acuh dengan pulau tersebut. Namun yang paling memalukan ialah Peguam Negara mengakui bahawa kita kehilangan satu surat yang sangat penting yang mampu mengubah keputusan Mahkamah Antarabangsa itu berhubung pertindihan Pulau Batu Putih. Hilang? Penulis kecewa dengan cara kerja pegawai kanan kerajaan itu dalam hal-hal yang melibatkan kedaulatan negara.

Penulis sengaja membangkitkan perkara ini kerana penulis mendapati kita memang sangat lemah dalam mendokumentasikan peristiwa dan perkara-perkara penting dalam kehidupan.

Tak perlu pergi terlalu jauh, ambil saja contoh-contoh di KUIS yang berlambak. Persatuan-persatuan hari ini hampir semuanya boleh dikatakan tidak memiliki sebarang rekod penubuhan, perjalanan persatuan, kepimpinan pertama sehingga kini, gambar-gambar aktiviti dan lain-lain lagi. Juga tak perlu kita untuk mencari sejarah 10 tahun dahulu, untuk jangka 2 tahun pun belum tentu kita boleh.

Inilah natijah yang terpaksa di telan oleh generasi hari ini dek kerana sikap tidak acuh pemimpin-pemimpin terdahulu berhubung soal dokumentasi.

Bertolak dari keseriusan masalah ini, ketika diamanahkan sebagai Yang di-Pertua MPPKUIS dahulu, penulis menggariskan ”Penghayatan Budaya Kualiti dan Kecekapan Pengorganisasian” sebagai salah satu dari lima dasar yang menjadi teras kerja MPPKUIS sepanjang sesi 2006/2007.

Usaha dipergiatkan dengan membongkar dan meneliti setiap helaian kertas yang terdapat di dalam Pejabat Pentadbiran MPPKUIS. Komputer juga diteliti dalam menjayakan usaha murni ini.

Satu persatu dijumpai untuk difailkan kembali dengan sistemik dan disimpan dengan baik. Tapi yang sedihnya, untuk mengetahui anggota-anggota Kabinet MPPKUIS lepas, rekod yang tersimpan hanya 4 zaman. Itupun hanya carta organisasi iaitu zaman YDP Mohd Izad (2005/2006), YDP Muhammad Nazaruddin (2004/2005), YDP Ramadhan Abas (2002/2003) dan YDP Mohd Fairuz (2001/2002).

Bagaimana dengan zaman-zaman sebelum itu? Sukar untuk penulis kumpulkan kembali. Penulis terfikir, bagaimana kalau generasi 30 tahun akan datang ingin menyusun sejarah MPPKUIS?

Nasib kita akan jadi persis seperti sejarah ketamadunan Melayu. Rekod bukan bermula dari awal tetapi di tengah.

Alhamdulillah, kami berjaya mendokumentsikan seluruh gerak kerja. Dari persuratannya, program-program pengisian dan pembangunan, pengorganisasian dan seumpamanya.

Dokumentasi itu kini boleh ditatap oleh semua mahasiswa sama ada di Pejabat Pentadbiran MPMKUIS, Perpustakaan, Pejabat Jabatan Pembangunan Mahasiswa dan juga Pejabat Dato’ Rektor.

Ayahanda Rektor sangat kagum dengan usaha murni MPPKUIS ini kerana ia memperlihatkan satu pandangan jauh meliputi generasi-generasi mendatang.

Justeru, sikap kita hari ini akan menentukan corak masa depan generasi kita. Maka mahu tidak mahu, kitalah yang harus melakukan perubahan. Bukan orang lain dan bukan menunggu generasi mendatang. Inilah masa terbaik kita melihat kembali apa yang kita sudah sediakan untuk faedah 20 atau 30 tahun ke hadapan.
read more...

Ikan Kerapu Masak Kukus

Ikan Kerapu Masak Kukus, Kangkung Masak Tumis, Ikan pekasam, pucuk betik, sambal belacan dan nanas sebagai pencuci mulut sedia terhidang di atas meja di dapur.

“Wah, dah lama betul aku tak makan yang macam ni”, bisik hati kecilku.

Tanpa menunggu lama aku pun makan tengah hari bersama abah dan emak. Berselera benar makan hari ini. Kena pula makan selepas solat Jumaat. Memang betul-betul lapar. Ditambah lagi sambil berbual-bual dengan emak dan abah. Sesekali ketawa kecil dengan lelucon abah dan cerita emak.

Tambah dan tambah. Itu memang wajib waima perut sudah kenyang. Tetapi sedap dan berselera dengan masakan ’chef’ terbaik dunia, misi diteruskan tanpa sekatan.

Aku memang suka sangat berulamkan pucuk betik. Tapi sebelum itu, pucuk betik hendaklah terlebih dahulu direbus bersama daun senduduk agar rasa pahit itu hilang.

Anak-anak dara di luar sana jangan tak tahu pulak. Susahlah kalau orang dapur tak reti petua-petua masakan. Rajin-rajinlah mengintai dan menolong ibu di dapur. Nanti tidaklah kekok sangat.

Penat mencari sayur di hujung kampung bersama emak terbalas dengan masakan hari ini. Berbaloi memang berbaloi.

Habis saja makan nasi, tangan terus mencapai buah nenas yang sudah siap emak potong-potongkan tadi.

”Manisnya”, ulas aku.

Nenas yang emak beli dari orang Asli Tasik Chini pagi tadi memang benar-benar manis. Menikmati kemanisannya selepas selesai makan nasi memang terasa nikmatnya. Keasyikan kita dibuatnya.

Terdekit dalam hati untuk tinggal lebih lama sebelum pulang ke Selangor. Maka aku pun membatalkan niat untuk tempah tiket pulang pada hari Ahad. Bila tarikh pulang? Itu biar masa yang tentukan.

Aku tersenyum sendiri.

6 JUN 2008
read more...

Meraih Hasil Tanih di Hujung Kampung

”G, bersiap-siap. Kita pergi kilang”, pinta emak.

Ajakan emak ke kilang di sini bukanlah bermaksud seperti kebiasaan pemahaman orang di luar sana. Nun, jauh di hujung kampung sana terdapat sebuah kilang memproses kelapa sawit. Hasil sisa cecair atau separa pepejalnya akan ditempatkan di satu kawasan khas agar ia tidak mencemarkan kawasan sekitar.

Sisa-sisa ini sangat baik untuk pertanian kerana ia menjadi baja yang sangat baik untuk penyuburan. Di atas sisa ini ditumbuhi dengan berjenis pohon-pohon dengan suburnya termasuklah juga sayur-sayuran. Ada yang tumbuh sendiri dan ada juga yang ditanam oleh penduduk kampung.

Dalam jangka masa kewujudan kilang memproses kelapa sawit yang sudah menjangkau hampir 30 tahun, maka semakin banyak ia berjasa kepada penduduk.

Semenjak dari sekolah rendah sehinggalah ke usia ini, aku dan emak sentiasa mencuri masa ke sini bagi meraih hasil tanih yang bukan sahaja membekalkan zat-zat yang diperlukan badan seperti vitamin A, vitamin C, betakarotin, dan se’kapal’ dengannya. Malah yang tidak kurang menariknya, ia adalah percuma.

Pegaga, kangkung, bayam, cendawan, ranti dan pucuk betik adalah antara sayuran yang boleh didapati di sini. Tidak perlu keluarkan duit membelinya di kedai atau di Pekan Sehari. Cuma datang dan petik dengan tangan sendiri. Bayangkan berapa banyak kos yang dapat dikurangkan. Bahkan peluh pun dapat dikeluarkan. Tak payah berjogging sakan. Ini pun sangat baik untuk kesihatan.

Biasanya aku dan emak akan memungut lebih dari keperluan kami sekeluarga. Bukannya tamak tetapi untuk diagihkan kepada jiran-jiran terdekat. Iyalah, benda percuma tak salah kira ringankan tangan untuk disedekahkan.

Emak saudara aku adalah antara yang tidak ketinggalan dalam senarai ’penerima agihan’. Bukan kepalang sukanya Mak Lang bila diberikan sayur-sayuran yang segar-bugar.

” Kalau takde engkau, kempunanlah Mak Lang nak makan semua-semua ni. Abang-abang engkau tu kalau balik, takdenya nak ke kilang carikan sayur”. Itulah yang selalu keluar dari mulut Mak Lang.

Aku bukannya apa. Suka tengok Mak Lang gembira. Siapa kata tanpa duit kita tak dapat sumbangkan sesuatu? Karut semua itu. Bagi aku, dapat melihat kegembiraan terpancar dari muka orang di sekeliling membuatkan kita puas dan turut gembira. Kegembiraan adalah sesuatu yang sangat mahal tetapi kita tidak perlukan benda yang mahal-mahal untuk memilikinya.

Bila cerita bab ke kilang, memang banyak ilmu dan iktibar yang dapat penulis miliki. Mahu mengutip kangkung kita perlu ada ilmu. Bahagian mana yang perlu dipetik, jenis kangkung bagaimana yang lebih sedap dimasak antara yang menjadi penilaian. Begitu juga halnya dengan pegaga. Kalau tidak reti cara mencabut, alamat dapat daun ajelah.

Pucuk betik lain pula ceritanya. Salah cantas saja, melenting emak nanti.

”Apa engkau ni? Yang cantas pokok betina buat apa? Sayangnya lah.” Ngomel emak bila aku tersilap cantas.

Membazir katanya. Bukan sebab terlebih cantas, tapi sebab cantas pokok betik betina. Sepatutnya dicantas pucuk pokok jantan kerana ia tidak akan berbuah kelak. Lagi satu yang paling penting cara nak menghilangkan pahit pucuk betik. Siapa nak telan kalau pahit macam tu. Orang Utan pun entah-entah muntah.

Kalau pucuk paku pula, jangan buat main. Salah petik, mabuklah jawabnya. Ada pucuk paku yang boleh dimakan tapi yang tak boleh dimakan lagi banyak.

Maka semua ilmu pengetahuan ini diajar oleh emak ketika pergi meraih hasil tanih di hujung kampung sana. Bagi aku, amat rugi sekali jika budak kampung seperti aku ini tidak tahu ilmu-ilmu kemahiran hidup ini. Baik duduk bandar kalau macam tu. Tiada bezanya. Nampak saja remeh dan ringan tapi faedahnya hanya tuan punya badan saja tahu dan dapat merasai.

Yang pasti aktiviti seperti ini sangat aku senangi kerana manfaat yang boleh ditimba dan sangat bermakna.



read more...

Minyak Naik dan Naik Minyak


Kenaikan harga bahan api secara mendadak yang diumumkan kerajaan minggu lepas bukan sekadar menggemparkan rakyat, tetapi menimbul persoalan apakah wajar kenaikan ini berlaku. Semua rakyat tahu tentang kenaikan harga minyak dunia yang sudah melebihi USD130 setong. Tetapi rakyat bertanya bukankah Malaysia adalah pengeluar dan pengeksport minyak yang telah mengaut untung besar kesan kenaikan ini. Sebelum ini pun Menteri Kewangan II pernah menyebutkan tentang rahmat kenaikan harga minyak yang boleh menambahkan pendapatan negara berkali-kali ganda.

Yang anehnya, para menteri dan media massa lebih betah memperkatakan kesan-kesan kenaikan subsidi kepada pembangunan negara ekoran kenaikan harga minyak. Menteri Pengajian Tinggi misalnya menggambarkan kepada rakyat bahawa RM800 juta terpaksa dikurangkan daripada peruntukan untuk kementerian tersebut kerana membiayai subsidi.

Benar atau tidak itu soal kedua. Apa yang penting rakyat harus diberitahu bahawa negara kita mendapat keuntungan berganda daripada kenaikan harga minyak ini. Adakah wajar kita menggambarkan kenaikan ini sebagai satu musibah semata-mata kerana terpaksa menaikkan harga minyak, sedangkan ia patut dilihat sebagai rahmat kerana kita pengeksport minyak yang layak menjual dengan harga lebih murah kesan keuntungan berganda ini.

Apabila kerajaan mendakwa penstrukturan semula harga minyak tidak memberikan keuntungan kepada kerajaan, ia adalah satu pembohongan pada siang hari. Rakyat ditipu hidup-hidup. Kerajaan telah mengaut untung yang besar sebagai pengeksport kerana kenaikan harga ini, sedangkan perbelanjaan telah susut dengan pengurangan subsidi besar-besaran.

Sudah tentu berlaku lebihan pendapatan kerana minyak yang dikeluarkan oleh Malaysia ialah 600,000 tong sehari, manakala penggunaan hanya sekitar 400,000 tong sahaja. Di sini pun sudah ada keuntungan atau lebihan yang dicatat, belum mengambil kira pengurangan subsidi dan perbezaan harga import eksport ekoran perbezaan kualiti minyak.

Rakyat harus memahami bahawa minyak yang digunakan di dalam negara adalah minyak yang diimpot dari luar negara yang berkualiti rendah dan harganya lebih murah iaitu USD135 setong berbanding dengan harga minyak yang dikeluarkan oleh negara kita iaitu USD145 setong.

Hakikat ini diakui sendiri Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zetti Akhtar Aziz yang memberitahu bahawa pendapatan negara akan meningkat antara RM100 juta hingga RM200 juta setahun hasil kenaikan harga minyak sebanyak USD1. Ia turut diakui oleh Menteri Kewangan, Tan Sri Nor Mohd Yaakub. Beliau menegaskan bahawa rakyat tidak perlu bimbang kerana ekonomi negara akan semakin kukuh dan kenaikan ini menjadi rahmat kepada negara kita.

Jika kita mengandaikan negara memperolehi tambahan pendapatan RM200 juta di atas kenaikan USD1, maka kenaikan USD60 semenjak kenaikan terakhir harga minyak pada 2006, bermakna kita mendapat tambahan pendapatan sebanyak RM12 bilion. Sedangkan apa yang berlaku dalam pengstrukturan semula subsidi harga minyak baru-baru ini, kerajaan mendakwa berjaya menjimatkan hampir RM14 bilion. Ini bermakna kerajaan mempunyai lebihan pendapatan sebanyak RM26 bilion.

Kita tidak boleh menerima alasan bahawa dengan mengurangkan subsidi ini kita telah menjimatkan sekitar RM14 bilion, sedangkan penjimatan sebanyak RM4.5 bilion sebelum ini langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat. Tidak ada peningkatan dalam perkhidmatan pengangkutan awam, tetapi yang ada adalah peningkatan kos pengangkutan. Maka, penjimatan kali akan diagihkan kepada sektor mana pula? Apakah benar-benar berbaloi untuk rakyat menambahkan perbelanjaan sehingga 40 peratus untuk petrol sahaja, sedangkan kualiti perkhidmatan tidak bertambah.

Kerajaan sebenarnya harus keluar daripada kejumudan pentadbiran mereka bagi mencari satu pendekatan yang boleh menambahkan pendapatan negara, jika itu menjadi alasan untuk menghapuskan subsidi. Lihatlah apa yang dibuat oleh Iran dan Venezuela yang mengalih transaksi minyak mereka dari USD kepada Euro. Negara dijangka dapat menambah sehingga 15 peratus pendapatan jika transaksi ini dibuat menggunakan Euro kerana mata wang Eropah ini lebih kukuh.

Satu lagi pendekatan yang boleh diambil oleh kerajaan adalah dengan mengenakan cukai durian runtuh ke atas syarikat-syarikat berkaitan cari gali petroleum, khususnya syarikat asing. Pendapatan mereka telah meningkat ekoran kenaikan harga minyak, tetapi rakyat sebagai ‘tuan punya’ minyak semakin menderita. Syarikat asing seperti Shell, Exxon, Ludin, Total dan lain-lain termasuk Petronas patut dikenakan cukai durian runtuh ini apabila harga minyak melepasi satu tahap harga tertentu.

Sama ada harga siling ini ditetapkan mengikut nilai setong atau nilai keluaran, yang penting keuntungan tanpa jangkaan mereka akibat kenaikan harga minyak ini dicukaikan seperti mana cukai durian runtuh dikenakan ke atas minyak sawit dan IPT.

Malaysia sudah mengamalkan dasar percukaian ini ke atas minyak sawit dan ITP, maka mengapa ia tidak boleh dilaksanakan ke atas minyak sebagai timbal balik untuk membiayai kos subsidi. Keuntungan ini jika tidak dicukai akan memberikan manfaat yang besar kepada syarikat asing, sedangkan rakyat sendiri menderita.

Adakah kerajaan tidak tergamak untuk mengenakan cukai tambahan ini kerana adanya Amerika Syarikat dan Zionis di belakang syarikat-syarikat tersebut. Jika kita mengandaikan cukai ini dikenakan sebanyak 10 peratus, bermakna negara akan mendapat sebanyak USD7.8 bilion berdasar keluaran minyak 600,000 tong sehari pada harga USD13 setong.

Dengan pendapatan sebanyak itu, kerajaan tidak lagi perlu bimbang untuk membiayai subsidi dan pembangunan negara sekali gus. Bahkan, kerajaan boleh menstrukturkan semula pembelanjaan negara dengan mengurangkan defisit.

Rakyat telah mendengar empat langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk mengurangkan beban kenaikan harga minyak ini. Antaranya adalah penjimatan perbelanjaan sektor awam dengan mengurangkan pembaziran yang hanya bernilai RM 2 bilion sahaja termasuklah mengurangkan elaun keraian Perdana Menteri dan anggota kabinet.

Kita berasa pelik apabila langkah penjimatan dibuat selepas harga minyak dinaikkan. Mengapa penjimatan atau menghapuskan pembaziran ini tidak dibuat lebih awal dan segala kebocoran dalam perbelanjaan kerajaan boleh disalurkan untuk mensubsidi rakyat dan harga minyak tidak perlu dinaikkan. RM2 bilion penjimatan selepas pengumuman kenaikan harga minyak termasuk pemotongan 10% elaun Perdana Menteri dan kabinet sebenarnya tidak memberikan sebarang kesan kepada meringankan beban rakyat.

PM dan anggota kabinet hanya kekurangan 10% daripada pendapatan mereka tetapi rakyat terbeban dengan lebih 40% kesan kenaikan harga minyak. Sedangkan perjalanan harian PM dan anggota kabinet ditanggung sepenuhnya oleh wang rakyat. Dan RM2 bilion penjimatan yang diumumkan jika dibahagikan dengan 27 juta rakyat Malaysia, rakyat hanya akan memperolehi RM74 setahun atau 20 sen sehari sedangkan pemimpin negara masih boleh bercuti keluar negara walaupun hanya dihadkan di negara-negara Asia sahaja.

Kerajaan juga sewajarnya menghapuskan projek-projek membazir dan menghapuskan tender runding reka dan bina kerana ia melibatkan kos yang besar iaitu hampir sekali ganda daripada kos tender terbuka.

Banyak lagi projek-projek membazir dijalankan oleh kerajaan seperti menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Belia Asia (CYC) yang menelan kos hingga RM17 juta, tetapi diakui oleh Menteri Belia dan Sukan serta Presiden FAM sebagai tidak bermanfaat untuk Negara dan pembangunan bola sepak. Begitu juga projek seperti Taman Tamadun Islam di Terengganu yang menelan hampir RM1 bilion.

Petronas sendiri membazirkan wangnya dengan banyak untuk orkestra di KLCC, termasuk membelanja sehingga RM3.5 juta sebulan untuk membayar gaji 105 orang pemuzik orkestra yang majoritinya rakyat asing. Maka, bagaimana Petronas boleh bersungut tentang peningkatan kos pengurusannya mencecah 200 peratus, sedangkan pembaziran begitu banyak berlaku.

Kesan kenaikan harga minyak ini memberikan dampak yang besar kepada kuasa beli rakyat. Jika kita mengandaikan setiap rakyat menggunakan 2000 liter petrol setahun dengan pandapatan perkapita sebanyak RM46,080, bermakna rakyat Malaysia yang mengeksport minyak telah menggunakan sejumlah 11.72 peratus pendapatannya hanya untuk membeli petrol sahaja.

Berbanding Singapura yang mengimport minyak, berasaskan perkapita setinggi RM156,480, mereka hanya menggunakan 6.65 peratus pendapatan untuk membeli petrol yang berharga RM5 seliter. Di negara pengeluar minyak yang lain seperti Venezuela, rakyat hanya memperuntukan 0.78 peratus daripada pendapatan perkapita untuk membeli petrol.

Adakah kerajaan berfikir bahawa dengan duit rebet sebanyak RM625 setahun itu rakyat telah terbela? Bukankah ianya hanya bernilai tidak sampai RM1.70 sehari. RM1.70 itu tidak bermakna bagi pengguna motosikal apatah lagi pengguna kereta yang telah kehilangan kuasa beli berkali ganda, tidak termasuk kos kenaikan barangan dan perkhidmatan lain.

Apapun beban yang rakyat tanggung, sepatutnya seluruh rakyat patut berterima kasih kepada sesiapa yang baru menyertai atau menyokong Umno/BN kerana sokongan mereka ini telah menyumbang kepada keyakinan Umno/BN untuk menaikkan harga minyak.
read more...

Monday, June 2, 2008

Inilah Masanya

Setelah lama memasang niat untuk muncul dengan blog sendiri, alhamdulillah hasrat hati ini tercapai juga hari ini. Bukan tidak membuka blog sendiri sebelum ini. Cuma ada beberapa masalah teknikal yang menyebabkan ianya terpaksa dikuburkan begitu sahaja.

Ajakan teman-teman seperjuangan agar penulis mempunyai satu wadah yang khusus untuk melontarkan pandangan dan buah fikiran memang sudah lama. Ini kerana penulis sangat aktif menulis dalam beberapa ruangan maya sama ada dalam memberi pandangan, mengkritik dan seumpamanya.


Moga ini menjadi pemangkin dan batu loncatan buat penulis agar lebih bersemangat dan terus aktif apatahlagi dengan laman blog penulis yang khusus seperti ini.


Harapan penulis, semoga Allah swt mempermudahkan segala urusan dalam usaha penulis berkomentar dan berblogging. Juga diharapkan teman-teman seperjuangan memberikan sokongan dan dokongan yang padu bagi usaha ini.
read more...